PUTRAJAYA – 18 NOVEMBER 2025: Jaringan masyarakat sivil yang prihatin terhadap ancaman “pembangunan” Hutan Simpan Kledang Saiong di Daerah Kuala Kangsar, Perak, menggesa Jabatan Alam Sekitar untuk menolak Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) berkaitan Projek Ladang Hutan seluas 2,020 hektar di Hutan Simpan Kledang Saiong. Seruan ini dibuat dalam satu memorandum yang diserahkan kepada ibu pejabat Jabatan Alam Sekitar pada hari ini.  

Laporan EIA bagi projek ladang hutan yang dijalankan oleh syarikat Khas Jadi Sdn Bhd itu disediakan oleh syarikat perunding ChemSain Konsultant Sdn Bhd. Jaringan badan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan individu yang prihatin yang mengkaji laporan EIA itu mendapati bahawa ia amat berat sebelah dan tidak memberikan gambaran yang sebenar tentang kesan-kesan negatif projek ladang hutan yang bakal dijalankan.

Antara perkara yang tidak dikendalikan secara profesional dalam laporan EIA yang disediakan oleh ChemSain Konsultant ialah:

1. Risiko banjir

Air hujan dari kawasan hutan ini akan mengalir melalui Sungai Buloh dan Sungai Bemban ke Sungai Nyamuk, dan selepas itu ke Sungai Kerdah dan Sungai Pelus sebelum bergabung ke dalam Sungai Perak di kawasan berdekatan pekan Karai. Pada masa ini pun, taman-taman perumahan dan kampung-kampung yang terletak berdekatan sungai-sungai yang disenaraikan di atas, sering dilanda banjir apabila  berlakunya hujan lebat. Adanya kampung, seperti Kampung Tok Sirat, yang dilanda banjir teruk beberapa kali setiap tahun.

Namun, ChemSain Konsultant tidak menyiasat perkara ini untuk memastikan bilangan keluarga yang dilanda banjir ataupun kerugian yang dialami oleh komuniti-komuniti yang menduduki kampung-kampung dan taman-taman yang selalu dilanda banjir. Walaupun kajian impak sosial yang dilakukan oleh ChemSain Konsultant telah merakamkan bahawa 42.5% daripada orang yang ditemubual menyatakan bahawa mereka khuatir terhadap risiko banjir kilat dan 32.8% menjawab bahawa mereka bimbang tentang kemungkinan sungai akan dicemari oleh projek ladang ini, ChemSain Konsultant gagal mengkaji perkara ini secara mendalam.

Penilaian oleh ChemSain Konsultant adalah silap kerana ia hanya fokus pada perubahan dalam kadar “air larian permukaan” (surface run-off) untuk menilai risiko banjir. ChemSain Konsultant langsung tidak mengambil kira impak pemendapan sungai-sungai yang disenaraikan di atas, akibat penghakisan tanah berpunca daripada pembalakan skala besar di kawasan projek hutan.

Ini adalah pendirian yang pelik kerana ChemSain Konsultant sendiri telah mengeluarkan pelbagai jadual dan carta (dalam laporan EIAnya) yang menyatakan bahawa kadar hakisan tanah akan meningkat secara mendadak di semua bahagian yang dibalak.  Jadual di bawah adalah contoh – dan ia menyatakan bahawa kadar hakisan tanah di kawasan yang dibangunkan adalah antara 90 tan tanah sehektar setahun dan 4,500 tan sehektar setahun bergantung pada kecerunan kawasan dan juga pematuhan pada langkah-langkah yang disyor oleh ChemSain Konsultant untuk mengawal penghakisan tanah.  

Jadual Satu : Jangkaan hakisan tanah dalam fasa-fasa projek ladang hutan (dalam tan/hektar/tahun)

PetakKawasan tadahan dan keluasanCatchmentID dan AreaPra-pembangunanSemasa pembangunanSemasa pembangunan (langkah jaga-jaga penuh)Pasca pembangunan
Plot 1C1  – 36.88 ha79.13806.696.57.8
Plot 1C2 – 93.42 ha70.63806.696.58.3
Plot 1C3 – 36.92 ha79.13782.294.68.1
Plot 1C4 – 8.48 ha70.63782.294.68.1
Plot 1C5 – 14.73 ha83.34500.1112.59.8
Plot 1C6 – 11.57 ha48.42691.658.25.2
Sumber: Laporan EIA ChemSain Konsultant – Muka surat C7-35 (Hanya sebahagian jadual dalam Laporan EIA  dipetik untuk jadual di atas)

Walaupun sedar terhadap masalah penghakisan tanah, ChemSain Konsultant tidak mengesyorkan sebarang kaedah untuk memantau kadar pemasiran dan pemendapan sungai-sungai yang terlibat. Langsung tiada perbincangan bagaimana pemendapan sungai boleh dipantau dan diukur.

Oleh kerana isu pemendapan sungai tidak diambil serius, langsung tiada perbincangan berkaitan keperluan untuk usaha mendalamkan sungai-sungai yang terlibat. Kekerapan proses membersihkan sungai dan punca kewangan untuk usaha berterusan ini, langsung tidak dibincang.  

Kegagalan mengambil kira isu pemendapan sungai dan kaedah dan kos untuk menangani masalah ini, membuktikan sikap berat-sebelah pihak ChemSain Konsultant, yang nampaknya, berazam untuk mengurangkan beban kewangan penggerak projek, iaitu syarikat Khas Jadi Sdn Bhd (yang merupakan pihak yang membayar ChemSain Konsultant untuk kajian EIA).

2. Situasi haiwan liar di kawasan projek

Kepakaran ChemSain Konsultant dalam isu alam sekitar dan hutan jelas terbukti dalam cara ChemSain Konsultant menyiasat spesies-spesies haiwan yang berada di kawasan hutan yang akan dibalak. ChemSain Konsultant telah menyeneraikan 60 spesies mamalia, 49 spesies reptilia, 25 spesies amfibia dan 175 spesies burung dengan nama-nama saintifik mereka. Daripada jumlah ini, 51 spesies adalah “dilindungi” dan 166 lagi adalah “dilindungi sepenuhnya” di bawah Akta 716, iaitu Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Sila rujuk jadual di bawah.

Jadual  Dua: Haiwan liar di Hutan Simpan Kledang Saiong

Jenis HaiwanJumlah SpesiesDilindungiDilindungi sepenuhnya
 Mamalia 60 9 13
 Amfibia 25 6 0
 Reptilia 49 26 2
 Burung 175 10 151
 Jumlah 309 51 166
Sumber: Bab 6, Laporan EIA yang disediakan oleh ChemSain Konsultant

Walaupun mempunyai kepakaran yang tinggi dalam mengenal pasti dan menamakan semua haiwan ini, ChemSain Konsultant terlupa menyebut bahawa hutan kawasan projek merupakan hutan terpencil (isolated forest). Kewujudan Lebuhraya Utara-Selatan menghalang gerakan haiwan dari kawasan projek hutan ke kawasan hutan di selatan lebuh raya.

Kegagalan mengenal pasti hakikat bahawa kawasan projek hutan merupakan “hutan pulau” (forest island) membolehkan ChemSain Konsultant mengelak daripada membincangkan bagaimana masalah halangan bagi gerakan haiwan liar dapat diatasi. Satu cara adalah untuk membina jalan-jalan “laluan bawah tanah” di setiap 2 km lebuh raya di kawasan dekat projek untuk mewujudkan jalan bagi haiwan melarikan diri dari kawasan pembalakan ke hutan di selatan lebuh raya. Tetapi langkah ini langsung tidak dikemukakan, mungkin kerana ia akan membawa kos tinggi kepada penggerak projek.

Kegagalan ChemSain Konsultant membincangkan secara lengkap isu haiwan terperangkap di sebuah hutan pulau menguatkan persepsi bahawa ChemSain Konsultant, yang jelas mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang alam sekitar, sedang memakai kepakarannya untuk menyamarkan fakta-fakta yang benar supaya menjimatkan kos untuk syarikat yang membayarnya.   

3. Hasrat menggambarkan kawasan projek sebagai hutan yang sangat miskin (depleted)

Angka-angka yang dipamerkan dalam carta-carta berkaitan hakisan tanah memberi persepsi bahawa hutan yang wujud sekarang di Kledang Saiong, sebelum projek dimulakan, adalah sangat miskin. Kadar kehakisan tanah pada masa ini (sebelum projek dimulakan) adalah dianggar sebagai lapan hingga sepuluh kali lebih tinggi kadar kehakisan tanah selepas projek ladang hutan diwujudkan. Adanya banyak jadual sebegini dalam laporan EIA yang dikemukakan oleh ChemSain Konsultant. Data seperti ini memberi gambaran bahawa kawasan hutan ini adalah sangat “miskin”.

Adakah angka sebegini berkaitan dengan cadangan penggerak untuk menerbitkan kredit karbon (dan menjualnya dalam pasaran karbon) dengan naratif bahawa penggerak projek telah memulihkan sebuah kawasan hutan yang sangat miskin, yang (dalam naratif penggerak projek) sebelum projek ladang hutan ini, langsung tidak memainkan apa-apa peranan dalam meresap karbon dioksida daripada udara?

Angka-angka ChemSain Konsultant berkaitan kadar hakisan tanah sekarang adalah diragui, kerana adalah jelas daripada kajian ChemSain Konsultant sendiri, bahawa hutan Kledang Saiong adalah kaya dalam kepelbagaian haiwannya (biodiversiti) – 60 spesies mamalia, 49 spesies reptilia dan 175 spesies burung. Mungkin sebahagian besar kawasan hutan ini adalah hutan sekunder. Tetapi ia jauh daripada hutan miskin.

Jaringan masyarakat sivil mengesyorkan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk mempertanggungjawabkan sebuah institusi akademik untuk menjalankan satu kajian untuk memastikan sama ada hutan Kledang Saiong yang wujud sekarang merupakan hutan yang sangat miskin (depleted) atau sebaliknya. Penggerak projek tidak patut menipu kerajaan Malaysia dan juga orang awam melalui usaha memohon kredit karbon daripada projek ladang hutan ini pada masa depan.

4. Risiko pertembungan antara haiwan liar dan masyarakat tempatan

Kemungkinan pertembungan antara haiwan liar dan masyarakat tempatan adalah tinggi, kerana binatang liar tidak ada jalan alternatif untuk melarikan diri mereka dari kawasan pembalakan. Sudah tentu pertembungan teruk akan dicetuskan oleh projek-projek ladang hutan yang ingin dilaksanakan di dalam kawasan hutan ini. Komuniti-komuniti di sekeliling hutan simpan Kledang Saiong dari jambatan Lebuhraya Utara-Selatan menyeberangi Sungai Perak ke tol lebuhraya ini di Meru akan dimasuki haiwan liar yang cuba mencari kawasan yang lebih selamat untuk diri mereka. Kampung-kampung di Saiong, Salak, Sungai Buloh, Rimba Panjang, Kanthan, Kuala Kuang dan Ulu Chepor akan menghadapi masalah ini.

Cara mengendalikan kerugian kewangan oleh komuniti tempatan akibat pertembungan dengan haiwan liar juga tidak dibincangkan dalam laporan EIA ini. Punca dana untuk membayar ganti rugi kepada mereka yang mengalami kerugian langsung tidak disentuh. Satu kaedahnya adalah untuk mewujudkan satu tabung, di bawah jagaan kerajaan tempatan, untuk membayar ganti rugi kepada orang tempatan yang mengalami kerugian oleh kerana projek ladang hutan ini sama ada berpunca daripada pertembungan dengan haiwan liar, ataupun kerana dilanda banjir. Semua syarikat penggerak projek boleh dikenakan bayaran 2% daripada nilai balak yang ditebang olehnya, dan wang ini dicarum ke tabung tersebut.

Tetapi idea seperti ini langsung tidak disentuh. Kemungkinan besar keengganan ini adalah berkaitan dengan keazaman ChemSain Konsultant untuk menjimatkan perbelanjaan pihak penggerak.   

5. Isu pemantauan yang berkesan tidak dibincang

Jabatan Alam Sekitar sering memberitahu kepada orang awam bahawa mereka tiada kapasiti untuk memantau semua projek yang sedang berlaku di negara kita. Misalnya, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, telah menyatakan dalam surat khabar The Star (4 November 2025) bahawa Jabatan Alam Sekitar hanya mempunyai 1,111 orang kakitangan penguatkuasa. Jabatan Alam Sekitar memerlukan 3,000 orang penguatkuasa tambahan untuk dapat menjalani pemantauan yang berkesan.

Perkara ini langsung tidak ditangani oleh ChemSain Konsultant. Salah satu kaedah untuk menangani isu ini adalah untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa pemantauan daripada masyarakat tempatan dengan wakil daripada kampung-kampung yang berdekatan (termasuk Kampung Bukit Cermin, sebuah kampung orang Asli), kumpulan NGO alam sekitar yang berada di Perak, wakil daripada pejabat DUN yang berdekatan – (Bukit Candan, Jalong, Hulu Kinta) – dan seorang wakil daripada Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak. Jawatankuasa ini perlu diberi akses yang tidak terhad untuk memasuki kawasan projek supaya memantau sama ada penggerak projek mengikuti semua syor amalan terbaik yang disenaraikan dalam laporan EIA.

Jawatankuasa ini juga memerlukan dana untuk membeli dan mengoperasi dron untuk membantu mereka dalam usaha pemantauan. Mungkin sebahagian daripada caruman kepada dana ganti rugi yang disentuh di atas, boleh disalurkan kepada jawatankuasa pemantau ini untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak harus menghentikan projek sekiranya jawatankuasa pemantauan mendapat bukti bahawa penggerak projek tidak mematuhi panduan menjaga alam sekitar yang telahpun dirakam dalam laporan EIA.

Laporan EIA penuh kelemahan harus ditolak

Laporan EIA yang disediakan oleh ChemSain Konsultant mengandungi banyak kelemahan dan sangat berat sebelah kepada penggerak projek walaupun majoriti rakyat tempatan yang ditemubual menjawab bahawa mereka tidak selesa dengan projek ladang hutan ini. Laporan EIA oleh ChemSain Konsultant ini tidak profesional kerana beberapa perkara yang penting disembunyikan dan langsung tidak dibincang:

  • risiko pemendapan sungai;
  • kewujudan Lebuhraya Utara-Selatan,
  • keperluan menubuhkan dana membayar ganti rugi; dan
  • keperluan memperkasakan pemantauan terhadap pelaksanaan “amalan terbaik” yang disenaraikan dalam laporan EIA tersebut.

“Laporan EIA ini harus ditolak oleh Jabatan Alam Sekitar kerana adalah jelas bahawa ia tidak objektif, dan berhasrat menyembunyikan fakta-fakta penting,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), semasa menyerahkan memorandum kepada Jabatan Alam Sekitar. “Jabatan Alam Sekitar harus memilih sebuah syarikat alam sekitar yang lain untuk mempertimbangkan kritikan yang dibentang oleh memorandum ini. Melantik sebuah syarikat perunding alam sekitar yang baharu adalah penting kerana ChemSain Konsultant adalah terlalu berat sebelah dan tidak boleh dipercayai untuk bertindak secara profesional. Pakar perunding alam sekitar baharu harus dipilih dan dibayar oleh Jabatan Alam Sekitar dengan sejumlah wang yang dikutip daripada Penggerak Projek.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *