Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Ahmad Yasin

Saranan bekas Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid untuk menggantung persekolahan murid yang tidak mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran selama tiga hari berturut-turut tanpa alasan kukuh jelas menunjukkan sikap tidak prihatin ahli politik UMNO terhadap kesejahteraan para anak didik.

Tindakan tegas sebegitu akan membawa lebih kemudaratan daripada kebaikan terhadap kesinambungan dan perkembangan sistem pendidikan berikutan langkah autoritatif yang gemar menghukum dan mendisiplinkan anak didik daripada mengambil berat permasalahan yang dihadapi mereka.

Pemuda Sosialis sedar akan kehadiran anak didik yang tidak memberangsangkan sepanjang pandemik yang menyebabkan kebergantungan terhadap pengajaran dan pembelajaran atas talian. Namun, kehadiran anak didik yang tidak memberangsangkan tidak seharusnya diatasi dengan langkah pendisiplinan yang dijangka masih tidak akan mampu membantu menyelesaikan isu kehadiran.

Pihak Kementerian Pendidikan sudah maklum akan jumlah penggunaan alat peranti oleh anak didik yang tidak mencapai tahap seratus peratus. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan masih tidak mengorak inisiatif untuk seharusnya yang menangani isu alat peranti serta keterbatasan talian internet. Anak didik terpaksa bergantung kepada alat peranti berkualiti rendah yang dibekalkan kerajaan serta kepada sumbangan prihatin badan bukan kerajaan.

Janji Kementerian Kewangan untuk membekalkan 150,000 unit komputer riba kepada anak didik juga masih tidak ditunaikan. Peruntukan tambahan lebih besar oleh kerajaan juga yang akan dibentangkan pada Belanjawan 2022. Bagaimana seorang bekas Menteri Pendidikan kerajaan sanggup mengeluarkan pernyataan untuk menggantung persekolahan anak didik sekiranya kerajaan sendiri tidak cekap serta lambat dalam mengatasi permasalahan keterbatasan pendidikan?

Pemuda Sosialis menggesa Mahdzir Khalid untuk menarik semula pernyataan yang tidak prihatin tersebut dan memberi tumpuan kepada permasalahan sebenar yang dihadapi anak didik terutamanya anak didik daripada golongan terpinggir. Permasalahan sistem pendidikan tidak seharusnya menjadi sebab untuk anak didik dihukum.

==========

Ahmad Yasin ialah Penyelaras Biro Pendidikan Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *