Vijayagandi (Penyelaras Jaringan Penternak Nasional Marhaen) dan isterinya Rajeswary hadir ke IPD Putrajaya pada 14 Ogos 2024 untuk diambil keterangan oleh pihak polis berkenaan satu aksi penyerahan memorandum yang diadakan pada bulan April 2024.

oleh S. Arutchelvan

Pada 25 April 2024, saya telah mengiringi kira-kira 100 orang penternak lembu daripada Jaringan Penternak Nasional Marhaen untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia. Pengaturan sebelumnya juga telah dibuat dengan Kementerian. Memorandum itu diserahkan secara aman dan tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku. Malah pada 10 Julai 2024, Kementerian telah menjemput kami untuk mesyuarat susulan. Memorandum daripada Jaringan Penternak Nasional Marhaen itu adalah mengenai persoalan di beberapa buah ladang Sime Darby (sebuah syarikat berkaitan kerajaan atau GLC) dan juga isu keterjaminan makan kerana penternak lembu tempatan ini mengeluarkan tenusu dan daging susu tempatan.

Sekarang marilah kita lihat bagaimana polis di bawah Kerajaan Madani bertindak balas terhadap perhimpunan aman seperti itu. Pada 28 April 2024 dan hari-hari berikutnya, Dr Jeyakumar, Sugumaran, Vijayagandi dan saya sendiri menerima banyak panggilan telefon daripada Inspektor Athikah Binti Mohd Zakaria, seorang pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya untuk memberi kenyataan. Kami diberitahu bahawa kami disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Seterusnya Sugumaran telah memberikan keterangannya di Balai Polis Sungai Siput pada 29 April 2024, Dr Jeyakumar pada 30 April 2024 di IPD Putrajaya, Vijayagandi pada 2 Mei 2024 di IPD Seremban dan saya sendiri pada 16 Mei 2024  di IPD Putrajaya. Semua kenyataan ini telah diambil oleh pihak polis dan kami menganggap ia sudah berakhir.

Kemudian tiba-tiba pada 27 Julai 2024, Rajeswary (isteri Vijayagandi) yang tidak terlibat sama sekali telah dipanggil oleh pegawai penyiasat (IO) yang sama untuk memberi kenyataan berhubung memorandum yang diserahkan oleh Jaringan Penternak Marhaen. Walaupun Rajeswary menegaskan bahawa dia tidak ada kaitan dengan memorandum itu dan dia juga tidak pernah menghadiri perhimpunan itu, namun polis mengkehendakkan dia memberi kenyataan. Vijayagandi terus diganggu melalui pelbagai mesej dan panggilan Whatsapp yang meminta dia supaya membawa isterinya untuk diambil keterangan oleh polis. Dia juga dimaklumkan bahawa polis juga akan merampas telefonnya.

Ada pula putar belit plot apabila polis kini mendakwa bahawa Rajeswary dipanggil berhubung aduan mengenai laman facebook Jaringan Penternak Marhaen. Ini agak membingungkan kerana hampir tiada daya tarikan dalam laman facebook yang hanya mempunyai 187 orang pengikut setakat ini. Kami juga cukup yakin bahawa tiada orang akan membuat aduan polis. Mungkin polis sendiri yang membuat aduan tentang laman facebook tersebut untuk mencetuskan siasatan ini. Lebih-lebih lagi pengendali untuk halaman itu hanyalah dua orang dan Rajeswary bukan salah seorang daripada mereka. Sekarang saya mungkin dipanggil oleh polis kerana membuat spekulasi bahawa polis sendiri yang membuat aduan seperti yang berlaku pada orang tiga wartawan Malaysiakini.

Pada 8 Ogos 2024, peguam kami Shashi Devan menghantar surat kepada IPD Putrajaja untuk mendapatkan penjelasan kerana Rajeswary langsung tidak terlibat dalam perhimpunan atau laman facebook berkenaan dan meminta penjelasan tentang siasatan itu dilakukan di bawah seksyen mana satu dalam undang-undang. Pada 12 Ogos 2024, peguam kami menerima surat bertarikh 9 Ogos 2024 yang merupakan maklum balas rasmi daripada ASP Nur Azam Shah bahawa mereka perlu menyiasat Vijayagandi dan Rajeswary di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pada hari yang sama (12 Ogos 2024), kira-kira 7 orang anggota polis daripada IPD Putrajaya dan Balai Polis Mantin telah pergi menyampaikan notis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah kepada Vijayagandi dan isterinya. Kedua-dua orang telah bersetuju untuk melaporkan diri di IPD Putrajaya pada pukul 3 petang hari ini (14 Ogos 2024 )untuk diambil kenyataan mereka. Bagi Vijayagandi, pihak polis telah pun merekodkan kenyataannya mengenai perkara yang sama sebelum ini.

Kini wujudnya begitu banyak kerja yang tidak perlu untuk satu memorandum yang telah diserahkan secara aman. Surat daripada IPD Putrajaya mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan di bawah Akta Perhimpunan Amam. Keseluruhan kejadian telah dirakam oleh pihak polis. Sekarang ini, kenapa polis perlu menyiasat laman facebook yang hampir tidak aktif dan mahu merampas telefon bimbit?

Tindakan ini berserta dengan lebih banyak lagi perkara yang berlaku dalam beberapa minggu kebelakangan ini seolah-olah memberikan petunjuk bahawa pihak polis dan Kerajaan Madani sedang membawa kita ke arah sebuah negara yang lebih menindas. Begitu banyak dana dan sumber awam dibazirkan untuk perkara remeh sebegitu. Sudah tentu mengejutkan bahawa semua ini berlaku di bawah Perdana Menteri “Reformasi” Anwar Ibrahim.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM)

One thought on “Bazir masa dan dana awam: Polis semakin remeh?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *