Lim Guan Eng, Menteri Kewangan dan juga mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, telah dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan rasuah yang dikenakan ke atasnya semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran. Keputusan ini dibuat oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 3 September 2018, berikutan permohonan peguam bela yang mewakili Lim keada Jabatan Peguam Negara dan pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan.
Namun, keputusan pembebasan Lim Guan Eng daripada pertuduhan rasuah ini telah “mengejutkan” banyak pihak. Suruhanjaya Pencegah Rasuan Malaysia (SPRM) mengeluarkan kenyataan yang mengatakan “amat terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang”.
Peguam Lim Guan Eng, Ramkarpal Singh, terkejut pula dengan kenyataan SPRM kerana menurutnya Pengarah Bahagian Undang-Undang dan Pendakwaan SPRM sendiri yang memaklumkan kepada mahkamah untuk menarik balik tuduhan itu. Perdana Menteri Mahathir Mohamad juga berkata bahawa beliau terkejut dengan penarikan kes pendakwaan rasuah terhadap Lim Guan Eng. Bekas Perdana Menteri Najib Razak yang terlibat dalam pelbagai skandal rasuah juga ketinggalan dengan menyindir di laman facebooknya dengan bertanya, “Hari ini hari apa? Hari terkejut?”
Di sebalik “kekejutan” ahli-ahli politik di negara kita, persoalan yang paling utama yang masih belum terjawab adalah, adakah sistem kehakiman negara kita sudah diperbaiki dan menjadi lebih bebas dan adil?
Jabatan Peguam Negara perlu memberi satu penjelasan yang lengkap tentang keputusannya menggugurkan pertuduhan rasuah ke atas Lim Guan Eng. Rakyat yang mengundi Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan baru berhak untuk mengetahui sama ada Jabatan Peguam Negara itu mendapati bahawa pertuduhan ke atas Lim Guan Eng itu memang direka-rekakan dan bermotifkan politik, ataupun memang tiada apa-apa bukti yang kukuh dalam proses siasatan, ataupun apa-apa sebab yang menyakinkan pihak pendakwaan untuk menarik balik kes ini. Ini kerana implikasi penarikan balik pertuduhan ini adalah amat besar, kerana kewibawaan Jabatan Peguam Negara akan tercabar dan dicemari sekiranya tidak dapat memberi satu penjelasan yang menyakinkan.
Sistem kehakiman yang benar-benar bebas daripada pengaruh politik dan adil untuk semua, adalah komponen penting dalam proses pembaharuan politik.
Kes pertuduhan rasuah terhadap Lim Guan Eng hampir serupa dengan kes yang melibatkan Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor, yang didakwa dan disabit semasa zaman pemerintahan BN. Kerajaan Pakatan Harapan perlu menunjukkan dirinya jauh lebih berprinsip dalam mempertahankan kebebasan sistem kehakiman berbanding dengan kerajaan BN sebelum ini. Jadi, satu penjelasan daripada pihak Jabatan Peguam Negara memang diperlukan, jika tidak, amat sukar untuk membina keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara kita bahawa ia adalah bebas sepenuhnya daripada pengaruh kuasa politik.