
oleh K. Kunasekaran
Parti Sosialis Malaysia (PSM) Parlimen Batu Gajah mendesak Kerajaan Negeri Perak dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya memberikan penjelasan terbuka berhubung pelaksanaan Sistem Lesen Premis Digital myPATIL, khususnya pengenaan caj tahunan RM40 kepada pemegang lesen perniagaan.
PSM telah menghantar surat rasmi kepada Menteri Besar Perak dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 23 Julai 2026, yang diterima di kaunter pejabat pada 24 Julai 2026. Namun, sehingga kini, tiada maklum balas rasmi diterima.
PSM membangkitkan isu pengenaan caj pelesenan digital RM40 di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM). Kerajaan negeri dan kedua-dua PBT perlu menjelaskan sama ada caj ini dikenakan secara seragam, kategori peniaga yang terlibat serta asas pengenaan caj tersebut.
Semakan terhadap bil pembaharuan lesen MDBG menunjukkan bahawa peniaga dikenakan caj pelesenan digital myPATIL sebanyak RM40 setiap tahun mulai tahun 2024. Persoalannya, pemasangan peranti cip Gates Tag pada tahun 2023 sebelum ini dimaklumkan sebagai percuma. Mengapa peniaga kini perlu membayar caj tahunan? Lebih membimbangkan, walaupun caj digital dikenakan, peniaga masih diwajibkan untuk mencetak dan mempamerkan lesen fizikal di premis masing-masing.
Pada 21 Mac 2023, Menteri Besar Perak mengumumkan peruntukan melebihi RM2 juta bagi menyokong pelaksanaan myPATIL di 15 buaPBT. Oleh itu, kerajaan negeri perlu menjelaskan mengapa peniaga masih dibebankan dengan caj tahunan RM40 dan apakah kos sebenar yang ditanggung melalui peruntukan tersebut.
PSM turut mempersoalkan sama ada caj ini telah mendapat kelulusan Mesyuarat Penuh Majlis setiap PBT, mempunyai asas perundangan yang sah dan diwartakan sebagaimana yang dikehendaki. Kerajaan negeri juga perlu menjelaskan sama ada peniaga kecil dan persatuan peniaga telah diberikan taklimat serta peluang menyuarakan pandangan sebelum pelaksanaan sistem dan pengenaan caj tersebut.
Melalui surat rasmi tersebut, PSM mengemukakan 11 persoalan kepada Kerajaan Negeri Perak, iaitu:
- Bilakah myPATIL dilaksanakan di setiap 15 buah PBT?
- Apakah status pelaksanaan dan jumlah premis yang terlibat?
- Siapakah kategori pemegang lesen yang diwajibkan menggunakan sistem dan membayar RM40?
- Berapakah jumlah peniaga yang dikenakan caj?
- Adakah caj tersebut diluluskan oleh Mesyuarat Penuh Majlis?
- Apakah asas perundangan dan status pewartaannya?
- Mengapa caj dikenakan sedangkan kerajaan negeri telah memperuntukkan lebih RM2 juta?
- Siapakah vendor yang dilantik dan apakah kaedah perolehannya?
- Apakah penjimatan sebenar kepada peniaga?
- Apakah manfaat digital yang diterima pemegang lesen?
- Adakah peniaga dan persatuan mereka diberikan notis awal dan peluang untuk menyuarakan pandangan sebelum pelaksanaan?
PSM menuntut Kerajaan Negeri Perak memansuhkan caj mandatori RM40 setahun kepada peniaga mikro, penjaja dan peniaga kecil. Peniaga juga mesti diberikan pilihan untuk memperbaharui lesen secara konvensional tanpa penalti atau menjejaskan lesen perniagaan mereka. Selain itu, kerajaan negeri hendaklah menjawab kesemua 11 persoalan secara bertulis dalam tempoh 14 hari serta mendedahkan secara telus penggunaan peruntukan awam dan pelantikan GATES IT Solution Sdn. Bhd. sebagai vendor sistem.
PSM tidak menentang pendigitalan perkhidmatan kerajaan. Namun, pendigitalan sepatutnya memudahkan rakyat dan mengurangkan kos, bukannya mewujudkan caj tahunan tambahan kepada peniaga kecil. Kerajaan negeri harus bertanggungjawab untuk menjelaskan penggunaan wang rakyat dan memastikan kepentingan peniaga tidak diketepikan.
PSM menuntut penjelasan, ketelusan dan akauntabiliti. Wang rakyat mesti dipertanggungjawabkan, bukan beban tambahan dipindahkan kepada peniaga kecil.
==========
K. Kunasekaran ialah Penyelaras PSM Parlimen Batu Gajah.
