sebuah cerpen oleh K. Z. Iskandar Zulfaqar
Kerja merobohkan rumah-rumah di hujung kampung itu akan dijalankan sebentar sahaja lagi. Si pemuda yang mendengar berita tidak baik itu terus bergegas ke tempat kejadian bersama beberapa orang lagi ahli partinya. Dengan beraninya dia terus menyanggah pemaju yang sudah bersedia dengan jentolak untuk merobohkan rumah-rumah di situ.
“Mereka berhak untuk mendapat pampasan dan encik tidak boleh sesuka hati merobohkan rumah mereka. mereka juga ada hak!” jerkah si pemuda kepada pemaju itu.
Akibat tidak berdaya menahan tekanan yang diberikan oleh si pemuda dan rakan-rakannya, pemaju bersetuju untuk berunding. Rundingan yang memakan masa hampir satu jam telah membuahkan keputusan baik yang memihak kepada penduduk-penduduk di hujung kampung itu. Pihak pemaju bersetuju untuk menagguhkan kerja-kerja meroboh dan bersedia memberikan pampasan kepada setiap penduduk.
Penduduk bersorak riang meraikan kemenangan mereka. Sekali lagi si pemuda berjaya berbakti kepada rakyat.Kesemua penduduk di situ berterima kasih kepada si pemuda atas jasanya menyelamatkan rumah mereka.
Si pemuda merupakan salah seorang ahli yang sangat aktif dalam sebuah parti berhaluan kiri yang konsisten berjuang membela nasib rakyat. Selain bergerak aktif dalam politik, beliau juga sangat aktif berbakti kepada agamanya. Beliau tidak pernah tinggalkan masjid pada setiap kali lima waktu solat. Beliau juga sering menghabiskan masanya di masjid untuk beriktikaf meminta keberkatan daripada Allah. Ketekunan yang ditunjukkan oleh si pemuda telah menyebabkan dia disenangi oleh setiap lapisan masyarakat.
Walaupun kerja si pemuda hanyalah sebagai seorang tukang urut, namun sifat pemurahnya sangatlah tinggi. Beliau tidak pernah berkira wang ringgit, masa dan tenaga untuk bekerja bagi membantu orang yang dalam kesusahan. Si pemuda sering mendapat pujian oleh masyarakat kerana sifat-sifat positif yang dimilikinya itu.
Melihatkan kepada sifat terpuji yang beliau miliki ditambah pula dengan semangat sedia berkhidmat untuk rakyat yang dimiliki dalam dirinya, pimpinan parti berhaluan kiri yang disertai si pemuda sebulat suara bersetuju untuk meletakkan beliau sebagai calon parti tersebut dalam pilihanraya umum akan datang. Belaiu akan bertanding di kawasannya itu.
Sebaik sahaja cadangan itu diterima, parti itu telah membuat hebahan besar-besaran tentang perletakan si pemuda sebagai calon. Banyak suara didengar sebaik sahaja hebahan dibuat. Banyak yang positif dan banyak juga yang negatif. Suara yang positif sedikit sebanyak membantu menaikkan lagi semangat si pemuda. Namun, suara-suara negatiflah yang menjadi permasalahan ketika ini kerana mampu memberi kesan kepada keyakinan rakyat terhadap si pemuda.
Jelajah parti bersama si pemuda di kawasannya bermula. Ramai kepimpinan parti turun padang untuk turut sama membantu si pemuda berkempen. Program ramah-mesra diadakan bagi memperkenalkan calon parti itu kepada masyarakat. Majoriti masyarakat menerima si pemuda sebagai calon parti itu dengan baik kerana masyarakat di situ sudah mengenali sikap si pemuda yang baik.
Namun, ada juga suara-suara sumbang yang kedengaran dari belakang. Ada juga masyarakat yang mempersoalkan keputusan parti itu meletakkan si pemuda sebagai calon. Kebanyakan mereka yang menghina si pemuda ini terlalu benci kepada parti berhaluan kiri tersebut kerana mereka telah termakan dedak parti lawan.
“Dia ni cuma tukang urut. Ada hati nak bertanding.”
“Eloklah parti pun tak berwibawa samalah dengan calonnya.”
“Letaklah orang yang lebih layak.”
Itulah antara suara-suara sumbang yang kedengaran baik di hujung telinga sendiri mahupun secara maya. Si pemuda turut menerima kritikan daripada alam maya seperti laman facebook, twitter dan sebagainya sebaik dia diumumkan sebagai calon. Namun, si pemuda tetap cekalkan hatinya dan bersedia untuk menempuhi segala cabaran.
Si pemuda tidak menerima kecaman dan cercaan hanya daripada rakyat biasa, beliau turut dihina dan dicerca oleh pemimpin parti lawan. Ada pemimpin parti rakan yang menganggapnya sebagai memecahkan undi. Ada juga yang telah melabelkannya sebagai pengkhianat agama kerana menyertai parti yang memperjuangkan sosialisme. Mereka menganggap sosialisme sebagai bertentangan dengan Islam padahal dalam Islam itu sendiri ada sosialisme dan kesaksamaan.
Pemimpin parti itu telah bekerjasama dengan sebuah lagi parti yang memperjuangkan perkauman. Modal bagi parti ini ialah perkauman kerana mereka dianggap pejuang bangsa mereka dan selalu sahaja melaga-lagakan kaum. Kedua-dua parti ini telah bekerjasama mendesak si pemuda supaya menarik diri daripada bertanding dengan alasan jika bertanding atas nama berhaluan kiri, akan rosak aqidahnya dan dia juga dianggap sebagai pengkhianat bangsa.
Hari demi hari cercaan dan hinaan dilemparkan kepada si pemuda dengan bertujuan supaya si pemuda mengundur diri daripada pentas pilihanraya. Namun, mereka telah melakukan kesilapan yang sangat besar. Si pemuda tidak akan sekali-kali menyerah tetapi dia akan tetap meneruskan usahanya untuk merampas kerusi kawasan itu daripada tangan sebuah parti kleptokrasi yang menzalimi rakyat.
Si pemuda akhirnya telah mengeluarkan kenyataan bagi menangkis segala hinaan dan cercaan yang dilemparkan kepadanya. Beliau mengakui seorang tukang urut tidak layak menjadi calon tetapi jika tukang urut itu bersifat perkauman. Jika tukang urut itu berhati mulia, dia lebih layak menjadi calon daripada seorang kaya yang memakan wang rakyat. Si pemuda juga melaungkan prinsipnya untuk terus berusaha menjaga kebajikan rakyat dan menentang kleptokrasi. Masyarakat bersorak gembira kerana mereka yakin parti berhaluan kiri telah meletakkan calon yang terbaik untuk mewakili suara mereka.
Bukan masyarakat di kawasan itu sahaja yang akan memberikan undi kepada si pemuda, tetapi juga seluruh masyarakat di DUN itu kerana rakyat hari ini sudah cerdik dan sudah tahu menilai calon mana yang mampu berjuang untuk kepentingan rakyat.