Shanmuganathan (1952-2024)

oleh S. Arutchelvan

Shanmuganathan, yang juga dikenali sebagai Shan atau Nathan, ialah seorang ahli parti di Cawangan Semenyih yang gemar memakai kemeja-T PSM yang berwarna merah. Semasa saya berada di Beijing pada awal bulan ini, saya dimaklumkan oleh anaknya mengenai keadaan tenat Shan yang sudah dimasukkan ke dalam wad. Maka sejurus saya balik, saya terus ke hospital Kajang. Saya tersenyum melihat dia berbaring dan memegang kemeja-T merah PSM di atas katil hospital. Dia kemudian menaikkan genggaman tangan kiri apabila terlihat saya. Dalam keadaan kesihatannya begitu, dia masih menyuruh anaknya untuk membelikan saya kopi bru kepada saya. Itulah Shan, selalunya sebelum bercakap, dia akan tanya, “Sudah makan ke?… Jom kita pergi makan,” dan sebagainya. Setiap kali pergi ke rumah beliau, mesti kena makan makanan yang disediakan.

Shan meninggal dunia pada awal pagi 17 Julai 2024. Pemergiannya diduga kerana ahli keluarganya telah dimaklumkan dua hari yang lalu bahawa keadaan kesihatannya semakin merosot. Doktor meminta mereka supaya memaklumkan kepada semua ahli keluarga lain. Anak-anaknya memang bersama beliau pada ketika hari-hari akhirnya.

Shan datang daripada sebuah keluarga yang besar di Klang, dan adik-beradiknya seramai 11 orang. Sekarang hanya 5 orang yang masih hidup. Bapanya seorang penternak babi dan keluarga ini telah mengharungi satu kehidupan yang susah. Bapanya seorang yang tegas, dan bukan semua orang dalam keluarga berpeluang mendapat pendidikan kerana kemiskinan. Adiknya yang bernama Bhojam menceritakan bagaimana mereka hidup dalam kesusahan dan bagaimana bapanya menjadikan mereka manusia yang tahan lasak.

Shan berjaya keluar dari Klang dan akhirnya menjejak kaki di kawasan Sungai Jelok, Kajang, pada sekitar awal tahun 1970-an. Dia mula membina rumah papan berdekatan dengan kawasan perkuburan Cina dan mula mendapatkan adik-beradiknya datang ke sana. Untuk menyara kehidupan, beliau telah terlibat dalam pelbagai kerjaya. Dia pernah menjadi pemandu bas awam Foh Hup di pekan Kajang. Antara kerja-kerja lain yang pernah dilakukan oleh beliau adalah menjadi pemandu treler, pemandu lori pasir, agen tarik kereta, pengendali gerai makanan, pencuci kereta dan sebagainya. Anak-anaknya memberitahu bahawa mereka semua diajar cara hidup secara pengalaman yang praktikal oleh bapa mereka. Kehidupannya ada masa pasang dan surutnya.

Dia memulakan rumah tangga dengan isterinya Devanai Pallinppan pada tahun 1975 dan mempunyai 6 orang anak; 5 orang anak lelaki dan seorang anak perempuan, dan juga mempunyai seramai 13 orang cucu. Beliau juga sangat mesra dengan cucu-cucunya.

Pada tahun 2016, beliau bersama 7 orang lagi penduduk terlibat dalam perjuangan melawan pengusiran paksa ancaman perobohan 8 buah rumah di kawasan kuarters bekas pekerja kakitangan hospital Kajang. Shan bersama dengan peneroka yang lain seperti Osman dan Vijayan terlibat dalam usaha melawan pengusiran ini. Mereka menegaskan bahawa mereka bukan penduduk setinggan yang duduk tanpa izin seperti yang didakwa tetapi mereka adalah keluarga bekas kakitangan hospital Kajang yang diberi kebenaran pada masa itu oleh Pengarah Hospital Kajang untuk duduk di kawasan tersebut ekoran kuaters dirobohkan.

Dalam perjuangan tersebut, Shan bersama ahli keluarganya melibatkan diri secara aktif dan akhirnya keluarga-keluarga ini diberikan lot gantian di tanah TNB di Jalan Reko. Selepas berpindah dari kawasan tanah dan rumah kegemarannya, saudara Shan terus melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti parti seperti isu banjir, perumahan dan sebagainya.

Shan (orang pertama dari kiri) terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti PSM, termasuk berkempen untuk PSM dalam pilihan raya.

Selain itu, beliau juga ialah ahli PSM Cawangan Semenyih dan pernah terlibat dalam pelbagai kempen nasional PSM yang besar seperti Kempen “Udahlah tu… Bersaralah”, pembebasan EO6 dan “Kayuh untuk Perubahan”. Beliau juga merupakan ahli aktif semasa kempen pilihan raya di Semenyih, dan sering menjadi pemandu kereta calon. Semasa kesihatannya mengizinkan, beliau boleh dilihat dalam hampir semua aktiviti parti.

Pada tahun 2014, isterinya meninggal dunia. Dalam beberapa tahun ini, beliau juga mula mengalami pelbagai masalah kesihatan dan mula kurang melibatkan diri dalam aktiviti. Namun, beliau akan dari semasa ke semasa bertanyakan isu politik semasa dan akan sentiasa menyemak perkembangan parti. Walaupun pelbagai pihak memanggil dia, dia sering berkata bahawa dia ialah ahli PSM yang tegar dan tegas. Dia pula suka meletakkan bendera parti di kawasan rumahnya.

Apabila pemergian beliau diketahui, anaknya menghubungi saya dan meminta untuk diletakkan bendera parti bersamanya. Dalam mana-mana parti politik, biasanya orang awam hanya mengenali segelintir sahaja pemimpin parti yang mungkin lebih popular dan lebih mendapat perhatian media. Namun, di belakang mereka semua, ada ratusan ahli parti, orang biasa yang terus menyumbang kepada perjuangan dan mempunyai pengorbanan mereka masing-masing. Shan ialah salah seorang daripada mereka. Sudah tentunya sosoknya dan baju merahnya akan sentiasa dirindui. Selamat jalan saudara Shan!  

Shan mengambil bahagian dalam pelbagai aksi protes.

==========

S.Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

3 thoughts on “Shanmuganathan (1952-2024): Baju merah kegemarannya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *