oleh Tinagaran Subramaniam

Situasi krisis di Negeri Sembilan semakin meruncing kini apabila UMNO-Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri yang diterajui Dato’ Seri Utama Hj Aminuddin Bin Harun dari Pakatan Harapan (PH).

Ini menjadikan kerajaan negeri hanya disokong oleh 17 orang wakil rakyat, kurang daripada jumlah 19 kerusi yang diperlukan bagi membentuk majoriti. Perikatan Nasional (PN) juga telah menawarkan kerjasama dengan Barisan Nasional bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

Kami berpendirian bahawa PH perlu mengambil tindakan yang bermaruah dengan memulangkan kuasa membuat keputusan kepada tangan rakyat untuk membuat pilihan baharu.

Kita tidak mahu tragedi Langkah Sheraton berulang lagi dengan mana-mana wakil rakyat atau parti politik sewenang-wenangnya membuat percaturan sendiri; bergabung dan berpisah sesuka hati tanpa mendengar keinginan rakyat dari bawah.

Meskipun membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini berisiko bagi PH yang hendak menerajui kerajaan pada masa akan datang, ia adalah langkah terhormat bagi menyelamatkan demokrasi daripada menjadi mainan kaki-kaki politikus yang cuba mengambil kesempatan.

Kami juga ingin menegaskan sungguhpun Negeri Sembilan mempunyai adat yang unik dan dihormati, diharapkan ia tidak menyekat atau mengganggu gugat sebuah kerajaan negeri yang berdiri atas mandat rakyat. Suara rakyat harus menjadi lebih keramat dan berdaulat untuk ditaati dan dipertahankan.

==========

Tinagaran Subramaniam ialah Pengerusi PSM Negeri Sembilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *