KUALA LUMPUR – 14 OGOS 2025: S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada hari ini untuk disiasat oleh polis mengenai insiden pergelutan yang berlaku semasa aksi penyerahan draf Akta Skim Perumahan Pekerja Ladang semalam.

Siasatan terbaru terhadap Arutchelvan ini dibuat selepas satu aduan polis daripada seorang anggota polis yang mendakwa bahawa dia telah cedera dan telefonnya rosak semasa aksi penyerahan dokumen draf akta yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) semalam. Namun, Arutchelvan sendiri yang ditolak sehingga jatuh di atas tanah apabila pihak polis cuba menghalang peserta aksi daripada menghampiri pintu masuk Bangunan Parlimen.

“Siasatan ini sesuatu yang membuang masa,” kata Arutchelvan sebelum masuk ke IPD Dang Wangi untuk disoal siasat. “Kami sebagai penganjur aksi yang bertanggungjawab telah memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak polis dan Parlimen bahawa kami akan menyerahkan memorandum, tetapi pihak polis masih menghalang pekerja ladang daripada pergi ke hadapan Bangunan Parlimen. Sekarang ini, orang yang berhimpun pula kena siasat.”

Arutchelvan menyeru kepada mereka yang hadir dalam aksi perhimpunan semalam dan merakamkan apa yang berlaku itu, sama ada video atau gambar foto, untuk berkongsi rakaman mereka sebagai bukti dalam membantu siasatan polis. Arutchelvan diiringi oleh 2 orang peguam semasa diambil keterangan oleh pihak polis.

Turut hadir bersolidariti bersama Arutchelvan di hadapan IPD Dang Wangi ialah aktivis-aktivis daripada organisasi seperti PSM, JSML, Gabungan Marhaen dan MANDIRI. Adanya penyokong yang memegang plakad dengan slogan “Siasat perasuah, bukan aktivis!”.

“Peranan polis sepatutnya menjadi pemudah cara dalam perhimpunan awam,” kata Sevan Doraisamy, seorang aktivis sosial yang merupakan mantan Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (SUARAM). “Jika polis memainkan peranan pemudah cara, seluruh aktiviti penyerahan memorandum itu boleh berjalan secara lancar dan tersusun, tetapi apa yang berlaku adalah pihak polis menghalangnya dari awal lagi. Nampaknya pihak polis tidak belajar daripada kesilapan lampau, maka menyebabkan insiden tolak-menolak ini berlaku.”

“Parlimen ialah tempat di mana rakyat boleh pergi mengadu tentang masalah mereka dan menyerahkan memorandum, tetapi nampaknya pihak polis semakin hari semakin cuba menghalang rakyat daripada menghampiri Parlimen,” tambah Sevan. “Rakyat harus dibenarkan untuk berhimpun di hadapan pintu masuk Bangunan Parlimen!”

One thought on “Arul disiasat polis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *