oleh Kah Wae
Setiap pegawai perubatan (MO) baharu dilantik atau mereka yang layak bermula 1 Disember 2024 yang ditempatkan ke Sabah, Sarawak dan Labuan telah dipotong elaun. Di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu, Bayaran Imbuhan Wilayah (BIW) untuk doktor baharu yang ditempatkan di wilayah Borneo telah ditetapkan pada kadar RM360. Doktor lama masih boleh mendapatkan elaun BIW lama, yang lazimnya lebih tinggi daripada RM360.
Potongan elaun BIW ini amat mengecewakan. Di bawah sistem lama pun, Borneo menghadapi kekurangan doktor, dan situasi hanya akan merosot dengan potongan ini.
Pada tahun 2024, Sabah merekodkan nisbah populasi:doktor 729:1, atau 1.37 orang doktor per 1,000 orang penduduk. Ini jauh lebih rendah daripada nisbah nasional, iaitu 404:1 atau 2.48 orang doktor per 1,000 orang penduduk. [1] Ini bermakna Sabah mendapat 45 peratus kurang doktor berbanding dengan Malaysia.
Untuk tahun 2023, kos sara hidup purata adalah RM1,080 di Sabah, RM1,089 di Sarawak, dan RM1,368 di Labuan. [2] Di setiap wilayah ini, elaun BIW RM360 jauh sekali tidak mencukupi. Selain daripada perbelanjaan harian, ramai MO juga terpaksa membayar balik pinjaman pendidikan. Tentunya, potongan elaun BIW yang mendadak ini tidak akan menarik doktor dari negeri lain untuk berkhidmat di Borneo.
Dari tahun 2022 hingga 2024, kesemua tiga buah wilayah di Borneo merekodkan kadar populasi:doktor yang lebih rendah daripada purata nasional (404:1 pada tahun 2024) [3], dan purata sasaran (400:1). [4] Dari tahun 2023 hingga 2024, jurang ini menjadi semakin teruk di Sabah dan Sarawak. Di Sarawak, nisbah populasi:doktor meningkat daripada 453:1 ke 516:1. Di Labuan, walaupun tiada perbezaan ketara di antara tahun 2023 hingga 2024, nisbahnya masih melangkaui sasaran 400:1. [5]
Skim BIW baharu ini hanya akan melebarkan jurang agihan doktor di antara Semenanjung Malaysia dan Borneo.
Potongan elaun yang mendadak untuk MO baharu mungkin juga akan membangkitkan perasaan tidak puas hati dalam tenaga kerja sistem kesihatan awam Malaysia. MO baharu terpaksa menerima kadar RM360 sebulan, tidak kira pengalaman dan skop kerja mereka. Ini mungkin juga akan menjadi halangan kepada doktor baharu yang ingin dinaikkan pangkat, kerana elaun BIW mereka dibekukan sementara jumlah kerja mereka bertambah.
Perbezaan antara sistem lama dan sistem baharu tentunya tidak akan diterima baik oleh mereka yang ingin berkhidmat dalam sistem kesihatan awam, sekali gus meningkatkan ‘brain drain’ di Borneo, yang tidak boleh lagi menampung kekurangan doktor.
Jika Kementerian Kesihatan Malaysia ingin mencapai sasaran 400:1, [6] mereka harus berhenti memotong elaun doktor. Jika kerajaan ingin menjimat duit, mereka boleh bermula dengan memotong elaun ahli parlimen dahulu.
Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan terus menyokong seruan doktor dan Malaysian Medical Association (MMA) untuk elaun BIW yang mencukupi, untuk memastikan perkhidmatan kesihatan yang mencukupi bagi rakyat Sabah, Sarawak, dan Labuan.
Semua rakyat Malaysia patut menyokong segala usaha untuk menyelamatkan sistem kesihatan awam negara kita.
==========
Kah Wae ialah Ahli Jawatankuasa Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam PSM.
==========
Nota
- Department of Statistics Malaysia (DOSM). ‘MY local stats, Malaysia, 2024.’ DOSM, November 4, 2025. https://www.dosm.gov.my/uploads/release-content/file_20251124123650.pdf
- Department of Statistics Malaysia (DOSM). ‘Cost of living.’ OpenDOSM, November 2, 2024. https://storage.dosm.gov.my/col/col_2023.pdf
- Ibid.
- ‘MOH to study new policy proposals on appointment, placement of doctors – Dr Dzulkefly.’ Bernama, Julai 1, 2024, https://bernama.com/en/news.php?id=2313062
- DOSM, ‘Cost of living.’
- ‘MOH to study new policy proposals.’
