43568005_2167401236617072_8333394279854505984_noleh Dr. Jeyakumar Devaraj 

Pada tahun 1994, syarikat East Asiatic menjual tanah ladang seluas 5,000 ekar kepada MBf Holdings dengan harga RM 115.9 juta. 460 orang pekerja diberhentikan kerja pada masa itu. Lebih kurang separuh daripada mereka menerima gaji 20 hari untuk setiap tahun berkhidmat sebagai faedah pemberhentian kerja yang diwajibkan di bawah Akta Kerja, dan mengosongkan rumah asrama mereka. Namun, oleh sebab jumlah ini hanya sebanyak lebih kurang RM 8,000 untuk seorang pekerja yang berkhidmat untuk 20 tahun, dan mereka bukan sahaja kehilangan kerja malah juga kehilangan rumah mereka dan aset komuniti mereka (kuil, dewan, padang permainan dan sebagainya), maka seramai 207 orang pekerja mengatakan bahawa mereka tidak akan keluar dari ladang tersebut sehingga mereka mendapat pampasan yang lebih baik.

MBf Holdings telah mendaftarkan tanah yang dibelinya daripada East Asiatic di bawah nama Alamanda Development Sdn Bhd, sebuah anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh MBf, untuk membangunkan tanah tersebut kepada sebuah bandar baru. Alamanda memulakan prosiding untuk pengusiran, tetapi pekerja-pekerja Ladang Padang Meha menang dalam pusingan pertama apabila Mahkamah Tinggi Alor Setar memberi penghakiman yang berpihak pada pekerja. Alamanda kemudiannya menukar taktik dan pada tahun 1997, merundingkan satu penyelesaian dengan pekerja-pekerja dan berjjanji untuk:

  1. Membayar RM 200 setiap tahun berkhidmat, sebagai tambahan kepada faedah pemberhentian kerja yang diwajibkan dalam undang-undang;
  2. Membina 240 buah rumah kos rendah untuk pekerja-pekerja dan menjual kepada mereka dengan harga RM 12,500 setiap orang;
  3. Membenarkan pekerja-pekerja untuk terus menetap di rumah ladang mereka pada itu sehingga rumah alternatif siap dibina.

Sebagai pertukaran, Alamanda Development Sdn Bhd dapat memulakan kerja “pembangunan” di sebahagian tanah ladang yang dibelinya.

Akan tetapi, tiadanya apa-apa perkembangan dalam pembinaan rumah kos rendah untuk pekerja. Maka pada tahun 2003 (iaitu 6 tahun kemudian), pekerja-pekerja berputus untuk mengheret Alamanda ke mahkamah. Prosiding mahkamah bermula pada bulan Ogos 2003 dengan bantuan peguam Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Tetuan Meena Raman & Partners. Sekali lagi, pekerja-pekerja Ladang Padang Meha menang kes – Mahkamah memutuskan bahawa bekas pekerja Ladang Padang Meha patut dibayar pampasan tambahan RM 22,500 kepada setiap pekerja kerana Alamanda telah gagal dalam membekalkan rumah kos rendah pada separuh harga untuk pekerja.

Namun,  MBf Holdings Berhad telah menggunakan helah untuk melepskan diri. Alamanda telah menggulung tikar secara sukarela pada tahun 2005, dan dua orang pelikuisasi (Mustapha Raj dan Dato Jeyaraj Ratnasamy) telah dilantik. Pekerja-pekerja diberitahu bahawa mereka perlu menunggu sehingga semua aset Alamanda dijual sebelum mereka dibayar pampasan yang dijanjikan oleh Alamanda kepada mereka. Pekerja-pekerja ataupun peguam mereka tidak pernah dijemput untuk menghadiri beberapa mesyuarat dengan penghutang yang dipanggil oleh pelikuidasi. Bahagian tanah ladang yang tidak dijual kemudiannya dipindah kepada Vintage Developers Sdn Bhd, satu lagi anak syarikat yang dimiliki oleh MBf Holdings, tetapi kewajipan terhadap bekas pekerja ini masih diletakkan di bawah Alamanda.

Para bekas pekerja menghantar banyak surat kepada beberapa pihak untuk mencari jalan penyelesaian untuk isu yang berlarutan begitu lama ini, Sesetengah kumpulan, termasuk daripada kedua-dua parti pemerintah dan parti pembangkang, mencampurtangan untuk cuba menyelesaikan masalah, tetapi MBf dan syarikat di bawahnya langsung tidak mempeduli. Akhirnya, pada tahun 2016, bekas pekerja Ladang Padang Meha berputus untuk membawa perkara ini ke mahkamah lagi. Mereka mendapatkan khidmat guaman daripada Hakem Arabi, yang bersetuju untuk mewakili mereka secara pro bono. Satu kes difailkan terhadap 6 pihak – 2 orang pelikuisasi, Alamanda Development Sdn Bhd, MBf Holdings Berhad, MBf Equities Sdn Bhd dan Vintage Development Sdn Bhd.

Beberapa perkara berlaku selepas itu:

  1. Peguam untuk pelikuidasi menyatakan bahawa mereka bersedia untuk membayar bekas pekerja Ladang Padang Meha dengan wang jumlah RM 1.03 juta serta-merta dengan janji bahawa tambahan RM 0.64 juta juga akan dibayar jika dapat menyalurkan dana daripada likuidasi aset Alamanda yang masih tinggal. Ini dirakamkan sebagai persetujuan bersama antara pekerja dengan pelikuidasi pada bulan April 2018.
  2. Peguam untuk MBf Holdings dan anak syarikatnya berhujah bahawa kes terhadap mereka patut digugurkan kerana tempoh masa had 6 tahun telah lama berlalu.
  3. Peguam untuk pekerja, Hakem Arabi, mendapati bahawa bekas majikan (East Asiatic Company Berhad) sebenarnya telah membayar sebanyak RM 7.06 juta kepada MBf Holdings pada tahun 1995 untuk membantu dalam membiayai kos pampasan untuk bekas pekerjanya. Namun, fakta ini tidak pernah diberitahu kepada bekas pekerja ini oleh MBf sepanjang ini, dan sekarang pun mencecah 23 tahun sejak mereka kehilangan kerja.
  4. Peguam MBf berhujah bahawa wang berjumlah RM 7.06 juta itu telah diserahkan kepada Alamanda. Namun, kenyataan ini telah dipertikaikan oleh pelikuidasi yang memberi keterangan di Mahkamah bahawa pemindahan wang RM 7 juta itu tidak ditunjukkan dalam rekod kewangan yang dipegang oleh mereka.
  5. MBf Holdings Berhad cuba menggambarkan dirinya sebagai pihak ketiga yang “tidak bersalah” seolah-olah ia bukan majikan untuk 207 orang pekerja berkenaan, dan janji penyelesaian pada tahun 1997 itu adalah oleh pihak berlainan (Alamanda), bukannya MBf sendiri.
  6. Untuk mengatasi halangan keterbatasan 6 tahun, peguam Hakem Arabi telah berhujah bahawa pembayaran RM 7 juta kepada MBf oleh Syarikat East Asiatic pada tahun 1995 telah mewujudkan satu “amanah” (trust) yang memihak pada bekas pekerja. (Peraturan had 6 tahun hanya untuk kontrak dan tidak meliputi amanah.)

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur agak bersimpati, tetapi beliau telah memutuskan bahawa beliau tidak yakin bahawa satu “amanah” memang diwujudkan memihak pada bekas pekerja, dan beliau “menolak tuntutan plaintif secara keseluruhan”. Beliau kemudiannya membenarkan MBf membuat tuntutan balas terhadap pekerja, di mana para pekerja perlu mengosongkan rumah ladang mereka dalam tempoh 2 tahun dari tarikh penghakiman. Hakem Arabi telah memfailkan notis rayuan.

Inilah keadaannya. Syarikat yang kaya raya boleh mengupah peguam dan akauntan yang terbaik, menggunakan anak syarikat untuk memberi janji manis kepada pekerja yang diberhentikan kerja, tetapi menggulung tikar selepas itu, memindahkan asetnya kepada satu lagi anak syarikat dan kemudiannya menggunakan Peraturan Keterbatasan untuk menggelakkandiri daripada membayar faedah pemberhentian kerja kepada bekas pekerja. Menang “hebat”  sekali MBf Holding atas “kepintaran” dan penonjolan teladan “Tanggungjawab Sosial Korporat” sebegini!

Apakah yang dapat dilakukan oleh pekerja-pekerja Ladang Padang Meha sekarang? Mengaku kalah?

Syarikat Vintage Development Sdn Bhd mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM 120 juta pada tahun 2016. MBF Holdings berkemungkinan mendapat untung yang jauh lebih banyak. Kenapa syarikat besar ini tidak menggunakan sebahagian kecil daripada keuntungan ini untuk menyelesaikan pampasan pekerja?

Bekas pekerja Padang Meha telah berputus untuk membawa isu mereka kepada perhatian orang ramai. Mereka merasakan bahawa mereka terlalu pasif untuk 23 tahun yang lalu, dan ini merupakan masa untuk orang ramai di Malaysia didedahkan tentang bagaimana syarikat besar seperti MBf Holdings telah bermain helah terhadap pekerja-pekerja ladang yang hanya menuntut pampasan yang sewajarnya kerana kehilangan kerja dan tempat kediaman. Mungkin tekanan daripada orang ramai dapat mendesak kumpulan syarikat MBf untuk melakukan sesuatu yang munasabah untuk sesuatu perubahan!

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj, Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau juga merupakan bekas Ahli Parlimen untuk kawasan Sungai Siput.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *