oleh Cecilia Anthonysamy

Kami bertemu seorang teman yang membawa kereta Grab. Dia bercerita. Dia lahir dan tinggal di Pelabuhan Klang.

Dulu dia kerja dalam perkhidmatan penghantaran. Dia terlibat dalam kemalangan dan tinggal di hospital selama satu setengah bulan, dan tidak dapat kerja seperti dulu lagi. Jadi, dia bekerja membawa kereta Grab sejak tahun 2018. Katanya, dulu kerja 5 jam sudah dapat memberi isteri dia RM400 sehari.

Sekarang dia bangun pukul 3 pagi. Keluar kerja 3.30 pagi. Kerja 16 jam sehari. Dia dapat memberi isteri dia RM150 sehari. Susah kerja katanya. Harga barangan semua tinggi sekarang.

Macam mana nak hidup? Syarikat ambil 20% daripada setiap trip. Tak adil. Dulu lagi teruk, katanya, syarikat ambil 25%. Di Singapura, syarikat ambil hanya 10-15%. Dan di situ ada peraturan, jika berumur kurang dari 35 tahun, tak boleh bawa kereta Grab. Di Malaysia, budak muda-muda pun bawa Grab. Terlalu ramai pemandu Grab.

Nak beli kereta pula sangat susah. Bank tak nak beri pinjaman kerana dia hanya kerja bawa kereta Grab. Tidak dapat jaminan. Jadi, dia ambil pinjaman daripada syarikat kereta. Bayaran bunga 4.2% lebih tinggi daripada pasaran. “Tapi tu lah, saya terpaksa ambil juga pinjaman itu sebab tak ada cara lain”, katanya.

Dia ada persatuan. Dan persatuan cuba ambil tindakan berjuang untuk pemandu kereta grab. Ada tulis surat dan hantar memorandum kepada pihak berkuasa, tetapi katanya tiada apa-apa perubahan.

Persatuan juga cuba ambil tindakan bersama-sama membantah dengan meminta semua pemandu supaya jangan on app dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari. Tetapi hanya 25% pemandu menyertai bantahan itu. Jadi, tindakan itu gagal.

Kerajaan tidak mengendahkan mereka. Pemandu Grab tidak dianggap sebagai pekerja yang mempunyai hak dan dilindungi di bawah undang-undang.

Saya bertanya, apakah  sebab  majikan dan syarikat dengan senang dapat memeras dan  membuli pekerja dan dapat keuntungan tinggi? “Mereka kuat,” katanya.

Macam mana pekerja nak mengatasi  masalah diperas, dianggap bukan pekerja dan tidak dihiraukan oleh kerajaan? “Pekerja kena bersatu beramai-ramai,” katanya .

Kami sampai ke destinasi. “Saudara, pernah tak dengar tentang Parti Sosialis Malaysia?” “Tak pernah,” katanya. Saya pun bercerita sikit bahawa parti ini berjuang untuk hak pekerja  dan masyarakat terpinggir. Dengan guna singkatan PSM .

“Oh PSM! Macam pernah dengar,” katanya. “Saudara, cuba cari di laman web maklumat tentang PSM. Mungkin kita boleh saling membantu.” “Ya, saya akan cari,” katanya, sambil kami bersalam berpisah.

==========

Cecilia Anthonysamy ialah ahli Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim dan Orang Asli (BAKO) Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *