oleh S. Arutchelvan
Saya menerima satu panggilan telefon daripada seorang pegawai polis berpangkat inspektor dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang bernama Shah pada jam lebih kurang 10 malam, 13 Ogos 2025, yang meminta saya pergi ke IPK Kuala Lumpur, kerana terdapat satu aduan polis daripada seorang anggota polis yang mendakwa bahawa dia telah cedera dan telefonnya rosak semasa satu kejadian pergelutan di luar Bangunan Parlimen semasa program penyerahan memorandum draf undang-undang perumahan pekerja ladang di Parlimen pada jam kira-kira 11 pagi, 13 Ogos 2025. Saya telah mengatakan bahawa saya akan bekerjasama tetapi akan datang hari keesokan (14 Ogos 2025). Pada awalnya, pegawai polis itu bercakap jika saya tidak hadir, dia boleh datang ke rumah saya untuk membuat tangkapan pada malam ini juga.
Peguam saya, Shashi Devan dan Bawani KS, telah menghubungi pegawai polis tersebut dan pengawai penyiasat (IO) kes berkenaan. Pegawai penyiasat kes itu berkata bahawa satu kertas siasatan (IP) telah dibuka di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan. Akhirnya, satu persefahaman dicapai bahawa saya bersama peguam saya akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada hari keesokan, 14 Ogos 2025, jam 2 petang.
Saya ingin menegaskan bahawa keseluruhan insiden tersebut sudah dirakam dan disiarkan dalam ruang awam. Saya menegaskan bahawa saya dan para pekerja ladang hanya berniat untuk menyerahkan memorandum di mana hasrat kami sudah disampaikan kepada pihak polis dan Parlimen sebelum tarikh tersebut. Saya menafikan terdapat kekasaran di pihak kami semasa program penyerahan memorandum tersebut, di mana kami mempunyai hak di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan untuk berhimpun secara aman.
==========
S.Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).