oleh S. Arutchelvan

Selepas 13 tahun pekerja di Ladang Semenyih diberhentikan kerja, akhirnya satu perjanjian penyelesaian telah ditandatangani antara 17 keluarga yang masih menetap di situ dengan pihak syarikat Sime Darby yang merupakan pemilik terakhir ladang tersebut.

Pada 28 Februari 2017, 21 orang bekas pekerja ladang yang mewakili 17 keluarga dari Ladang Semenyih telah menandatangani satu perjanjian penyelesaian dengan Sime Darby Properties & Plantations di Saujana Impian Gold and Country Resort di Kajang.

Setelah satu rundingan yang lama dan tegang, akhirnya kedua-dua pihak bersetuju untuk satu penyelesaian di mana mengikut perjanjian ini, setiap keluarga bekas pekerja ladang akan diberi Rumah Teres Kos Rendah 1½ tingkat bersaiz 18 x 55 kaki persegi (990 kaki persegi).

Rumah tetap baru ini akan dibina di lokasi hanya sekitar 100 meter dari rumah ladang sekarang. Dengan subsidi RM7,000, rumah ini akan dijual dengan harga RM35,000 kepada bekas pekerja ladang. Namun, dengan pampasan lain yang diperolehi melalui rundingan ini, telah membolehkan 17 keluarga ini memiliki rumah tanpa membayar satu sen pun.

Mereka juga akan dibayar sewa sehingga rumah baru mereka siap. Selain itu, para pekerja juga akan dibayar pampasan faedah pemberhentian kerja yang telah ditahan oleh syarikat sejak tahun 2004.

Bekas pekerja ladang yang telah keluar dari ladang terlebih awal juga akan mendapat rumah, namun mereka perlu membelinya. Tawaran untuk mereka hanya akan diberikan setelah isu 17 pekerja ini selesai. Namun, pekerja ladang yang telah keluar lebih awal patut berterima kasih kepada 23 pekerja daripada 17 keluarga ini yang telah berdiri teguh sehingga penyelesaian ini dicapai.

Tidak mungkin mereka semua mendapat rumah andaikata mereka semua meninggalkan ladang semasa mendapat notis 13 tahun lalu.

Kini, 23 orang bekas pekerja ladang bergembira kerana akhirnya menandatangani perjanjian penyelesaian. Ini adalah ganjaran baik yang diperolehi untuk 17 keluarga yang enggan meninggalkan tanah ladang apabila mereka diberhentikan dan diberikan notis pengusiran pada 1 April 2004.

Mendapat notis seminggu selepas PRU

Saya masih ingat, pada 21 Mac 2004, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 diadakan. Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya dengan kemenangan besar apabila meraih 198 kerusi berbanding pembangkang yang hanya 20 kerusi. Satu minggu selepas itu, pekerja Ladang Semenyih dipecat dan diberikan notis penamatan perkhidmatan. Nampaknya, pemilik ladang sekadar hanya menunggu untuk pilihan raya berakhir, sebelum melaksanakan rancangan pengusiran mereka. Sudah pasti majikan telah dinasihatkan oleh ahli politik pada ketika itu bahawa pengusiran tidak patut dijalankan sebelum pilihan raya tamat.

Jadi, syarikat mengeluarkan notis pada 1 April 2004. Notis penamatan telah diberikan kepada lebih daripada 40 orang pekerja, tetapi itu bukan perkara yang paling mengejutkan pada hari itu. Ahli yang paling aktif, iaitu Setiausaha Kesatuan serta Pengerusi kuil, Mathuraveeran, telah mengalami serangan jantung dan meninggal dunia pada hari menerima notis pemberhentian. Ini adalah satu tamparan berganda. Bayangkan bagaimana notis ini telah mengerunkan keluarga-keluarga ini.

Hari ini, apabila mengimbas balik peristiwa ini semasa majlis tandatangan perjanjian penyelesaian, isteri Mathuraveeran, Munichy menitiskan air mata. Mathuraveeran mungkin tidak bersama kita, tetapi hari ini beliau mungkin gembira merenung kita dari atas dengan bangganya.

Perjuangan bermula

Perjuangan telah bermula dari hari pertama notis pemberhentian kerja diberikan. Tekanan dan ugutan daripada pengurus ladang telah menyebabkan sebahagian orang meninggalkan ladang. Mereka yang berasa putus asa mula meninggalkan ladang. Kebanyakan mereka yang meninggalkan ladang kerana telah diugut bahawa jika mereka enggan berpindah, maka faedah pemberhentian kerja tidak akan dibayar. Terdapat juga khabar angin bahawa air dan elektrik akan diputuskan. Oleh sebab gelisah dan takut, sebahagian orang mula meninggalkan ladang ini. Beberapa orang daripada mereka berkata bahawa anak-anak mereka memaksa mereka meninggalkan ladang kerana merasakan tiada jalan lagi.

Dalam kemelut ini, satu mesyuarat telah diatur antara MAPA (Persatuan Pengeluar-pengeluar Pertanian Malaya) dan NUPW (Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang), namun penyelesaian tidak dapat dicapai. Kesatuan sekerja menuntut bayaran ex-gratia dan perumahan sebagai penyelesaian, tetapi MAPA tidak bersetuju dan mengatakan bahawa mereka tidak diwajibkan di bawah undang-undang untuk membina rumah bagi pekerja. Empat pemimpin kesatuan tempatan hadir mesyuarat ini, tetapi status mereka hanyalah pemerhati sahaja di mana pandangan mereka tidak diambil kira. Maka, mesyuarat antara kesatuan dan syarikat perladangan berakhir dengan kebuntuan. Tidak lama kemudian, disebabkan ladang tidak lagi beroperasi, kesatuan sekerja mereka semakin lenyap daripada isu ini.

Para pekerja juga tidak mempunyai sebarang dokumen kecuali janji-janji mulut yang dibuat kepada mereka oleh majikan. Mereka bersumpah bahawa pengurus ladang dan kerani telah beberapa kali berjanji bahawa mereka akan diberi rumah apabila ladang itu dibangunkan. Itulah sebabnya ramai pekerja terus bekerja di ladang walaupun dibayar gaji yang rendah. Namun, apabila ladang ini betul-betul dibangunkan, janji-janji ini tidak ditepati.

Di bawah tekanan yang intensif dan tanpa kesatuan sekerja yang berjuang untuk mereka, lebih daripada sedozen keluarga enggan meninggalkan ladang dan bertekad untuk terus berjuang. Tuntutan utama mereka adalah rumah tetap.

Dalam masa inilah, para pekerja menghubungi kami. Ini tidak menghairankan memandangkan mereka telah lama mengenali kami. Sejak zaman kampus lagi, kami mengajar tuisyen percuma untuk anak-anak pekerja ladang di Sekolah Tamil Semenyih, Maka kami dipanggil “sir” atau guru, manakala ada pula merujuk kami sebagai kumpulan Pattali , kerana kami mengedar risalah bulanan yang bertajuk “Pattali” (buruh) yang mengutarakan isu-isu yang dihadapi oleh pekerja ladang.

Hubungan kami dengan pekerja ladang adalah lama. Dalam banyak keadaan, kami sentiasa bersama pekerja-pekerja dan kesatuan tempatan. Seawal tahun 1992, saya melawat ladang ini setiap hari Rabu, dan setelah itu, seorang lagi pelajar UKM bernama Prabha menjadi penyelaras pertama bagi ladang ini. Ramai pelajar UKM lain daripada kumpulan kami membantu untuk menyelaraskan kerja-kerja di dalam Ladang Semenyih terutamanya dalam isu pendidikan, belia dan pekerja.

Pada tahun 1993, Ladang Semenyih adalah salah satu daripada 11 ladang yang telah menuntut pelaksanaan Skim Perumahan Sendiri Pekerja. Pada 6 Oktober 1993, satu memorandum telah diserahkan kepada Timbalan Menteri Buruh pada ketika itu.

Pembentukan jawatankuasa baru

Oleh itu, apabila pekerja telah diberhentikan, ia tidak sukar untuk mereka membentuk satu jawatankuasa. Jawatankuasa Bekas Pekerja Ladang ini terdiri daripada bekas pekerja ladang dan anak-anak mereka. Kesemua anak muda pula adalah anak-anak pekerja ladang dan mereka sudah aktif dalam kelab belia – PTI (Kelab Peka Tegas Ikhlas). Antara anak-anak muda ini adalah Jaya, Poongkodi dan Punitha. Ahli Jawatankuasa selebihnya adalah bekas pekerja ladang seperti Maniam, Joseph dan Munichy. Mereka berenam memainkan peranan penting untuk memberikan kepimpinan dalam perjuangan ini dalam tahun-tahun kemudian.

Ia mengambil masa beberapa tahun untuk Pengurusan Ladang menerima Jawatankuasa ini kerana mereka telah biasa bekerja dengan kesatuan. Ladang terus beroperasi di bawah pekerja kontrak, tetapi mereka juga mula menjual tanah mereka satu demi satu.

Ladang dijual, masyarakat terancam

Sekitar tahun 2008, penjualan tanah bersebelahan dengan rumah mereka telah menyebabkan banyak kesusahan di mana lori hantu digunakan untuk menjalankan kerja tanah secara besar-besaran. Tanah mereka semakin mengecil. Ladang Semenyih yang pada asalnya sebuah ladang getah, kemudian telah bertukar menjadi ladang kelapa sawit, manakala padang permainan telah ditukar menjadi nurseri. Pada masa itu, kerja pembangunan penting telah dilaksanakan oleh syarikat baru seperti Tiara Timur dan Bandar Mewah Diamond City. Ini telah dijalankan oleh Kueen Lai Group of Companies, Mayland dan Country Garden Development. Sime Darby telah menjual tanah sehingga menyebabkan bandar besar dan rumah-rumah mewah lagi mahal dibina. Pekerja-pekerja ladang yang telah bergenerasi berkorban untuk ladang ini hanya mampu melihat rumah-rumah ini dan bermimpi mengenainya.

Paling teruk adalah kawasan tadahan air mereka yang digunakan untuk menyediakan air minuman kini telah tercemar. Ini bermakna pekerja yang mendapat air yang dirawat sebelum ini kini mendapat air berlumpur. Ada masanya, mereka tidak mendapat air selama beberapa minggu. Pada tahun 2013 misalnya, selama hampir 3 bulan mereka tidak mempunyai air minuman yang bersih.

Apabila berdepan ancaman ini, pekerja-pekerja telah mengorganisasi diri mereka dan mula untuk memberhentikan lori dan mewujudkan sekatan jalan. Mereka juga memasang papan tanda dalam lingkungan 100 meter dengan tuntutan supaya pemaju tidak menceroboh tanah mereka.

Dua syarikat besar menggunakan jalan ini, dan ini menyebabkan ancaman berbahaya habuk yang meliputi rumah mereka. Maka, para pekerja terpaksa menghentikan lori-lori ini dan tidak lama kemudian, pemaju-pemaju ini mula akur kepada peraturan yang diwujudkan oleh Jawatankuasa Pekerja. Membantah dan menghentikan kerja pemaju telah membuahkan hasil positif. Para pekerja akhirnya disediakan dengan air minuman yang kini dipam dari sumber air bawah tanah.

Peranan Kerajaan Negeri

Jawatankuasa Bekas Pekerja Ladang juga membawa perjuangan perumahan kepada Kerajaan Negeri Selangor, di mana terdapat dasar sejak tahun 1993 bahawa syarikat-syarikat perladangan perlu terlebih dahulu membina rumah untuk pekerja sebelum mengusir mereka. Ini hanyalah satu dasar dan bukan undang-undang. Namun, syarikat-syarikat perladangan juga berpengaruh dan mempunyai hubungan untuk mengusir pekerja ladang dengan menggunakan kuasa mereka. Oleh itu, ia adalah satu keadaan di mana siapa yang boleh mendapat sokongan Kerajaan Negeri.

Rundingan untuk perumahan pada awalnya bermula semasa Xavier Jayakumar menjadi Ahli Exco Kerajaan Negeri dan diteruskan sehingga zaman Ganabatirau menjadi Ahli Exco Kerajaan Negeri. Pada mulanya, terdapat banyak halangan dalam rundingan. Contohnya, Lembaga Sekolah Tamil menyaman Sime Darby dan Kerajaan Negeri di mahkamah, dan sementara itu terdapat beberapa isu mengenai pemindahan kuil Hindu. Ini kemudiannya diselesaikan apabila kuil dibenarkan untuk kekal di tempat yang asal manakala gereja telah diberi sebidang tanah untuk pembinaan semula. Perkara yang melibatkan sekolah masih di mahkamah.

Penghargaan juga perlu diberikan kepada Exco Negeri, Ganabatirau, yang dalam banyak mesyuarat di pejabatnya, tidak tunduk kepada tuntutan pemilik ladang. Beliau sentiasa memberitahu Sime Darby untuk menyelesaikan perkara-perkara dengan pekerja ladang dan berkata bahawa Kerajaan Negeri tidak akan bersetuju untuk pekerja diusir tanpa keperluan perumahan mereka dipenuhi. Ini memberi ruang kepada kami untuk berunding.

Perjanjian penyelesaian

Akhirnya, Sime Darby bersetuju untuk perumahan tetapi ia telah mengambil hampir 2 tahun untuk mencapai pencapaian ini. Dua isu yang susah diselesaikan ialah, pekerja mahukan Perjanjian Jual beli ditandatangani dan rumah yang dibina adalah percuma. Sejurus selepas itu, banyak mesyuarat telah diadakan di pejabat Ganabatirau, Pejabat PSM Semenyih, kuil dan juga ladang.

Perjanjian penyelesaian mendapat satu momentum apabila satu pasukan baru pegawai Sime Darby dipimpin oleh Hamili dan Mazuki telah memasuki rundingan. Mereka berjanji bahawa mereka adalah pasukan baru dan rundingan diteruskan untuk beberapa ketika sehingga penyelesaian dicapai. Ada masanya tegang, apabila mereka berkata bahawa mereka akan mula melakukan kerja dan meminta pekerja untuk bersedia untuk menghadapi pemotongan elektrik dan air pada awal tahun ini. Para pekerja amat marah dan bertindak balas dengan laporan polis dan menghantar surat tegas kepada Sime Darby.

Akhir sekali, niat baik dan kebaikan menang apabila dalam beberapa perbincangan tertutup, isu perumahan diselesaikan. Bagi pekerja ladang, kami sentiasa berpendirian bahawa tuntutan kami adalah munasabah memandangkan kami mewakili kepentingan beberapa generasi pekerja ladang. Sime Darby mesti membayar balik hutang yang dikumpul daripada beberapa generasi pekerja ladang. Bagi Sime Darby, mereka kesuntukan masa kerana mereka telah menjual tanah tersebut kepada pihak ketiga dan 17 keluarga ini merupakan halangan.

Akhirnya, Hamili dan saya berjabat tangan kerana ia merupakan satu rundingan sengit bagi kedua-dua pihak. Sime Darby hendak pekerja meninggalkan ladang serta-merta manakala pekerja bertekad untuk meninggalkan ladang hanya selepas mendapat tawaran yang baik. Akhirnya penyelesaian dicapai.

Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada peguam kami, Ragu Kesavan, yang membantu kami dalam mengukuhkan perjanjian dengan bayaran yang sangat kecil. Ahli Majlis Thiaga, Rajen serta Senator Chandramohan juga membantu jawatankuasa dalam beberapa masa sukar. Datuk Nizam dari Unit Perancang Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) juga pada satu ketika memberi amaran kepada Sime Darby dan memberi jaminan kepada pekerja bahawa mereka tidak perlu keluar dan mengarahkan Sime Darby untuk memberikan surat aku janji bahawa mereka akan membina rumah-rumah seperti yang dijanjikan. Surat aku janji ini juga telah diberi oleh Sime Darby semasa majlis tandatangan ini.

Akhir sekali, dalam tempoh setahun, Perjanjian Jual Beli akan ditandatangani. 17 keluarga telah mengundi lot rumah mereka. Dalam tempoh masa 32 bulan, rumah teres mereka akan disiapkan.

Kerja akar umbi memantapkan perjuangan

Mengimbas kembali, kemenangan ini juga merupakan hasil gabungan kerja akar umbi yang kami lakukan selama lebih daripada 25 tahun. Kami pernah mengajar pelajar di sekolah Ladang Semenyih pada awal tahun 1990-an, dan selepas itu kami membuat kerja-kerja organisasi di bawah CDC (Pusat Pembangunan Masyarakat) dan kemudian JSML (Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang), dan pada hari ini di bawah PSM. Maka, ia adalah kerja organisasi yang dijalankan bertahun-tahun. Ia membantu kami membina kepercayaan dengan rakyat dan memperkasakan mereka untuk berjuang mendapatkan kemenangan. Ada ketikanya majikan berfikir boleh menghasut pekerja supaya tidak bersama kami. Mereka gagal pada setiap masa kerana kepercayaan ini dibina selama beberapa dekad dan bukannya semasa tempoh pilihan raya sahaja.

Semua mesyuarat diadakan secara demokratik dengan penyertaan penuh dan pengetahuan semua pekerja. Setiap keputusan adalah dibuat oleh mereka. Kami sentiasa bersama mereka. Kami pernah mengedar risalah dan mengadakan banyak perbincangan dan pekerja juga terlibat dalam banyak perjuangan kebangsaan dengan pekerja ladang lain.

Majlis menandatangani perjanjian bersejarah ini bermakna pekerja tidak lama lagi akan meninggalkan ladang yang didiami oleh mereka untuk beberapa generasi. Tetapi mereka tidak akan keluar dengan tangan kosong. Mereka akan pergi ke rumah baru mereka sendiri.

Bagi kami, kami menepati janji kami. 30 tahun yang lalu, pada tahun 1987, sebagai pelajar kami bertekad akan berjuang bersama-sama pekerja ladang. Dengan penyelesaian ini, ia bermakna kami telah menyelesaikan semua isu-isu utama di ladang-ladang di Daerah Hulu Langat. Dua lagi ladang iaitu Ladang Bangi dan Denudin telah menandatangani perjanjian dan menunggu rumah percuma untuk disiapkan. Hari ini, sebahagian bekas mahasiswa ini telah beredar, manakala perjuangan ini diteruskan oleh sebahagian bekas mahasiswa sehingga hari ini.

Perjuangan ini adalah satu perjuangan kelas. Perjuangan antara kaum pekerja dan kapitalis, antara yang kaya dengan yang miskin, antara 1% dan 99%, akan berterusan. Seramai 23 orang pekerja boleh berbangga kerana berjuang dan mencapai kemenangan hari ini. Mereka akan menyertai senarai pekerja yang berjuang dan menang. Berani lawan, berani menang. Ini satu lagi kisah yang menunjukkan apabila anda berani berjuang, kemenangan bukanlah mustahil.

==========

S. Arutchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Kisah perjuangan Ladang Semenyih

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *