wedish_election_2018_2 - Copy.jpg

Pilihanraya Umum Sweden telah berlangsung ada 9 September 2018 untuk memilih seramai 349 orang wakil rakyat yang akan masuk ke dalam Riksdag, iaitu Parlimen Sweden. Keputusan pilihanraya menunjukkan bahawa tiadanya pemenang yang jelas dalam pilihanraya kali ini, walaupun Parti Demokratik Sosial Sweden (Sveriges socialdemokratiska arbetareparti, SAP) masih kekal sebagai parti terbesar dalam Parlimen tetapi mencatatkan keputusan pilihanraya yang paling teruk sejak tahun 1908!

Politik populis kanan yang semakin berkembang di Eropah walaupun menguasai lebih banyak kerusi, tetapi tidak mendatangkan gempa bumi politik kepada Sweden seperti yang diramal oleh sesetengah pemerhati politik.

Parti Demokratik Sosial Sweden, sebagai parti utama dalam kerajaan campuran minoriti yang memerintah Sweden untuk 4 tahun sebelum ini, hanya meraih sebanyak 1,775,651 undi (bersamaan 28.4% daripada jumlah undi), iaitu peratusan undi yang paling rendah dalam tempoh 90 tahun. Peratusan undi diperoleh Parti Demokratik Sosial Sweden pada tahun 1908 ialah 14.6%, dan tidak pernah jatuh di bawah 30% dalam pilihanraya umum sejak tamatnya Perang Dunia II sehinggalah pilihanraya kali ini. Peratusan undi yang diperoleh Parti Demokratik Sosial Sweden pada pilihanraya 2014 ialah 31.0%. Parti Demokratik Sosial Sweden mendapat sebanyak 101 kerusi, berkurangan sebanyak 12 kerusi berbanding pilihanraya lalu.

Parti Demokratik Sosial Sweden merupakan parti yang paling tua dan paling besar di Sweden, ditubuhkan pada tahun 1889. Parti yang berhaluan kiri-tengah pada masa kini ini berasal daripada gerakan pekerja Sweden dan dipengaruhi oleh pemikiran politik Marxisme pada awalnya.  Parti Demokratik Sosial Sweden kemudiannya beralih ke haluan yang lebih reformis dan liberal. Parti Demokratik Sosial Sweden banyak kali membentuk kerajaan campuran dengan parti lain dalam sejarah politik Sweden, dan merupakan pendukung utama sistem negara kebajikan di Sweden. Sokongan terhadap Parti Demokratik Sosial Sweden semakin merosot sejak tahun 2006, apabila kerajaan yang disertainya mengamalkan dasar yang menghakis sistem negara kebajikan dan juga kemunculan politik populis kanan yang mempermainkan sentimen xenofobia untuk menarik sokongan.

Sweden mempunyai sejarah yang panjang dalam perangkaan dasar berasaskan konsensus antara parti-parti politik. Politik ekstremis yang dipermainkan oleh Demokrat Sweden menjadikan tiada parti lain yang ingin bersekutu dengannya.

Parti Sederhana (Moderaterna), parti berhaluan kanan-tengah liberal-konservatif yang utama di Sweden, mengekalkan kedudukannya sebagai parti kedua besar dalam Parlimen, dengan meraih sebanyak 19.8% undi, tetapi perolehan undinya telah merosot dari 23.3% dalam pilihanraya sebelum ini dan kerusinya juga berkurang dari 84 sebelum ini kepada 70 sekarang.

Parti bersifat populis kanan, Demokrat Sweden (Sverigedemokraterna), muncul sebagai “pemenang besar” dengan meraih undi sebanyak 17.6% (bertambah dari 12.9%) dan mendapat 49 kerusi Parlimen(bertambah sebanyak 29 kerusi). Peningkatan sokongan elektoral untuk Demokrat Sweden sejak beberapa tahun kebelakangan ini berkait rapat dengan kebangkitan politik populis berhaluan kanan di benua Eropah. Politik populis berhaluan kanan ataupun politik berhaluan kanan lampau ini, telah mengapi-apikan sentimen perkauman dan xenofobia (iaitu ketakutan atau kebencian terhadap imigran) untuk meraih sokongan politik. Politik populis berhaluan kanan yang menabur fahaman kebencian berasaskan kaum ini sedang mengancam demokrasi dan keharmonian masyarakat Sweden. Walau bagaimanapun, pertumbuhan dan peningkatan pengaruh Demokrat Sweden yang berhaluan kanan lampau ini nampaknya tidak begitu hebat seperti yang diramalkan oleh sesetengah tinjauan sebelum ini. Demokrat Sweden kekal sebagai parti ketiga besar.

Parti Tengah (Centerpartiet), sebuah parti yang berasal daripada gabungan petani pada awal abad ke-20 dan kemudiannya berkembang menjadi parti yang berpegang pada fahaman ekonomi pasaran besar, menjadi parti keempat besar dalam Parlimen dengan meraih sebanyak 8.6% undi dan mendapat sebanyak 30 kerusi.

1200px-Left_Party_(Sweden)_logo.svg
Logo Parti Kiri Sweden

Apa yang memberangsangkan bagi politik kiri yang memperjuangkan nasib kelas pekerja dan rakyat bawahan adalah Parti Kiri (Vänsterpartiet) mencatatkan keputusan pilihanraya yang terbaik sejak tahun 2006. Parti Kiri meraih sebanyak 7.9% undi popular, meningkat dari 5.7% sebelum ini. Kerusi yang dimenangi Parti Kiri bertambah sebanyak 7, kepada 28 sekarang ini. Parti Kiri menjadi parti yang kelima besar dalam Parlimen Sweden. Walaupun bukan sesuatu yang menakjubkan, namun menunjukkan Parti Kiri mampu menangkis kemaraan politik populis kanan dengan program politiknya menekankan pada perkhidmatan kebajikan dan kesamarataan gender. Parti Kiri memperjuangkan idea-idea sosialis, feminis, dan ekologi. Antara cadangan yang dibawa dalam manifesto Parti Kiri adalah cukai terhadap golongan hartawan yang mahakaya untuk pengagihan yang lebih adil, kerja 6-jam sehari dan pelaburan di kawasan luar bandar untuk mewujudkan peluang pekerjaan.

Parti Hijau (Miljöpartiet de gröna), sekutu kepada Parti Demokratik Sosial Sweden dalam kerajaan campuran yang mentadbir Sweden untuk 4 tahun sebelum ini, hanya meraih 4.3% undi mendapat 15 kerusi, berkurangan sebanyak 10 kerusi berbanding pilihanraya lalu.

Pada takat ini, Blok Kiri dalam parlimen Sweden terdiri daripada Parti Demokratik Sosial Sweden dan Parti Hijau yang membentuk Pakatan “Merah-Hijau” untuk memerintah sebagai kerajaan minoriti, dengan sokongan informal daripada Parti Kiri. Blok Kanan pula terdiri daripada Parti Sederhana, Parti Tengah, Kristian Demokrat (Kristdemokraterna) dan Liberal, yang membentuk gabungan politik yang bergelar “Pakatan” (Alliansen). Keputusan pilihanraya Sweden terbaru ini menunjukkan Blok Kiri menguasai 144 kerusi daripada 349 kerusi (41% daripada jumlah kerusi), hanya lebih 2 kerusi berbanding Blok Kanan yang mendapat 142 kerusi. Demokrat Sweden yang tidak menyertai mana-mana blok pula menguasai 63 kerusi. Parlimen Sweden baru memang berada pada keadaan tergantung dan amat jelas tiadanya pemenang yang mampu membentuk sebuah kerajaan yang stabil. Situasi politik Sweden masih tidak menentu selepas pilihanraya.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *