oleh Nik Aziz Afiq
Pada 9 November 1996, berlangsung satu sidang konferens APCET 2 (Asia Pacific Conference on East Timor) di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Konferens ini bertujuan membincangkan kemerdekaan Timor Leste dari Indonesia. Ia menimbulkan ketegangan kerana rejim Suharto ketika itu menentang idea ini dan pemerintah Malaysia selaku sekutu rapat rejim Suharto telah menggerakkan anak muda parti pemerintah (Barisan Nasional) untuk membuat kekacauan ketika konferens berlangsung.
Anak-anak muda dari UMNO, MCA, MIC telah membentuk sebuah kumpulan bernama Barisan Bertindak Rakyat Malaysia (BBRM) untuk merempuh masuk tempat konferens yang ketika itu dijaga oleh Dr. Nasir, Selvam dan kawan-kawan mereka dalam Suara Warga Pertiwi (SWP).
Seorang pengacau berjaya lolos masuk dan meluru terus ke meja panelis di hadapan dan bersiap sedia untuk menampar Dr. Syed Husin Ali selaku panelis ketika itu.
Ketika keadaan cemas, Dr. Nasir berjaya memintas pengacau tersebut dan menghulurkan tangan untuk bersalam. Pengacau ini jadi terkejut, bersalaman dan kemudian terus berundur dari program tersebut. Lama selepas itu barulah diketahui alasan kenapa dia berundur dan tidak teruskan perbuatannya.
“Bila saya nampak Nasir, saya tak jadi nak lawan. Macam mana saya nak lawan, ini orang sama yang bantu pertahan rumah saya waktu nak kena roboh dulu!”
Seramai 29 orang telah ditahan dari konferens ini, rata-ratanya adalah aktivis sendiri (bukan perusuh) termasuklah Almarhum Dr Syed Husin Ali, Tian Chua, Sivarasa, Premesh Chandran dan lain-lain.
Kesemua 29 orang yang ditahan ini kemudiannya memfailkan kes mahkamah untuk mencabar penahanan mereka dan menang serta mendapat pampasan RM30 ribu setiap seorang berdasarkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Wan Adnan pada tahun 2009.
Menariknya watak utama dalam kumpulan anak muda yang menjadi pengacau itu adalah Saifuddin Nasution, Menteri Dalam Negeri kini. Ketika itu beliau adalah Setiausa Agung Pemuda UMNO. Ketua Pemuda UMNO ketika itu adalah Dato’ Seri Zahid Hamidi, Timbalannya ialah Hishamuddin Hussein.
Saifuddin Nasution dalam pengakuannya pada tahun 2001 mendakwa bahawa dia mendapat panggilan telefon daripada Megat Junid selaku Menteri Dalam Negeri waktu itu dengan cabaran dalam dialek Perak, “Kalau tidak, saya anggap Pemuda UMNO tiada ‘telur’!”
Rujukan:
- Sesi wawancara dengan Selvam selaku saksi kejadian untuk projek buku akan datang.
- Wikipedia
==========
Nik Aziz Afiq ialah Timbalan Pengerusi PSM Cawangan Semenyih.