oleh Arveent Kathirtchelvan

Saya merujuk kepada kenyataan Menteri Undang-undang Azalina Othman bahawa umur persaraan perlu ditingkatkan kepada 65 tahun untuk selaraskannya dengan negara-negara ASEAN lain. Saya tertanya-tanya, apakah keperluan polisi sebegini? Bukankah kehidupan rakyat perlu menjadi lebih senang, dengan lebih banyak masa lapang, terutamanya semasa sudah bersara, apabila negara semakin maju?

Saya tidak faham kenapa kita perlu terbawa-bawa dengan menyelaraskan apa-apa polisi dalaman negara supaya bersaing dalam ASEAN. Kita perlu faham bahawa semua negara ASEAN, kecuali Singapura, digunakan oleh syarikat-syarikat besar sedunia untuk mendapat tenaga kerja murah. Ini menyebabkan simpanan setiap pekerja ASEAN kurang, sekali gus mendatangkan kesulitan pada usia tua.

Demi menyelesaikan masalah ini, kerajaan kapitalis bukannya menyasarkan keuntungan besar yang dikaut kaum majikan, tetapi memberi ruang kepada pekerja untuk menangguhkan persaraan mereka. Malah, kini pun ramai pekerja yang lebih tua daripada 60 tahun masih diupah sebagai pekerja kontrak. Ramai yang uzur tetapi terpaksa bekerja untuk menampung kehidupan sendiri, lebih-lebih lagi apabila anak-anak pun kekurangan pendapatan.

Jikalau kita fikir sebagai majikan pun, peningkatan usia persaraan ini mendatangkan pelbagai masalah. Pertama, pekerja yang menua terpaksa dikekalkan dan perkembangan pengganti mereka terbantut. Banyak syarikat kini mengalami isu mencari pengganti secukupnya akibat masa diambil untuk kenaikan pangkat terlalu lama sehingga pekerja berpengalaman meninggalkan syarikat tersebut. Peningkatan usia persaraan akan menyebabkan anak muda sekarang terpaksa menunggu lebih lama untuk memantapkan kerjaya mereka dengan memegang pangkat lebih tinggi.

Jikalau kerajaan bimbang akan kebajikan warga emas yang telah bersara, patutlah mereka mewujudkan Skim Pencen Warga Emas sepertimana yang diperjuangkan oleh Parti Sosialis Malaysia. RM500 setiap bulan kepada semua warga emas berusia lebih daripada 65 tahun akan membantu sedikit sebanyak dalam menampung kos hidup mereka.

Akhir kata, biarlah warga emas berehat. Tingkatkan usaha mewujudkan skim dan polisi sosial secukupnya untuk mereka bersara dengan bermaruah. Janganlah memeras anak muda dengan membantutkan kerjaya mereka. Ikhtibar dari negara luar biarlah berpatutan dengan visi menyenangkan kehidupan rakyat setempat.

==========

Arveent Kathirtchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *