(sumber: facebook)

oleh S. Arutchelvan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah memantau secara konsisten regresi pembaharuan institusi di Malaysia, tetapi penangkapan terhadap Murray Hunter, seorang pengulas politik, di Thailand atas dakwaan fitnah oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah mengejutkan dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Adakah ini permulaan pengukuhkan kerjasama dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN untuk menindas suara-suara yang berbeza pandangan dan kebebasan bersuara di rantau ini? Sebelum ini, kerajaan Malaysia telah memudahkan penghantaran pulang Nuon Toeun, seorang pekerja domestik dari Kemboja di Malaysia kerana dia mengkritik pemimpin-pemimpin kerajaan Kemboja. Sekarang ini, penangkapan terhadap seorang wartawan dan penyelidik dari luar negara yang mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberikan amaran yang mengerikan kepada para wartawan pencari kebenaran yang kritikal di seluruh rantau Asia Tenggara.

Bangkok telah lama dianggap sebagai tempat selamat bagi wartawan dan merupakan pusat serantau untuk mengetengahkan isu-isu hak asasi manusia yang ketara di rantau ini. Namun, peristiwa terbaru ini menyebabkan ramai wartawan ragu-ragu terhadap ruang selamat itu.

Walaupun rakyat Malaysia sudah lama menunggu kepulangan Jho Low yang melarikan diri itu untuk dibawa ke muka pengadilan, nampaknya memburu Murray Hunter merupakan isu yang lebih penting bagi kerajaan buat masa itu. Sudah tiba masanya untuk Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memberi penerangan mengenai operasi ini dan menjelaskan pendirian Malaysia dalam kebebasan akhbar serta kerjasama kehakiman merentasi sempadan.

PSM mengalu-alukan berita bahawa Murray Hunter telah dibebaskan dengan ikat jamin polis. Namun, kami memandang serius tindakan MCMC yang cuba menggunakan mahkamah Thailand untuk meneruskan kes fitnah. Jika perkara ini berterusan, ia akan mewujudkan duluan yang berbahaya di rantau ini, di mana kerajaan serantau bekerjasama untuk mendiamkan pengkritik-pengkritik di luar sempadan negara mereka.

Kami berdiri teguh untuk bersolidariti bersama semua wartawan, penyelidik dan aktivis yang mengamalkan hak mereka untuk kebebasan bersuara. Perjuangan untuk demokrasi tidak terbatas kepada sempadan negara, dan begitu juga komitmen kita untuk mempertahankannya.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *