oleh Arveent Kathirtchelvan
Pemuda Sosialis mendapat tahu bahawa beberapa orang mahasiswa, Azleen Sharuddin dan Wafiyuddin Al Aziz, dari Universiti Sains Malaysia (USM) dipanggil untuk memberi keterangan di IPD Timur Laut atas sebab menghadiri #KelasDemokrasi yang dijalankan oleh Fahmi Reza. Kami memandang situasi ini sebagai suatu taktik intimidasi terhadap kebebasan mahasiswa untuk berkumpul.
#KelasDemokrasi yang dikendalikan oleh Fahmi Reza tidak berunsur politik kepartian, malah menerangkan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia. Tambahan lagi, unsur-unsur seperti pembahagian tidak sekata antara kawasan pilihan raya (malapportionment) dan perwakilan tidak sekata antara kawasan pilihan raya (gerrymandering) yang diterangkan itu menjadi satu sumber ilmu kepada kebanyakan rakyat Malaysia yang tidak mengetahui tentangnya.
Sistem pendidikan negara ini harus mengimplementasi pengajaran sebegini kepada semua pelajar Malaysia dengan efektif, bukannya bergantung kepada Fahmi Reza semata-mata, lebih-lebih lagi menggunakan taktik intimidasi untuk menegah mahasiswa daripada mempelajarinya. Pihak universiti perlu bersikap terbuka, bukannya menyekat kebebasan mahasiswa.
Pemuda Sosialis juga mengucapkan terima kasih kepada saudara Fahmi Reza atas inisiatifnya menganjurkan #KelasDemokrasi dan terus bersolidariti dengan saudara-saudari kami dari USM.
==========
Arveent Kathirtchelvan ialah Ketua Pemuda Sosialis PSM.