KUALA LUMPUR – 20 OGOS 2025: S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang lebih dikenali sebagai Arul, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada hari ini untuk “menyerah diri” selepas diberitahu bahawa terdapat arahan untuk menangkapnya. Kira-kira 50 orang ahli PSM, penyokong PSM, rakan organisasi masyarakat sivil dan pekerja hadir menemani Arutchelvan sebagai tanda solidariti semasa dia memasuki IPD Dang Wangi.

Arutchelvan mempersoalkan arahan untuk menangkapnya ini kerana dia sudah hadir ke IPD Dang Wangi pada 14 Ogos 2025 untuk diambil keterangan oleh pihak polis berkenaan kes yang sama. Arutchelvan disiasat polis berkenaan insiden pergelutan yang berlaku semasa aksi penyerahan draf Akta Skim Perumahan Pekerja Ladang yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) pada 13 Ogos 2025. Arutchelvan sendiri yang ditolak sehingga jatuh di atas tanah apabila pihak polis cuba menghalang peserta aksi daripada menghampiri pintu masuk Bangunan Parlimen pada masa itu, tetapi kini dia disiasat polis kerana terdapat aduan yang mendakwa bahawa seorang anggota polis cedera dalam insiden pergelutan itu.

Pada 15 Ogos 2025, 12 orang aktivis JSML telah membuat aduan polis tentang tindakan pihak polis yang bertindak kasar untuk menghalang mereka daripada menyerahkan memorandum di Parlimen. Arutchelvan juga membuat satu aduan polis dan rakaman percakapan pun sudah diambil.

“Selepas hadir untuk disoal siasat, langkah seterusnya ialah menyerahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. Namun, sekarang pihak polis hendak membuat tangkapan selepas selesai diambil keterangan seminggu lalu. Jadi, apakah tujuan tangkapan dibuat pada hari ini?” Arutchelvan mempertikaikan arahan untuk menangkapnya. “Ini seolah-olah polis cuba untuk memenuhi harapan sesuatu pihak yang inginkan saya ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap. Ini seoalah-olah tindakan membalas dendam. Ini adalah salah guna kuasa!” 

Walau bagaimanapun, Arutchelvan berkata bahawa dia sedia bekerjasama dan menyerah diri kepada pihak polis pada hari ini. Pihak polis mengatakan bahawa mereka akan menjalani proses kawad cam semasa Arutchelvan berada di IPD Dang Wangi. Setakat jam 9 malam, Arutchelvan disahkan telah ditangkap polis dan masih berada di dalam IPD Dang Wangi.

Ahli-ahli PSM dan penyokong-penyokong daripada pelbagai latar belakang telah berhimpun di luar IPD Dang Wangi untuk bersolidariti bersama Arutchelvan dan membantah salah guna polis terhadap aktivis politik.  

“Kerajaan sudah bertukar, tetapi gangguan dan salah guna kuasa polis masih tidak terhenti-henti,” kata M. Sivaranjani, Setiausaha Agung PSM, semasa hadir bersolidariti bersama Arutchelvan. “Ini merupakan gangguan terhadap aktivis yang memperjuangkan isu rakyat, dengan melakukan tangkapan yang tidak sah!”

**********

Kemas kini jam 11.55 malam: Arutchelvan dibebaskan dengan ikat jamin polis.

One thought on “Arul “serah diri” selepas polis diarahkan untuk tangkapnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *