KLANG, SELANGOR – 14 NOVEMBER 2025: Hari ini memasuki hari kelima perobohan rumah penduduk Kampung Jalan Papan, Pandamaran, Klang, Selangor. Pada pagi tadi, 9 orang lagi yang cuba mempertahankan rumah penduduk kampung daripada diroboh telah ditahan polis.

Mereka yang ditahan termasuk Chong Yee Shan (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM), Jernell Tan (aktivis hak asasi manusia daripada SUARAM) dan beberapa orang penduduk di situ.

Sementara itu, 10 orang yang ditahan semalam, termasuk M. Sivaranjani (Setiausaha Agung PSM) dan Soh Sook Hwa (Bendahari Nasional PSM), telah dibawa polis ke Mahkamah Majistret Klang untuk permohonan reman. Namun, Mahkamah Majistret menolak permohonan reman tersebut dan mengarahkan semua yang ditahan semalam dilepaskan pada hari ini. Mereka dibebaskan pada kira-kira jam 12 tengah hari.

Daripada 9 orang yang ditahan pada waktu pagi, 3 orang penduduk diberitahu oleh pihak polis bahawa mereka tidak ditangkap (walaupun sudah di bawah tahanan polis selama 5 jam), dan terus dibebaskan. 6 orang lagi dibebaskan dengan ikat jamin pada jam 5 petang.

Pelbagai organisasi masyarakat sivil telah mengecam tindakan perobohan rumah Kampung Jalan Papan tanpa pelaksanaan janji rumah alternatif dan penangkapan terhadap mereka yang hanya cuba mempertahankan rumah berpenghuni daripada diroboh oleh pemaju Melati Ehsan yang zalim itu.

Kerajaan Negeri Selangor masih berpeluk tubuh dan membiarkan syarikat pemaju Melati Ehsan untuk meneruskan pengusiran paksa dengan cara yang keras terhadap penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) telah mengeluarkan kenyataan akhbar semalam tentang kebimbangannya terhadap situasi di Kampung Jalan Papan. SUHAKAM mengingatkan semua pihak berkuasa bahawa hak untuk perumahan yang sesuai ialah hak asasi manusia yang diiktiraf di bawah Perkara 25 Perisytiharan Hak Asasi Sejagat, Perkara 11(1) Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (ICESCR), di mana Malaysia telah menyatakan komitmennya dan didukung secara prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak untuk hidup dan maruah.

“Pengusiran paksa, jika didapati dilakukan tanpa proses yang sewajarnya, perundingan, atau peruntukan untuk perumahan alternatif, adalah bercanggah dengan kewajipan hak asasi antarabangsa Malaysia,” begitu katanya kenyataan SUHAKAM. “Pengusiran tidak boleh sekali-kali menyebabkan individu dan keluarga kehilangan rumah atau terdedah kepada pelanggaran hak asasi manusia yang lebih lanjut.”

SUHAKAM menggesa Kerajaan Negeri Selangor, agensi kerajaan yang terbabit dan pemaju untuk segera menghentikan sebarang tindakan pengusiran sehingga proses perundingan yang sewajar dan telus diadakan bersama-sama penduduk yang terkesan. SUHAKAM juga menyarankan Kerajaan Negeri Selangor untuk menyemak semula dasar-dasar perumahan dan pembangunan tanah untuk mencegah pengusiran paksa yang berulangan, dan memastikan semua projek pada masa hadapan dijalankan selaras dengan piawaian hak asasi manusia dan proses yang sewajar.

Penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan telah berulang kali mengemukakan tuntutan mereka kepada Kerajaan Negeri Selangor supaya mencampur tangan untuk menangguhkan perobohan rumah sebelum penempatan semula yang munasabah disediakan, mengadakan rundingan tiga pihak dan melaksanakan keputusan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang menjanjikan pembinaan rumah teres bagi penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan. Namun, Kerajaan Negeri Selangor masih gagal mengambil apa-apa tindakan yang bermakna sehingga hari ini.

Baca selanjutnya tentang latar belakang isu perumahan Kampung Jalan Papan di sini.

2 thoughts on “Pemaju terus zalimi rakyat, Kerajaan MADANI berpeluk tubuh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *