20190714 - PSM.jpgoleh A. Sivarajan

Kongres Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ke-21 diadakan dari 12 hingga 14 Julai 2019 di bandar Kajang, Selangor, dan menyaksikan selesainya proses transisi kepimpinan yang telah bermula sejak 5 tahun yang lalu. Kini kesemua pemegang jawatan utama parti sejak tertubuhnya PSM pada tahun 1998, telah digantikan sepenuhnya. Pada tahun ini, Dr. Nasir Hashim telah berundur sebagai Pengerusi dan digantikan oleh Dr Jeyakumar Devaraj, iaitu mantan Ahli Parlimen kawasan Sungai Siput. Sementara itu, bekas Setiausaha Agung S. Arulchelvan telah dipilih sebagai Timbalan Pengerusi menggantikan M. Sarasvathy. Setiausaha Agung PSM A. Sivarajan dan Bendahari PSM Soh Sook Hwa telah dikekalkan dalam jawatan mereka yang dipegang sejak tahun 2015.

Pemilihan parti kali ini juga telah memperlihatkan beberapa muka baru dipilih untuk menganggotai Jawatankuasa Pusat PSM, antaranya Chong Yee Shan (aktivis sosial), sdri Kohila (peguam aktivis), Sharan Raj (aktivis anak muda) dan Teh Yee Cheu (bekas ADUN Tanjung Bungah Pulau Pinang).

Majoriti daripada Jawatankuasa Pusat seramai 15 orang untuk penggal dua tahun yang akan datang ini terdiri daripada wanita, iaitu seramai 8 orang, yang antaranya memegang jawatan utama seperti Timbalan Setiausaha Agung, Bendahari, dan Timbalan Bendahari.

Dasar Perubahan Iklim

Memandangkan pelbagai isu alam sekitar yang semakin timbul pada masa kini oleh kerana pembangunan Nngara yang tidak lestari, maka PSM buat pertama kalinya akan telah membentangkan dan meluluskan satu kertas polisi yang bertajuk “Menangani Perubahan Iklim: Alternatif Hijau untuk Malaysia”. Pembentangan polisi ini diterima oleh perwakilan Kongres sebagai kertas dasar yang akan digunakan sebagai asas perjuangan PSM dalam menangani krisis iklim.

Selaras dengan kertas dasar ini juga, para delegasi yang hadir dalam Kongres PSM juga meluluskan satu usul untuk melancarkan suatu kempen nasional yang mendesak Kerajaan Pakatan Harapan untuk mengisythiharkan “Darurat Iklim” (climate emergency) agar tindakan-tindakan drastik bagi menangni pemanasan bumi dapat dijalankan.

Membentuk gabungan politik baru

Dalam Kongres ini juga, selaras dengan tema “Perjuangan Progresif Malaysia Baru”, buat pertama kalinya menyaksikan penyertaan wakil daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia sebagai pemerhati semasa upacara pembukaan Kongres. Parti Gerakan yang telah keluar dari Barisan Nasional, kini sedang bergerak secara independan dan berminat untuk bekerjasama dengan kuasa-kuasa progresif yang lain. PSM berharap penyertaan mereka pada Kongres sebagai pemerhati, akan membuka ruang untuk perbincangan lanjut.

PSM ingin berusaha untuk membentuk gabungan politik baru untuk menghadapi PRU-15. Maka, majlis perasmian kongres ini dihadiri oleh pemerhati daripada parti-parti lain. Diharapkan kehadiran mereka akan membuka jalan kerjasama yang sihat.

Pembentukan Pejabat Negeri

Kongres kali ini juga memutuskan untuk menubuhkan Pejabat Perhubungan Negeri PSM di semua negeri. Pejabat Perhubungan Negeri PSM akan bertindak untuk memantau dasar-dasar kerajaan dan membela rakyat daripada penindasan, tidak kira oleh Pakatan Harapan atau Barisan Nasional. Kongres juga bermatlamat untuk mengembangkan PSM secara meluas demi mengisi vakum politik sebagai pembangkang politik yang berwibawa di kacamata rakyat.

Perjuangan melawan kebangkitan kuasa kanan

Suatu sesi khas telah diadakan semasa Kongres untuk mengkaji fenomena kebangkitan kuasa kanan populis di peringkat antarabangsa dan juga di Malaysia. Kertas pembentangan telah dibuat oleh Choo Chon Kai selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM dan Hj Zaid Kamaruddin dari IKRAM sebagai pembentang jemputan khas.

Kongres PSM ke-21 di Kajang tahun ini merupakan suatu titik sejarah penting kepada perjuangan PSM yang sentiasa bergerak ke hadapan secara dinamik, melancarkan kempen baru, mendalami isu baru, membentuk gabungan baru demi untuk membina sebuah negara yang adil, saksama dan progresif.

==========

A. Sivarajan ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

2 thoughts on “Transisi kepimpinan selesai dalam Kongres PSM ke-21

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *