(foto: Pexels)

oleh Arveent Kathirtchelvan

Pemuda Sosialis PSM menyambut baik rancangan kerajaan baru-baru ini untuk menggubal Akta Warga Emas demi memelihara kebajikan warga emas di Malaysia. Namun demikian, walaupun niat di sebaliknya dianggap baik, terdapat beberapa masalah dari segi pelaksanaannya. Secara khususnya, penilaian bahagian yang memaksa anak-anak untuk menjaga ibu bapa sendiri kemungkinan membawa beberapa masalah yang tidak dijangka.

Sebagai negara yang mempunyai nilai-nilai Asia, tanggungjawab menjaga ibu bapa yang tua dianggap sesuatu kebiasaan di Malaysia. Tetapi, memandangkan keadaan ekonomi sebahagian besar warga Malaysia, boleh dikatakan mustahil bagi anak-anak untuk menanggung tanggungjawab itu sepenuhnya. Pemuda Sosialis bimbang bahawa peruntukan tersebut hanya akan menyusahkan anak-anak yang sedang menghadapi cabaran untuk melangsungkan kehidupan sendiri, apatah lagi menanggung kehidupan ibu bapa mereka.

Tambahan pula, kita perlu mengambil kira situasi di mana sesetengah anak yang mungkin membesar dalam rumah tangga yang tidak selamat sehingga dia perlu mencapai kemandirian dari segi kewangan untuk melarikan diri daripada ibu bapa yang menderanya. Tindakan memaksa anak untuk terus berurusan dengan penderanya adalah langkah tidak wajar.

Walau bagaimanapun, menjaga warga Malaysia yang makin hari makin tua bukanlah tanggungjawab individu, malah merupakan tanggungjawab bersama masyarakat. Kerajaan Malaysia harus menginsafi hal ini, dan merangka lalu melaksanakan langkah-langkah komprehensif yang sebaik-baiknya untuk menjaga kebajikan warga emas.

Lebih-lebih lagi, kita harus sedar bahawa tindakan membebankan anak-anak yang sedang mengalami kesukaran dalam menampung kehidupan sendiri adalah tidak mampan. Oleh itu, pendekatan yang holistik harus merangkumi peningkatan gaji di Malaysia dan juga perlu memisahkan negara kita daripada rantaian bekalan global yang menurunkan gaji kita.

Menyedari hakikat ini, Parti Sosialis Malaysia telah melancarkan kempen Skim Pencen Warga Emas bagi memastikan setiap warga emas yang tidak menerima pencen mendapat bayaran RM500 sebulan daripada kerajaan. Sebagai langkah pertama dalam membina jaringan keselamatan sosial yang lebih terjamin, hal ini akan memampukan golongan yang tidak mempunyai simpanan besar untuk menampung sendiri keperluan hidup. Kami juga telah berkempen untuk menaikkan gaji minimum dan gaji sosial.

Kerajaan Malaysia harus melunaskan tanggungjawabnya terhadap rakyat dalam merangka dasar yang berkesan, bukannya meletakkan beban tersebut di bahu orang yang sedang mengalami kesan-kesan negatif kapitalisme.

==========

Arveent Kathirtchelvan ialah Ketua Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *