oleh Arveent Kathirtchelvan

Terdapat pelbagai idea tentang hala tuju gerakan kiri di Malaysia. Ada yang kata kiri perlu bekerjasama dengan pakatan politik besar seperti Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Ada yang lain kata kiri perlu bekerjasama dengan parti-parti serta NGO-NGI selain ini untuk membina kuasa ketiga progresif tetapi tidak semestinya berhaluan kiri. Saya tidak bersetuju. Saya berasa gerakan kiri perlu membina barisan kiri yang jelas dan utuh. Gerakan kiri yang dimaksudkan bukan sahaja Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang seringkali memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam gerakan ini, tetapi individu-individu serta organisasi-organisasi lain juga perlu secara serius berusaha bersama.

Pakatan Harapan (PH) yang dilihat sebagai pilihan progresif kini secara jelas tidak mengotakan janji-janjinya. Sebaliknya, PH sedang bekerjasama dengan parti-parti lawannya pada suatu masa dahulu seperti UMNO dan semakin berhaluan kanan. Perikatan Nasional (PN) pula secara jelasnya berhaluan kanan dan berpegang kepada nilai-nilai regresif. PN secara terbuka memegang pada politik perkauman, tidak menyokong sekolah vokasional dan tidak menyokong hak golongan LGBTQ+. Kesemua ini tidak sehaluan dengan asas perjuangan kiri. 

Saya berasa bahawa golongan kiri menjadi terlalu bergantung pada parti dan gerakan lain untuk membentuk keadaan yang sesuai untuk politik kiri menjadi popular. Saya berasa bahawa kita mesti menang Pilihan Raya dengan cara mempopularkan politik asas kiri secara terbuka dan berani, bukannya dibelenggu dengan merendahkan kekirian kita untuk menarik perhatian orang ramai. 

Tambahan lagi, saya berasa bahawa golongan kiri perlu yakin pada diri sendiri serta berusaha membina satu visi masa hadapan gerakan haluan kiri yang dipercayai bersama. Kita perlu sentiasa ingat bahawa bukannya kerja golongan kiri semakin terikut-ikut dengan politik arus perdana tetapi kita harus mengubahnya dan bukan menjadi sebahagiannya pada masa kini. Oleh itu, kita perlu menggambarkan kepada orang ramai sebuah masa hadapan yang lain daripada masa kini yang juga berasaskan elemen selain daripada sistem sekarang.

Apakah makna golongan kiri? Bagi saya, idea kiri menentang ideologi kanan yang menjadi arus perdana. Adakah kiri menampilkannya dengan efektif sekarang? Kelihatan ramai yang tidak teruja dengan Pilihan Raya. Orang ramai inginkan alternatif kepada PN dan PH. Oleh itu, adalah patut bagi golongan kiri secara agresif menampilkan diri kita sebagai alternatif itu. Orang ramai masih tidak tahu tentang apakah matlamat gerakan kiri dan apakah corak masa hadapan yang ingin dibina oleh gerakan kiri.

Jikalau kita bersama mana-mana golongan lain, kita akan dibelenggu dengan masalah atau ideologi mereka. Dengan PN, kita dicalit sebagai pendorong fasis. Dengan PH-BN pun sama, juga menyokong sebuah kerajaan yang secara jelas tidak berjiwa rakyat. Sejujurnya, daripada semua parti ini, gerakan kirilah yang ada idea yang dapat menyelamatkan masa hadapan Malaysia.

Kita patut mengedepankan idea masa hadapan yang kita hendakkan dan kita patut membina identiti sendiri. Orang ramai mesti melihat kita sebagai satu-satunya wadah perjuangan kepentingan mereka, bukannya gerakan bercampur dengan golongan pro-kapitalis lain. Kita patut menarik perhatian orang ramai terlebih dahulu dan memegang jumlah undi yang signifikan dahulu sebelum berbincang tentang pakatan politik besar. Kita perlu mempopularkan asas perjuangan serta visi gerakan kiri untuk mendapatkan pengundi dan penyokong yang ingin membina masa hadapan yang kita hendakkan, bukannya yang terpaksa mengundi kita untuk matlamat lain.

Kita telah mencuba strategi mengedepankan idea serta platform mengikut keadaan semasa tetapi saya rasa kita perlu memfokus sekarang kepada idea jangka masa panjang, ataupun “Big Picture”. Dalam percubaan membina sebuah kuasa progresif untuk melawan politik berhaluan kanan, kini sokongan kepada golongan kiri masih kurang, lebih-lebih lagi apabila Pakatan Harapan menunjuk belang yang nyata iaitu bahawa mereka sememangnya berhaluan kanan.

Daripada terlalu runsing memikirkan bahawa orang ramai akan takut pada kita, golongan kiri perlu berusaha mendapatkan sokongan orang yang betul-betul percaya pada perjuangan kita dan kebolehan kita mencapainya. Jika jumlah penyokong tersebut kini kurang, kitalah yang patut mewujudkan ruang untuk membolehkan orang ramai memahami perjuangan bersama supaya dapat menerima idea kiri. Inilah sebab kita perlukan lebih ramai orang yang menyokong kita serta sanggup berusaha membina masa hadapan yang diinginkan, walaupun ia sebuah projek jangka masa panjang. Kita perlu berusaha memenangi hati rakyat supaya keinginan berusaha bersama itu wujud.

Falsafah kiri adalah mengubah landskap politik yang sedia ada, bukannya menjadi sebahagiannya sampai masa hadapan. Ini bermakna kita bertanggungjawab membawa keraguan orang ramai terhadap sistem yang sedia ada. Rakyat harus ditunjukkan bahawa pendekatan kapitalis bersama demokrasi liberal ini tidak membawa apa-apa perubahan yang bermakna terhadap kehidupan mereka.

Saya faham akan kekecewaan kita terhadap kegagalan diri mendapat undian. Saya faham kekalahan dalam pilihan raya memang pedih. Tetapi itulah realiti setiap gerakan yang menentang arus perdana. Yang patut kita lakukan adalah berusaha tanpa kenal penat atau lelah untuk membawa analisis dan perjuangan kami kepada orang ramai melalui apa jua cara. Dari segi pilihan raya, kita patut fikir bagaimana meyakinkan orang ramai supaya mengundi calon kiri untuk menyokong perjuangan kiri. 

Orang ramai hanya akan yakin pada sesebuah parti atau pakatan politik yang ada peluang nyata menjadi kerajaan. Dari segi kerajaan negeri, Parti Warisan serta parti-parti tempatan negeri Sarawak menunjukkan perjuangan negeri relevan, walaupun ia terpencil di Malaysia Timur. Oleh itu, daripada 222 kerusi Parlimen, sekurang-kurangnya 111 perlu ditandingi. Di Selangor, daripada 56 kerusi DUN, 28 perlu ditandingi. Di Perak, daripada 59 kerusi DUN, 30 perlu ditandingi.

Gerakan kiri penuh dengan aktivis. Oleh itu, kita sangat berkemampuan dalam perjuangan rakyat tetapi tidak berpengalaman dalam berpolitik. Jika kita sinis, ini bermakna kita sangat berkebolehan bekerja dalam sistem yang sedia ada dan bukannya menjadi ancaman kepada sistem ini. Kita patut menjadi ancaman ini. Kita patut berusaha mengeksport ideologi kita melalui lebihan fokus kepada visi kita. Visi seperti bagaimanakah ekonomi kiri akan dicapai dan apakah ciri-cirinya? Bagaimanakah kita akan menangani isu perkauman dan apakah analisis kita? Apakah program perumahan yang kita akan laksanakan?

Kini, terlalu sedikit orang ramai tahu akan gerakan kiri. Kurang lagi orang yang ada ura-ura visi ini. Ini kerana kita hanya bercakap tentang kes-kes kita dan bukannya bagaimana kita akan mengubah sistem ini. Kita seakan-akan hamba abdi kapitalisme yang berusaha menolong orang susah dan melaporkan usaha kita tetapi hanya mendapat nama baik yang tidak sesekali mengancam sistem ini. Aktivis kiri mungkin diucapkan terima kasih atau tahniah tetapi tidak mendapat undi sebab orang ramai rasa kita adalah penolong penyelesaian masalah dan bukannya pengubah sistem.

Saya rasa kita mengekangkan diri daripada bercakap tentang visi kita atas sebab takut akan dilabel sebagai tidak realistik. Oleh itu, kita hanya cakap tentang apa yang nyata, iaitu kerja-kerja organisasi kita. Kita patut mengubahkan diri supaya kita menitikberatkan perubahan struktur dan apa yang kita dapat lakukan. “Big Picture” amat penting bagi masa sekarang apabila orang ramai semakin menyampah dengan sistem yang sedia ada. Kita patut lakukan ini dahulu dan segala kerja kita bersama akar umbi dan rakyat marhaen perlu diberikan konteks membina kepada perubahan sistem pada masa hadapan. 

==========

Arveent Kathirtchelvan ialah Penyelaras PSM Gombak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *