oleh CP Goh

Parti Sosialis Malaysia (PSM) Selangor mengecam tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang hendak mengusir pengusaha Nurseri Greenlane Sungai Buloh walaupun tapak penempatan semula yang dijanjikan masih belum siap.

Para pengusaha ini telah membangunkan industri nurseri di Sungai Buloh sejak lebih dua dekad lalu sehingga kawasan tersebut dikenali sebagai pusat hortikultur yang penting di Lembah Klang. Namun, kini mereka berdepan dengan pengosongan tapak tanpa jaminan masa depan yang jelas.

PSM Selangor menegaskan bahawa pengusaha ini bukan “penceroboh” seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak. Mereka pernah menjalankan perniagaan dengan kebenaran melalui perjanjian bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sejak tahun 2000.

Kerajaan negeri juga telah berulang kali menjanjikan penempatan semula kepada para pengusaha, termasuk projek Hab Nurseri Selangor di Bukit Changgang yang diumumkan pada tahun 2022. Namun sehingga hari ini, tapak tersebut masih gagal disiapkan dengan infrastruktur asas seperti jalan, sistem perparitan, bekalan air dan elektrik.

Adalah tidak adil untuk memaksa pengusaha mengosongkan tapak perniagaan mereka dengan hanya menawarkan bayaran ex-gratia tanpa menyediakan tapak alternatif yang sedia diduduki.

PSM Selangor menyokong penuh tuntutan para pengusaha seperti yang dinyatakan dalam memorandum kepada Menteri Besar Selangor pada 12 Mac 2026, termasuk:

  1. Menghentikan sebarang tindakan pengusiran terhadap pengusaha nurseri.
  2. Menunaikan janji penempatan semula kepada semua pengusaha yang terlibat.
  3. Menyiapkan projek Hab Nurseri Selangor di Bukit Changgang dengan infrastruktur lengkap sebelum sebarang pemindahan dilakukan.
  4. Mengadakan mesyuarat segera dengan semua pengusaha bagi mencari penyelesaian yang adil.

Kerajaan Negeri Selangor tidak boleh menghukum pengusaha kecil atas kegagalan pihak kerajaan sendiri dalam menyiapkan projek penempatan semula yang telah dijanjikan.

==========

CP Goh ialah Penyelaras PSM Subang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *