10 Disember setiap tahun ialah Hari Hak Asasi Manusia Sedunia yang disambut untuk memperingati penerimaan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat pada 10 Disember 1948 oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Hari Hak Asasi Manusia Sedunia pada tahun ini disambut dalam keadaan hak asasi manusia yang semakin diancam dan merosot di merata tempat di seluruh dunia, dengan konflik peperangan, keganasan, genosid, kemiskinan, kelaparan, penindasan, eksploitasi dan ketidakadilan sosial masih berterusan.
Menjelang ulang tahun ke-76 kelahiran Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, genosid yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat di Gaza sudah berlangsung selama 430 hari, tetapi PBB yang ditubuhkan dengan tujuan untuk mengekalkan keamanan dunia dan membendung genosid gagal menghentikan kezaliman rejim Zionis Israel kerana kuasa-kuasa imperialis, khususnya Amerika Syarikat (AS), terus membenarkan malah menyokong rejim genosid demi kepentingan geopolitik mereka.
Genosid yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap warga Palestin di Gaza sejak 7 Oktober 2023 telah membunuh lebih 44,000 orang, sementara 1.9 juta orang Palestin menjadi pelarian. Kezaliman rejim Zionis Israel tidak terhad di Gaza, tetapi di tempat lain juga, dengan lebih 800 orang Palestin turut dibunuh di Tebing Barat dalam tempoh masa yang sama. Selain itu, lebih 4,000 orang dan lebih 550 orang dibunuh di Lubnan dan Syria masing-masing akibat daripada serangan ketenteraan Israel.
Sehari sebelum Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat diluluskan oleh Perhimpunan Agung PBB, pada 9 Disember 1948, “Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid” diterima secara sebulat suara dalam Perhimpunan Agung PBB. 76 tahun kemudian, rejim Zionis Israel yang berkuasa dengan penindasan terhadap rakyat Palestin sepanjang 76 tahun yang lalu masih meneruskan kezalimannya, malah sedang meningkatkan lagi keganasan di rantau Timur Tengah dengan melancarkan serangan ke atas Lubnan dan Syria. Ini merupakan satu penghinaan kepada instrumen hak asasi manusia antarabangsa, dan jenayah yang memusuhi kemanusiaan sejagat. Namun, rejim Zionis Israel nampaknya kebal daripada penghukuman atas jenayahnya terhadap kemanusiaan dan pelanggaran terhadap hak asasi manusia, hanya kerana kuasa imperialis AS masih berpihak padanya. Walaupun Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap untuk Benjamin Netanyahu selaku Perdana Menteri Israel atas pertuduhan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan, tiada kuasa besar dunia berkomitmen untuk melaksanakannya.
Kewibawaan PBB sedang diragui dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat hanya tinggal sekadar dokumen dengan ayat-ayat yang sedap didengar tetapi tidak membawa makna sebenar, selagi kuasa-kuasa besar dunia terus membelakangkan prinsip-prinsip hak asasi manusia demi kepentingan geopolitik dan ekonomi masing-masing.
Selain Palestin dan rantau Timur Tengah yang masih dilanda keganasan perang dan jenayah genosid, pencabulan serius terhadap hak asasi manusia juga berlaku di banyak tempat lagi. Peperangan di Sudan telah meragut nyawa kira-kira 150,000 orang, sementara lebih 7 juta orang di situ menjadi pelarian dalam negara dan lebih 2 juta orang menjadi pelarian di luar negara. Di Eropah, sekurang-kurangnya 39,000 orang awam terbunuh dalam tempoh lebih 2 tahun sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada bulan Februari 2022, dengan angka korban askar daripada dua pihak jauh lebih tinggi. Di Myanmar, konflik bersenjata yang tercetus berikutan rampasan kuasa tentera pada bulan Februari 2021 telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 73,000 orang, sementara sekurang-kurangnya 2 juta orang menjadi pelarian.
Selain negara-negara yang dilanda keganasan perang, negara-negara yang tidak terjerumus dalam peperangan pun menghadapi pelbagai masalah pelanggaran hak asasi manusia dengan semakin banyak pemimpin yang anti-demokrasi dan kuku besi berkuasa di dalam negara masing-masing. Baru-baru ini, Presiden Korea Selatan cuba merampas kuasa dengan mengisytihar darurat, tetapi berjaya dipatahkan oleh rakyat Korea Selatan yang masih mempunyai ingatan jelas tentang kezaliman pemerintahan kediktatoran 44 tahun dahulu.
Di Malaysia, walaupun Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim cuba beretorik dan menegaskan bahawa hak asasi manusia sebagai sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada konsep Malaysia Madani, realitinya mencerminkan situasi yang berbeza apabila undang-undang yang menyekat kebebasan sivil masih kekal dan malah terus digunakan terhadap rakyat.
Menurut Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) semasa melancarkan Laporan Hak Asasi Manusia Malaysia 2024 pada 29 November 2024, sepanjang setahun yang lalu, wujudnya trend yang membimbangkan dalam penggunaan undang-undang keselamatan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) yang menafikan hak untuk perbicaraan yang adil.
SUARAM telah mendokumen sebanyak 170 kes salah laku polis yang melibatkan perbuatan seperti rasuah, peras ugut dan keganasan fizikal serta seksual. Separuh daripada kes yang dirakamkan itu tidak diambil tindakan yang lebih lanjut daripada peringkat penyiasatan, maka menunjukkan kekurangan kebertanggungjawaban secara sistemik. Jumlah peristiwa penembakan oleh polis juga meningkat lebih dua kali ganda pada tahun 2024 dengan angka kematian meningkat lebih tiga kali ganda. Kematian dalam tahanan masih berterusan tetapi masih kekurangan ketelusan dalam menangani masalah ini, maka menafikan keadilan untuk tahanan-tahanan dan keluarga mereka.
Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 masih merupakan alat utama untuk menyekat kebebasan bersuara di negara kita. Kerajaan Madani cuba mempertahankan pengekalan Akta Hasutan 1948 yang digubal sejak zaman pemerintahan penjajah British itu dengan alasan ia diperlukan untuk menangani isu-isu berkaitan 3R (kaum, agama dan institusi diraja).
Sekatan terhadap kebebasan untuk berhimpun masih berlarutan. Menurut laporan SUARAM, hampir 40% aksi perhimpunan yang diadakan pada tahun 2024 disiasat oleh pihak polis. Malah, masih berlaku insiden pihak polis menahan orang yang terlibat dalam aksi protes. Ketegangan masyarakat yang diwujudkan oleh ahli-ahli politik yang mempermainkan isu-isu perkauman dan agama juga mewujudkan ancaman ketara terhadap hak asasi manusia.
Hak asasi manusia adalah sejagat, sama rata utuk semua orang, tidak boleh dipisahkan dan tidak boleh dirampas sewenang-wenangnya. Hak asasi manusia bukannya perkara yang diberikan atau dikurniakan oleh kerajaan yang memerintah. Hak asasi manusia sepatutnya dimiliki dan dinikmati oleh setiap orang, pada setiap masa dan di setiap tempat, hanya kerana dia ialah seorang manusia. Hak Asasi Manusia menjangkaui kaum, gender, status kewarganegaraan dan agama, untuk memastikan kesamarataan, kesejahteraan dan hidup yang bermaruah untuk semua secara berkekalan.
Hak asasi manusia juga saling bergantung. Misalnya, hak untuk pendidikan penting untuk rakyat memperoleh pengetahuan yang mencukupi dalam mengamalkan hak politik mereka; hak untuk kesihatan adalah penting untuk menjamin hak untuk hidup. Hak asasi manusia tidak boleh ditukar ganti. Sebagai contoh, kita tidak boleh menggadaikan hak untuk kebebasan bersuara supaya kita boleh menikmati hak untuk makanan, atau sebaliknya.
Semua kerajaan di dunia mempunyai tanggungjawab untuk memastikan rakyat mereka menikmati hak asasi manusia, sementara rakyat mempunyai kewajipan untuk memastikan kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya dalam melindungi hak asasi manusia. Oleh itu, adalah penting untuk kita terus berorganisasi dan bermobilisasi, lebih-lebih lagi dalam keadaan hak asasi manusia terus diancam, supaya kita dapat mempertahankan dan memajukan hak asasi manusia dalam masyarakat kita.