oleh S. Arutchelvan

Saya merujuk kepada langkah drastik Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang mencabut pintu di unit rumah pangsa kos rendah di Lobak. Majlis berkata ini menyasarkan mereka yang mempunyai tunggakan sewa sebanyak RM15,000 dan lebih.

Langkah sedemikian adalah sesuatu yang drastik. Jika kita menggunakan kiraan kadar bayaran sewa sebanyak RM150 sebulan, tunggakan RM15,000 bermakna sewa itu tidak dibayar selama 150 atau lebih daripada 8 tahun. Pada lazimnya, perjanjian sewaan hanya akan diberikan setiap 3 tahun dengan pembaharuan, jadi agak merungsingkan mengapa tidak terdapat penguatkuasaan dalam perkara ini lebih awal.  

Selain itu, terdapat juga banyak kes apabila penyewa asal telah menyewakan rumah tersebut kepada penyewa lain dengan harga sewa yang lebih tinggi dan mendapat keuntungan daripadanya. Dengan mencabut pintu, yang kena hukum adalah penyewa kedua atau penyewa yang masih menduduki unit tersebut, bukannya penyewa asal.

Kami mencadangkan bahawa Majlis boleh membatalkan serta-merta perjanjian sewa dengan penyewa asal dan menjadikan penyewa kedua sebagai penyewa sah yang baharu. Dengan melakukan ini, ia memastikan penyewa yang lebih miskin akan mendapat manfaat daripada tindakan Majlis, manakala penyewa asal yang ingkar boleh dihukum di sisi undang-undang kemudiannya.

PSM mengalu-alukan penyediaan rumah majlis yang murah. Memandangkan Kerajaan Madani telah menyatakan bahawa misi mereka adalah menoktahkan kemiskinan tegar. Setiap negeri mesti mempunyai data sebenar untuk senarai keluarga miskin tegar yang sebenar. Kerajaan Negeri dan majlis tempatan mesti memastikan keluarga-keluarga ini tidak menjadi mangsa dasar tindakan cabut pintu mereka.

===========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *