SHAH ALAM, SELANGOR – 12 MAC 2026: Pengusaha-pengusaha perniagaan nurseri atau tapak semaian di Sungai Buloh menyatakan kekecewaan mereka terhadap keputusan Kerajaan Negeri Selangor yang hendak mengosongkan tapak nurseri mereka. Mereka menggesa Kerajaan Negeri Selangor untuk menghentikan ancaman pengusiran terhadap mereka dan menunaikan janji penempatan semula dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Menteri Besar Selangor pada hari ini.

Dalam memorandum yang ditujukan kepada Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor, pengusaha-pengusaha perniagaan nurseri Greenlane Sungai Buloh mempertikaikan kenyataan Izham Hashim selaku EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor yang ingin mengosongkan tapak perniagaan nurseri yang telah diusahakan selama lebih 30 tahun, dengan mengklasifikasikan mereka sebagai pengusaha yang menduduki tapak tanah berkenaan tanpa sebarang dokumen pemilikan atau kelulusan rasmi. Para pengusaha perniagaan nurseri Greenlane Sungai Buloh menyatakan bahawa ia merupakan satu pembohongan dan menghina pengusaha-pengusaha yang telah bertungkus lumus selama lebih 30 tahun untuk membangunkan perusahaan nurseri di Jalan Sungai Buloh-Shah Alam sehingga ia terkenal di peringkat nasional dan antarabangsa.

Para pengusaha perniagaan nurseri Greenlane Sungai Buloh membidas kenyataan Izham Hashim mengenai status mereka dengan mengemukakan fakta-fakta berikut:

  • Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengesahkan kedudukan pengusaha-pengusaha nurseri ini dengan memeteraikan satu perjanjian dengan semua pengusaha nurseri Jalan Sungai Buloh pada 1 Mac 2000 untuk “membenarkan pengusaha menduduki dan menjalankan aktiviti nurseri” dengan bayaran deposit RM1,200 dan sewa RM300 sebulan.
  • Pada tahun 2002, Menteri Besar Selangor pada masa itu mengesahkan kedudukan dan status pengusaha-pengusaha nurseri ini apabila beliau menamakan lokasi perniagaan nurseri sebagai Selangor Greenlane.
  • Borang 4A Kanun Tanah Negara diberikan kepada PKPS oleh Kerajaan Negeri untuk terus menyewakan lot-lot tapak nurseri kepada pengusaha-pengusaha sedia ada.
  • Namun, Kerajaan Negeri Selangor yang menamatkan Lesen Pendudukan Sementara kepada PKPS pada tahun 2008. Para pengusaha nurseri ingin meneruskan perniagaan mereka tetapi permintaan mereka dinafikan.
  • Pada tahun 2012, Pejabat Tanah dan Galian Selangor bersetuju untuk menyediakan lokasi baharu di tapak pembangunan baharu Lembaga Getah Malaysia. Malangnya, penempatan semula itu tidak dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Para pengusaha nurseri berasa mereka ditipu lagi. 
  • Pada tahun 2018, sebahagian pengusaha dipaksa untuk mengosongkan tapak perniagaan mereka kerana pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH). Sebahagian daripada pengusaha yang diusir itu ditawarkan tapak alternatif yang tidak sesuai di Bukit Cherakah, dan beberapa orang pengusaha masih belum memperolehi ganti rugi mereka yang dijanjikan oleh pihak DASH.
  • Pada tahun 2020, 8 orang pengusaha diminta untuk berpindah ke HICOM Seksyen 28, Shah Alam. Tetapi selepas mereka membuat bayaran, projek penempatan semula tersebut tidak diteruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Sekali lagi, janji penempatan semula gagal ditunaikan oleh Kerajaan Negeri Selangor!
  • Pada tahun 2022, para pengusaha nurseri ditawarkan lot sewa di tapak projek baharu Kerajaan Negeri Selangor di Bukit Changgang yang dikenali sebagai “Hab Nurseri Selangor”. Tetapi selepas perjanjian dimeteraikan antara pengusaha dan PKPS pada bulan Ogos 2022, sehingga hari ini, pihak PKPS gagal dalam menyiapkan tapak pembangunan dengan infrastruktur seperti perparitan, jalan utama, tempat letak kereta, pagar, pondok pengawal, bekalan air dan elektrik dan sebagainya. Penempatan semula gagal dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Dalam keadaan penempatan semula gagal dilaksanakan, pada bulan Ogos 2024, para pengusaha nurseri menerima surat daripada PKPS yang meminta maklum balas daripada mereka sama ada mereka masih berminat untuk meneruskan penyewaan tanah tersebut. Walaupun para pengusaha nurseri memberikan maklum balas yang menyatakan bahawa mereka masih berminat, tapak alternatif untuk mereka berpindah itu masih belum disiapkan sehingga hari ini, dan mereka juga tidak dimaklumkan untuk memulakan penyewaan.

“Kenapa para pengusaha nurseri ini dimangsakan sedangkan Kerajaan Negeri Selangor yang gagal berulang kali untuk menyediakan penempatan semula kepada mereka?” kata Sivarajan Arumugam, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang turut hadir bersama pengusaha-pengusaha perniagaan nurseri Greenlane Sungai Buloh semasa penyerahan memorandum pada hari ini. “Menteri Besar Selangor harus mencampur tangan segera untuk menyelesaikan masalah ini!”

Para pengusaha perniagaan nurseri Greenlane Sungai Buloh menyatakan pendirian mereka yang dicapai sebulat suara, iaitu:

  • Tidak bersetuju dengan tindakan mengosongkan tapak nurseri ini dengan hanya menyediakan bayaran ex-gratia sahaja tanpa penawaran tapak alternatif di Hab Nurseri.
  • Menuntut agar Kerajaan Negeri Selangor menepati janji untuk menempatkan semula pengusaha-pengusaha nurseri Greenlane Sungai Buloh.
  • Pihak Kerajaan Negeri Selangor harus menangguhkan sebarang tindakan pengosongan tapak sehingga janji penempatan semula ditunaikan.
  • Kerajaan Negeri Selangor harus mengadakan mesyuarat dengan semua pengusaha nurseri untuk membincangkan satu tawaran penyelesaian yang munasabah.
  • Kerajaan Negeri Selangor harus menangguhkan majlis penyerahan ex-gratia anjuran PKPS yang dijadualkan pada 13 Mac 2026 sehingga isu tapak penempatan di Hab Nurseri diselesaikan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *