KANGKAR PULAI, JOHOR – 5 MAC 2022: : Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk Kota Iskandar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Arangkannal Rajoo @ Ara, mengemukakan beberapa cadangan untuk menangani masalah pencemaran sungai di kawasan Kota Iskandar dan negeri Johor dengan mensasarkan pada punca asasnya, dalam satu sidang akhbar yang diadakan pada hari ini.

Turut hadir bersama dalam sidang akhbar ini ialah Suresh Kumar, wakil Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM.

Ara, calon PSM untuk Kota Iskandar, berkata, “Isu alam sekitar ialah salah satu agenda yang perlu kita fikir dan bawa dalam perbincangan politik pada masa kini.”

“Pencemaran sungai di Jogor bukannya perkara yang baharu, dan kawasan DUN Kota Iskandar juga tidak dapat terlepas daripada permasalahan ini,” kata Ara. “PSM Kota Iskandar sendiri pernah menerima beberapa aduan mengenai isu alam sekitar sebelum ini. Melalui tinjauan PSM Kota Iskandar ke kawasan yang terbabit, kami mendapati wujudnya pelbagai masalah alam sekitar dan kesihatan akibat pencemaran sungai-sungai ini. Pendapatan nelayan yang pada suatu masa dahulu bergantung kepada tangkapan ikan di sungai-sungai ini juga sudah jauh berkurangan.”

Suresh Kumar daripada Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM berkata, “Daripada tinjauan kami, kami mendapati bahawa walaupun masalah pencemaran sungai itu kritikal, tetapi langkah penyelesaiannya terlalu kecil dan perlahan, tidak sepadan dengan keseriusan masalah pencemaran itu.”

“Satu lagi perkara yang kami perhatikan ialah masalah ‘overkill’. Apabila berlakunya pencemaran, kami mendapati bahawa mekanisme pemantauan, penyiasatan dan pendakwaan cuba melakukan ‘overkill’ terhadap pencemar yang digambarkan sebagai satu-satunya pihak yang bersalah. Memang pencemar itu perlu didakwa dan didenda, tetapi tindakan ‘overkill’ ini seolah-olah dibuat untuk menyembunyikan punca pencemaran sungai yang sebenarnya,” kata Suresh. “Apabila adanya pencemaran sungai, pihak pencemar akan didakwa, dimalukan dalam akhbar, dikecam oleh media dan ahli politik, tetapi apa mekanisme sebenar yang menyebabkan pencemaran itu tidak dikaji.”

“Punca utama berlakunya pencemaran sungai ialah pembangunan yang tidak terancang dan tidak terkawal,” tegas kata Suresh. “Kami adanya beberapa persoalan yang tidak terjawab setiap kali berlakunya pencemaran sungai. Misalnya, apakah peranan agensi-agensi pemantauan dan penguatkuasaan sebelum pencemaran itu berlaku?  Bagaimana kelulusan boleh diberikan kepada kilang-kilang pencemar untuk membina struktur di tepi sungai dan kemudian mengalirkan sisa buangan terus ke dalam sungai? Adakah kajian dibuat tentang kemampanan projek sebelum ladang-ladang kelapa sawit yang ditukar kepada projek-projek perumahan? Apa sudah jadi dengan dasar rizab sungai yang tidak boleh diceroboh? Apakah mekanisme penyiasatan polis dan pendakwaan di mahkamah? Bagaimanakah koordinasi antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air? Kenapa projek ‘Malaysia’s Integrated River Basin Management (IRBM)’ oleh JPS tidak dapat memulihkan kualiti Sungai Skudai?”

“Laporan Kualiti Alam Sekeliling Malaysia 2019 yang dikeluarkan oleh JAS menyatakan bahawa 29 batang sungai di Johor ‘sakit’,” tambah Suresh. “Pada bulan Disember tahun lepas, sebuah badan bebas Ocean Cleanup telah menyenaraikan Sungai Tebrau di Johor sebagai sungai ke-53 paling tercemar di dunia. Ini menunjukkan betapa teruknya keadaan sungai di Johor.”

Cadangan yang dikemukakan oleh PSM Kota Iskandar untuk menyelesaikan masalah pencemaran sungai ini termasuk pemerkasaan rakyat terhadap isu-isu pencemaran, terutamanya penduduk yang tinggal berdekatan dengan sungai; membawa tekanan kepada kerajaan supaya pihak berkuasa yang menguruskan sungai menjadi pihak yang benar-benar dapat mengambil tindakan dalam pengurusan sungai.

“Kita tidak mahu masalah seperti pencemaran Sungai Kim Kim berulang lagi,” kata Ara, “Oleh itu, kita perlu mengambil tindakan dengan lebih serius dan lebih tegas. Jika PSM dipilih ke dalam DUN Johor, kami akan memperkenalkan enakmen melindungi rizab sungai untuk mengalihkan industri-industri pencemar jauh dari sungai.”

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *