oleh M. Sivaranjani
Jika peguam berprotes, mesti ada sesuatu yang tidak betul di negara kita. Adakah ini betul? Ini bukan kali pertama peguam-peguam kita berarak. Pada tahun 2022, sebuah perarakan telah diladakan oleh peguam-peguam untuk mempertahankan kebebasan sistem kehakiman. Kini, adakah sistem kehakiman kita dalam krisis?
Jawatan Ketua Hakim Negara masih belum diisi. Apakah poses yang betul diikuti atau kerajaan mahu menggunakan jalan pintu belakang untuk membawa kroni mereka ke posisi tersebut. Inilah kekhuatiran yang wujud pada waktu sekarang.
Ketidaksinambungan penggal lantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempunyai rekod yang bersih, dan ahli-ahli parlimen daripada pihak kerajaan sendiri meluahkan ketidakpuasan hati terhadap kelewatan dalam proses pemilihan Ketua Hakim Negara yang baharu, menambahkan kekhuatiran ini.
Sementara itu, tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang turut memperbaharui kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, walaupun ada dakwaan serius terhadapnya, dan persoalan bahawa Perdana Menteri ada kepentingan sendiri dalam kes mahkamahnya juga merupakan sebab wujudnya kecurigaan ini serta ketidakyakinan terhadap integriti Perdana Menteri kita.
Peguam-peguam yang menjadi simbol keadilan mempunyai tugas penting apabila sistem kehakiman dalam bahaya. Protes ini adalah satu tindakan tepat pada masa ini untuk memberi amaran dan peringatan kepada kerajaan tentang peranan kerajaan. Peguam-peguam kita yang prihatin ini hanya memainkan peranan semak dan imbang dalam memastikan sistem kehakiman adalah bebas daripada campur tangan kuasa eksekutif.
Oleh itu, marilah kita menyokong tindakan peguam-peguam kita. Turunlah bersolidariti. Jumpa semua pada 14 Julai 2025, pukul 2 petang, di hadapan Istana Kehakiman Putrajaya.
==========
M. Sivaranjani ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).