Peta yang menunjukkan keputusan awal pilihan raya parlimen Serbia 2026. Merah mewakili Senarai Siswa, biru mewakili SNS. (sumber: wikipedia)

Gerakan protes anti-korupsi yang diterajui oleh golongan pelajar di Serbia selama hampir dua tahun membuahkan hasil apabila senarai calon yang disokong oleh gerakan pelajar muncul sebagai pemenang dalam pilihan raya parlimen negara itu.

Pilihan raya parlimen Serbia diadakan pada 25 Oktober 2026, dengan lebih 4.3 juta orang pengundi keluar mengundi. Gabungan politik “Serbia Bersatu”, yang diterajui oleh Parti Progresif Serbia (SNS), sebuah parti berhaluan kanan (walaupun mengambil nama “Progresif”) di bawah kepimpinan Aleksandar Vučić, telah mengalami kekalahan dengan memenangi hanya 103 daripada 250 kerusi dalam Perhimpunan Kebangsaan Republik Serbia. SNS merupakan parti pemerintah di Serbia sejak tahun 2012, dengan pemimpinnya Aleksandar Vučić memegang jawatan sama ada Perdana Menteri atau Presiden sepanjang tempoh itu, dan melaksanakan pelbagai dasar anti-rakyat.

“Senarai Siswa”, inisiatif yang dibangunkan oleh gerakan pelajar yang menerajui protes anti-korupsi dua tahun kebelakangan ini, berjaya memenangi 140 kerusi, maka menumbangkan pemerintahan Aleksandar Vučić dan SNS yang berterusan selama 14 tahun. Calon-calon daripada Senarai Siswa terdiri daripada ahli akademik, profesional dan tokoh awam yang dipilih melalui perhimpunan pelajar. Calon utama Senarai Siswa, Ilija Srdanović, ialah seorang pakar kardiologi dan profesor di Universiti Novi Sad. Ilija Srdanović telah menyokong aksi protes pelajar secara terbuka dan pernah berucap dalam beberapa demonstrasi pelajar.

Senarai Siswa mengemukakan “Rancangan Siswa” sebagai manifestonya, dengan slogan “Serbia atau Mafia”, “Ilmu itu Kuasa” dan “Serbia Bertumbuh Bersama Kita”. Teras program Senarai Siswa tertumpu pada perjuangan menentang jenayah dan korupsi, di samping mendukung langkah-langkah pembaharuan sosial seperti buku teks sekolah yang percuma dan meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan. Senarai Siswa juga memperjuangkan ketelusan yang lebih besar dalam perolehan awam serta pengambilan pekerja sektor awam, pengehadan monopoli import, penurunan harga ubat-ubatan dan sebagainya.

Senarai Siswa lahir daripada gerakan protes rakyat yang tercetus selepas keruntuhan bumbung Stesen Kereta Api Novi Sad, yang terletak di wilayah Vojvodina di bahagian utara Serbia, pada 1 November 2024. Seramai 16 orang terbunuh dalam insiden keruntuhan bumbung stesen kereta api itu. Stesen Kereta Api Novi Sad yang dibina pada tahun 1964 telah menjalani pengubahsuaian dari tahun 2021 hingga pertengahan tahun 2024 dengan sokongan daripada Inisiatif Jalur dan Jalan yang dibawa oleh kerajaan China. Peristiwa maut itu mencetuskan protes besar-besaran di bandar Novi Sad, untuk menyuarakan bantahan terhadap kecuaian dan amalan rasuah pihak berkuasa tempatan, di samping menuntut penyiasatan yang telus terhadap keruntuhan bumbung bangunan itu dan mendedahkan dokumen yang berkaitan dengan insiden itu. Tidak lama kemudian, aksi protes merebak ke ratusan buah bandar dan pekan di seluruh negara Serbia, dengan golongan demonstran menuntut akauntabiliti pihak berkuasa. Gerakan protes ini diterajui oleh golongan pelajar. Pelajar-pelajar sekolah menengah dan universiti melakukan aksi menyekat kampus mereka.

Protes di Belgrade pada 22 Disember 2024. (foto: Stefan Miljuš / Wikipedia)

Gerakan protes anti-korupsi yang diterajui oleh golongan pelajar di Serbia telah berkembang menjadi sebuah gerakan demokrasi langsung yang mencabar kekuasaan kerajaan pemerintah dan parti pembangkang arus perdana, di samping membuka ruang kerjasama dengan kesatuan-kesatuan sekerja di negara itu. Sebuah aksi mogok umum diadakan pada 24 Januari 2025.

Kerajaan pimpinan Presiden Aleksandar Vučić cuba menggunakan pelbagai cara untuk mematahkan gerakan protes tetapi menemui kegagalan. Penggunaan teori konspirasi, penindasan ganas terhadap demonstran, penangkapan sewenang-wenangnya, pendakwaan di mahkamah, intimidasi pihak berkuasa dan sebagainya, gagal mematahkan semangat perjuangan anak muda Serbia. Hasil daripada perjuangan gigih dan berani yang berterusan ini, Aleksandar Vučić meletak jawatannya sebagai Presiden Serbia dan mengumumkan pilihan raya awal pada bulan September 2026.

Pada 22 Oktober 2026, kira-kira 150,000 orang berarak di Belgrade, ibu negara Serbia, untuk menyokong Senarai Siswa daripada gerakan pelajar. Tiga hari kemudian, Senarai Siswa mencipta sejarah dengan menewaskan parti SNS yang dipimpin oleh Aleksandar Vučić.

Kemenangan Senarai Siswa dalam pilihan raya memberi nafas baharu kepada arena politik Serbia. Walau bagaimanapun, perjuangan tidak berhenti setakat kemenangan pilihan raya, cabaran untuk pembaharuan yang sebenar baru bermula di Serbia…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *