Penduduk-penduduk di kem penempatan Quilombo Campo Grande kehilangan rumah dan tanah pertanian mereka pada 14 Ogos 2020, selepas melawan pengusiran paksa untuk selama hampir 60 jam. Kem Quilombo Campo Grande ialah sebuah penempatan keluarga-keluarga tanpa tanah yang didirikan oleh Gerakan Pekerja Luar Bandar Tanpa Tanah (Movimento dos Trabalhadores Rurais Sem Terra, MST) di negeri Minas Gerais, yang terletak di bahagian tenggara Brazil.
Polis tentera telah dikerahkan untuk mengusir kem pendudukan tersebut. Gas pemedih mata ditembak oleh polis terhadap penduduk-penduduk kem. Rumah-rumah penduduk dan tanaman-tanaman mereka telah dimusnahkan. Sekolah Rakyat Eduardo Galeano yang terletak di kawasan kem, di mana kanak-kanak, anak muda dan orang dewasa belajar di situ, juga dimusnahkan dalam operasi pengusiran paksa.
Walau bagaimanapun, proses pengusiran paksa tersebut mengambil masa selama 3 hari kerana penentangan yang hebat daripada keluarga-keluarga tanpa tanah yang sudah menduduki kawasan itu untuk selama 22 tahun yang lalu.
Pada ketika negara Brazil sedang dilanda pandemik COVID-19 serius, dengan negara itu menduduki tangga kedua di dunia dari segi jumlah jangkitan dan kematian kerana koronavirus, hanya berada di belakang Amerika Syarikat, pihak berkuasa di situ masih berdegil untuk melakukan pengusiran demi kepentingan golongan pemodal besar.
Lebih kurang 450 buah keluarga tinggal di kawasan penempatan yang didirikan sekitar kilang gula Ariadnópolis yang sudah berhenti operasi sejak tahun 1996. Syarikat pemilik tempat itu telah meninggalkan semua hutang pekerjanya yang tidak dibayar dan juga kilang serta tanah di mana kilang itu berada.
Pendudukan tanah terbiar merupakan satu kaedah yang digunakan oleh MST untuk memperjuangkan hak tanah bagi golongan buruh yang tiada tanah, sejajar dengan semangat yang terkandung dalam Perlembagaan Brazil (Perkara 5, XXIII) yang menyatakan bahawa tanah patut memenuhi fungsi sosial. Selepas menduduki dan membangunkan semula kawasan tanah yang terbiar tersebut sejak tahun 1998, penduduk-penduduk di situ sering berdepan dengan ancaman daripada pemilik syarikat yang muflis itu yang hendak mengambil semula tanah itu. Gangguan daripada polis sering berlaku. Sebelum pengusiran berlaku, pada 30 Julai 2020, lebih 20 orang pegawai polis menceroboh kawasan kem Quilombo Campo Grande dan menahan seorang penduduk di situ yang dilepaskan sehari kemudian. Sehari sebelum pengusiran, pihak polis telah mengepung kawasan kem dengan kereta peronda untuk mengintimidasi penduduk di situ.
Sepanjang lebih dua dekad tinggal dan bekerja di Quilombo Campo Grande, keluarga-keluarga di situ telah mewujudkan pengeluaran agroekologi yang mantap. Mereka menghasilkan biji kopi organik yang dikenali sebagai Café Guaíi, selain produk pertanian yang lain seperti jagung, kacang, madu, sayur-sayuran, ternakan dan susu.
Pengusiran terhadap penduduk-penduduk di Quilombo Campo Grande telah mendapat kecaman daripada pelbagai pihak dalam dan luar negara Brazil. Kempen media sosial telah dilancarkan untuk memberi tekanan kepada Romeu Zema selaku Gabenor Minas Gerais supaya menghentikan pengusiran. Pada hari pertama apabila pihak berkuasa melakukan pengusiran paksa, Zema membuat hantaran twitter yang mengatakan bahawa tindakan pengusiran telah digantung, tetapi pasukan polis masih kekal beroperasi di kawasan Quilombo Campo Grande.
Beatriz Cerqueira, wakil rakyat Parti Pekerja (PT) dalam Dewan Perundangan Negeri Minas Gerais, telah mengkritik pendirian Gabenor Zema yang tetap meneruskan pengusiran paksa. Pelbagai pihak telah berunding dengan Zema dan polis tentera sejak bulan Julai 2020 untuk menghentikan pengusiran, tetapi pihak berkuasa tetap meneruskannya. “Gabenor telah membuat pilihan politik untuk membiarkan ini berlaku. Dia sepatutnya sudah memberhentikannya. Ini ialah pilihan politik kerana ia bersifat ideologi. Dia berkata bahawa dia hanya mengikut arahan polis. Itu adalah penipuan. Kita sedang berada dalam situasi yang luar biasa dan dia patut memikul tanggungjawab ini, ataupun sekurang-kurang menjadi pengantara untuk mendapatkan solusi yang sekurang-kurangnya akan menghentikan pengusiran ketika pandemik ini,” kata Cerqueira.
Pengusiran terbaru terhadap kem penempatan Quilombo Campo Grande yang mempunyai sejarah dua dekad ini dilakukan atas permintaan oleh seorang peniaga yang bernama Jovane de Souza Moreira, untuk cuba mengembalikan operasi kilang di situ dan memenuhi perjanjian komersialnya dengan salah seorang yang merupakan pengeluar kopi terbesar di Brazil, João Faria da Silva.