
oleh Dr. Jeyakumar Devaraj
Terdapat suara yang lantang daripada sesetengah pihak dalam dunia perubatan dan golongan pembela kesihatan untuk mengharamkan produk-produk rokok elektronik yang juga dikenali sebagai vape. Walaupun seruan ini berniat baik, ia sangat mengelirukan.
Saya memang bersetuju bahawa penggunaan vape mempunyai kesan-kesan negatif terhadap kesihatan. Ia boleh mengakibatkan ketagihan nikotin, dan pelbagai perisa untuk menyegarkannya, boleh menyebabkan kerosakan jangka panjang kepada pundi-pundi udara – membran pernafasan dalam paru-paru.
Namun, pengharaman vape bermakna bahawa undang-undang akan digubal untuk menjadikan penjualan dan penggunaan produk-produk vape sebagai “jenayah” yang disertai oleh hukuman seperti denda dan malah pemenjaraan. Ia membawa kepada penjenayahan terhadap tabiat peribadi. Saya berpendapat bahawa ini merupakan langkah yang salah. Kenapa?
Ini kerana ia merupakan satu bentuk capaian kuasa kerajaan yang melampau. Ia melangkaui sempadan halus antara kekuasaan kerajaan dan hak individu. Kerajaan memang mempunyai tanggungjawab untuk memastikan aktiviti seseorang individu itu tidak memberi kesan negatif kepada individu lain atau alam sekitar. Jadi, mengharamkan vape di ruang awam seperti restoran, pawagam, kereta api dan sebagainya adalah agak munasabah. Mengharamkan penjualan vape kepada individu berumur di bawah 18 tahun juga tidak menjadi masalah. Namun, sebuah undang-undang yang menjenayahkan penggunaan vape walaupun dalam ruang peribadi rumah seseorang individu atau ruang yang dikhaskan untuk vape, adalah capaian kuasa kerajaan yang melampau. Secara terus terang, seseorang individu harus mempunyai hak untuk melakukan sesuatu aktiviti walaupun ia adalah buruk untuk kesihatannya sendiri, selagi aktiviti itu tidak memudaratkan orang lain. Kerajaan boleh menasihati, memujuk dan meyakinkan individu tersebut. Tetapi ia tidak harus memaksa individu berkenaan untuk hidup secara “sihat” dengan menjenayahkan aktiviti itu.
Jika penggunaan vape boleh dijenayahkan, maka kenapa tidak untuk penggunaan alkohol? Ia juga mempunyai kesan buruk yang signifikan terhadap kesihatan individu. Dan bagaimana pula dengan penggunaan gula? Ataupun menjadi obesiti?
Cadangan untuk generasi penamat rokok yang menjenayahkan amalan merokok bagi mereka yang lahir selepas tarikh tertentu juga tergolong dalam kategori capaian kuasa kerajaan yang melampau. Capaian kuasa kerajaan yang melampau serupa dengan polis moral! Namun ramai orang yang menggesa untuk mengharamkan penggunaan vape dan generasi penamat rokok nampaknya tidak menyedari persamaan itu.
Jangan kita lupa, dengan kecerdasan buatan (AI), teknologi pengecaman muka dan pengawasan yang semakin meningkat terhadap aktiviti-aktiviti rakyat di platform media sosial, kerajaan mempunyai kapasiti yang semakin meningkat untuk mengesan individu-individu yang melanggar undang-undang yang telah diluluskan. Jadi, kita harus berhati-hati semasa menggubal undang-undang yang menceroboh ruang peribadi kita! Adakah kita mahu mewujudkan sebuah negara “pengasuh bayi” yang melayan rakyat seperti kanak-kanak kecil dan memaksa kita untuk menjalani kehidupan sihat dengan ancaman hukuman? Kerajaan harus menggunakan pendidikan dan pemujukan, sementara mengelak daripada menggunakan hukuman terhadap pilihan gaya hidup.
Tambahan pula, apabila tabiat buruk seperti penggunaan vape, penggunaan alkohol atau merokok dijenayahkan, ia biasanya tidak dapat dihapuskan, sebaliknya didorong untuk dilakukan secara sulit. Barangan yang diharamkan itu akan diagihkan secara “haram” dan kemungkinan pada harga yang lebih tinggi. Golongan anak muda yang “memberontak” terhadap status quo akan tertarik kepada penggunaan vape kerana ia menjadi ekspresi sentimen anti-penguasa. Kumpulan penjenayah akan mengaut banyak keuntungan dengan membekalkannya – pengalaman pengharaman alkohol di Amerika Syarikat dari tahun 1920 hingga 1932 ialah contoh yang baik tentang apa yang boleh berlaku.
Selain itu, jika dijadikan haram, penggunaan vape tidak lagi dapat dipantau dan dikawal selia. Pihak berkuasa kesihatan tidak akan dapat mengambil sampel barangan vape untuk memastikan bahawa bahan tambahan berbahaya dan perisa yang belum diuji itu tidak wujud.
Penjenayahan penggunaan dadah telah menyebabkan ratusan orang muda ditahan di dalam penjara kita sehingga membawa kepada kesesakan yang berlebihan dan gangguan yang teruk terhadap kehidupan orang muda yang dipenjarakan. Mereka kehilangan kerja mereka dan dalam sesetengah kes sokongan keluarga. Ini akan mengakibatkan mereka terjerumus dalam lingkaran ganas peminggiran dan perbuatan jenayah. Patutkah kita membuang sekumpulan lagi orang muda ke dalam lingkaran ganas ini?
Oleh itu, saya menggesa kepada semua yang hendak meluluskan undang-undang paksaan seperti pengharaman vape dan generasi penamat rokok untuk mempertimbangkan semula inisiatif sebegini. Menjenayahkan tabiat individu yang tidak sihat bukan caranya menyelesaikan masalah, melainkan kita tidak keberatan untuk membawa masyarakat kita ke arah keadaan masyarakat seperti dalam “1984” yang ditulis oleh Orwell.
==========
Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).