(foto: tangkap layar rakaman video Malaysiakini)

oleh Nik Aziz Afiq 

Kami mengikuti dengan dekat laporan-laporan berita berkenaan dua insiden yang berturutan berlaku kepada pihak Malaysiakini. Insiden pertama berlaku apabila 3 orang wartawan Malaysiakini dipanggil untuk memberi keterangan mengenai pelaporan berita berkenaan rombakan dalaman pegawai tinggi PDRM. Insiden kedua adalah tuduhan Perdana Menteri sendiri terhadap Malaysiakini yang dikatakan mengolah ucapannya berkenaan isu “ringgit terkuat dalam masa 14 tahun” yang diucapkan ketika Konvensyen PKR di Sabah.

Kedua-dua insiden ini begitu memalukan dan mencemar imej Kerajaan Madani itu sendiri. Di saat ranking Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 bagi negara kita jatuh sebanyak 34 anak tangga, perlakuan pihak PDRM dan Anwar Ibrahim seakan mengesahkan lagi bahawa negara kita semakin menuju ke arah sekatan kebebasan media.

Pihak Malaysiakini dan mana-mana media seharusnya bebas melaporkan apa-apa berita dari mana-mana sumber tanpa menghadapi ancaman dan tanpa perlu mendedahkan sumber. Sekiranya maklumat itu tidak benar, maka cukup dinafikan sahaja seperti yang dibuat oleh Ketua Polis Negara. Rakyat berhak tahu apa yang sedang berlaku. Menyekat pihak media daripada melaporkannya samalah membawa maksud menyekat rakyat daripada mendapat akses maklumat terutama berkaitan agensi yang berkhidmat kepada rakyat.

Membuka siasatan bahkan lebih teruk lagi gesaan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil supaya wartawan Malaysiakini bekerjasama dengan pihak Polis adalah tindakan tidak sihat yang tidak dapat diterima sama sekali.

Samalah juga apabila Anwar Ibrahim cuba menegaskan beliau tidak menyebutkan bahawa ringgit di paras terkuat dalam masa 14 tahun yang menerima kecaman hebat dan cuba menuding kesalahan kepada pemberitaan Malaysiakini walaupun berita sama berasal dari agensi berita kerajaan, iaitu Bernama, serta dilaporkan oleh banyak media lain. Ini adalah satu bentuk pembulian yang cukup jahat kerana mahu memberi persepsi tidak baik kepada kredibiliti dan etika Malaysiakini.

Ternyata apabila disemak video ucapan beliau, memang beliau mengatakan seperti itu. Apa salahnya Anwar Ibrahim menunjukkan teladan dengan mengakui kesilapan terlanjur kata seperti yang dilakukan oleh timbalannya Ahmad Zahid Hamidi kerana tersalah laung slogan “Hidup Israel” yang begitu mengaibkan negara sebelum ini.

Kami menggesa Perdana Menteri, Menteri Komunikasi dan pihak PDRM supaya membuat permintaan maaf terbuka kepada Malaysiakini dan memberi jaminan kepada semua pihak media bahawa insiden sebegini tidak akan berulang lagi.

==========

Nik Aziz Afiq ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *