
oleh Dr. Jeyakumar Devaraj
Salam perjuangan dan selamat datang ke Kongres PSM Ke-27.
Kita sedang bersidang dalam satu masa yang sangat tidak menentu dan mencabar.
Di Malaysia, Pakatan Harapan (PH) yang berkempen untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) kerana BN terlalu korup dan sering menyalahgunakan kuasa, telah bergabung dengan BN selepas menang PRU-15, dan melindungi pemimpin-pemimpin BN yang menghadapi tindakan mahkamah atas dakwaan rasuah. Undang-undang yang dikritik oleh PH semasa ia menjadi pembangkang tidak dimansuhkan ataupun diubah suai. Dan langsung tiada ketegasan dalam menentang politik perkauman. Apabila pemimpin UMNO memainkan isu perkauman, pemimpin Pakatan Harapan senyap. Nampaknya perjuangan “Reformasi” telah dilupakan! Ramai yang mengundi PH dalam Pilihan Raya Umum 2022 berasa kecewa dan keliru kerana kebanyakan janji PH tidak dilaksanakan.
Di peringkat antarabangsa pula, Presiden Amerika Syarikat sedang mengamuk dan menggegarkan sistem ekonomi antarabangsa dengan mengenakan tarif terhadap pihak lawan dan juga kawan dalam usahanya untuk menarik balik aktiviti perkilangan ke tanah Amerika Syarikat. Tindakannya yang melulu mewujudkan kemungkinan kehilangan kerja di negara-negara yang biasa mengeksport barangan ke Amerika Syarikat, peningkatan harga barangan di Amerika Syarikat, dan risiko kegawatan ekonomi oleh kerana pengecutan permintaan kasar dalam ekonomi dunia.
Tetapi seperti yang dikatakan dalam satu pepatah Cina, zaman yang tidak menentu dan mencabar mewujudkan kesempatan untuk perkembangan yang baharu. Adalah penting untuk kita di PSM untuk mengenal pasti peluang-peluang yang dijana oleh situasi zaman ini dan memakai mereka untuk memajukan visi PSM.
Pembinaan Kuasa Ketiga
Dalam retreat Trolak pada bulan Januari tahun 2020, PSM telah mengambil keputusan untuk mewujudkan sebuah gabungan politik progresif yang boleh mencabar gabungan-gabungan politik sedia ada yang berdasarkan perkauman dan fahaman neoliberal. Tetapi, pada masa itu, sambutan rakyat terhadap PSM tidak begitu mesra kerana sebahagian besar rakyat sangat percaya bahawa kerajaan PH akan membawa perubahan besar dalam landskap politik dan masyarakat Malaysia. Dan ramai juga menyalahkan PSM kerana tidak bergabung dengan PH dalam PRU-14. Mereka menganggap kita di PSM keras kepala dan angkuh.
Tetapi tingkah laku PH sebagai Kerajaan Madani dalam dua tahun setengah yang lalu telah mengecewakan ramai orang, dan ada antara mereka yang sekarang mencari pilihan politik yang berbeza. Saya harap ahli-ahli PSM boleh menggunakan Kongres ini untuk berbincang secara lebih mendalam bagaimana kita harus mengatur langkah kita untuk menarik lebih ramai ahli dan membina gabungan politik yang progresif.
Untuk melancarkan perbincangan yang penting ini, saya akan mengemukakan beberapa idea berkaitan usaha membina kuasa politik ketiga di Malaysia.
1. Kita harus berhati-hati supaya tidak dilihat sebagai hipokrit.
Jika dalam keazaman untuk memantapkan kuasa ketiga dalam jangka masa pendek supaya dapat bertanding lebih banyak kerusi dalam PRU-16, kita merendahkan standard dan menerima golongan-golongan yang masih tersangkut dalam politik perkauman, orang ramai akan beranggapan bahawa PSM pun serupa dengan parti-parti lain – cakap besar, tetapi sedia mengorbankan prinsip untuk mencapai matlamat politik. Kita harus sentiasa mengingati – imej PSM sebagai sebuah parti yang berprinsip adalah antara faktor utama yang menarik para aktivis dan idealis untuk menyertai perjuangan kita. Dan kita telah mengorbankan banyak masa dan tenaga untuk mewujudkan imej tersebut.
2. PSM harus menjelaskan dalam bahasa yang mudah difahami, apakah prinsip-prinsip utama dalam perjuangan politik kuasa ketiga.
Saya telah berhujah panjang lebar berkaitan isu ini dalam ucapan dasar tahun lalu, dan saya tidak ingin mengulangi kesemuanya sekarang. Secara ringkas, perjuangan kuasa ketiga adalah berdasarkan empat prinsip utama –
- Keperluan asas rakyat mesti diutamakan dalam sistem ekonomi. Pada masa ini, walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat sebanyak 24 kali ganda dalam nilai sebenar dalam 50 tahun yang lalu,
- Kadar “stunting”1 dalam kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah adalah 21%;
- Lebih daripada 65% daripada orang berumur 70 tahun ke atas sudah menghabiskan wang simpanan mereka dan bergantung pada anak dan cucu untuk makanan harian;
- Walaupun ramai orang bekerja lebih daripada lapan jam sehari, hutang isi rumah (household debt) adalah dua kali ganda pendapatan tahunan isi rumah.
Perkara-perkara ini berlaku bukannya oleh kerana Malaysia negara miskin ataupun rakyat kita malas bekerja. Punca utama adalah pengagihan pendapatan negara yang tidak sekata. Pada masa ini, 97% rakyat Malaysia hanya menerima 25% jumlah pendapatan kasar negara, dan kerajaan kita memperolehi 16%. Bakinya, sejumlah 59% jumlah pendapatan kasar negara dinikmati oleh 3% rakyat terkaya dan kaum korporat terbesar (dalam dan luar negara).
Salah satu objektif utama gabungan progresif adalah untuk, dalam jangka lima tahun selepas berkuasa, memastikan 1/5 daripada 59% pendapatan negara yang kini dinikmati oleh 3% yang terkaya (dan kaum korporat terbesar) dipindahkan kepada kerajaan untuk membiayai skim bantuan tunai kepada keluarga dengan kanak-kanak di bawah umur lima tahun, skim pencen bulanan bagi warga emas, peningkatan belanjawan sistem kesihatan awam, pelaksanaan skim pengangkutan awam berasaskan sistem bas, dan lain-lain lagi. Matlamat kita adalah untuk wujudkan sistem ekonomi di mana kekayaan negara dikongsi dengan segala lapisan masyarakat dan tiada sesiapa yang ketinggalan.
- Kita menolak secara total politik perkauman. Ini kerana politik perkauman memperbodohkan dan memisahkan rakyat sehingga rakyat hilang keupayaan untuk mencabar pihak yang sedang merampas kekayaan negara dan mewujudkan kesengsaraan ekonomi dalam sebuah negara yang berada. Ahli-ahli politik yang mempermainkan isu kaum dan agama untuk memajukan kerjaya politik mereka harus didedahkan dan dikritik sebagai pengkhianat kepada rakyat.
- Krisis iklim harus dikendalikan secara yang serius dan jujur. Pada masa ini wujudnya banyak unsur penipuan (“greenwashing”) dalam skim-skim kerajaan untuk mengendalikan krisis iklim termasuk
- Pengwujudan pasaran dalam kredit karbon2.
- Skim CCUS “carbon capture, utilisation and storage”3.
- Promosi penggunaan kereta elektrik4.
Pasaran karbon harus digantikan dengan sistem “cap and tax” di mana kilang yang mengeluarkan karbon dioksida yang melebihi kuotanya dikenakan cukai, berdasarkan kuantiti kelebihan karbon dioksida yang dilepaskan olehnya. Skim CCUS tidak perlu dilaksanakan kerana ia merupakan satu skim “greenwashing” pada skala yang besar. Dan usaha mempromosi kereta elektrik persendirian harus ditukar kepada usaha membina sistem pengangkutan awam berasaskan bas elektrik.
Selain daripada perkara di atas, usaha menjana lebih banyak kuasa elektrik daripada tenaga suria dan angin harus dipercepatkan. Pengurusan pembuangan organik daripada isi rumah dan juga sektor pertanian harus ditingkatkan supaya gas metana yang dilepaskan dapat dikutip dan digunakan untuk penjanaan kuasa elektrik.
- Kuasa Ketiga harus memandang berat terhadap kecenderungan pemimpin politik dipengaruhi ataupun dibeli oleh pihak-pihak yang kaya raya. Kecenderungan ini memang wujud dan harus diterima sebagai satu realiti – ia mencerminkan kelemahan manusia. Dan langkah-langkah spesifik harus diambil untuk mengawal kecenderungan ini termasuk, di peringkat undang-undang, pendekatan berikut:
- Pendanaan awam untuk parti-parti politik (public funding for political parties) di mana semua parti politik yang berdaftar di negara kita akan menerima dana daripada kerajaan mengikut satu formula5 yang berdasarkan sokongan para pengundi kepada setiap parti.
- Sumbangan kaum korporat kepada parti-parti politik dihadkan kepada RM100,000 setahun dan setiap sumbangan melebihi RM10,000 harus dilaporkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan butir-butir penyumbang. Semua maklumat berkaitan dengan sumbangan daripada pihak korporat harus dipamerkan di laman sesawang SPR yang boleh dirujuk oleh mana-mana rakyat yang ingin tahu.
- Undang-undang berkaitan rasuah harus diperketatkan supaya mana-mana pemimpin politik yang hidup mewah boleh didakwa, jika dia tidak dapat menjelaskan bagaimana dia dapat mengumpul harta-harta yang dimilikinya.
Selain daripada langkah-langkah perundangan seperti di atas, Kuasa Ketiga harus hanya mencalonkan individu yang berikrar bahawa:
- dia tidak akan menggunakan posisinya untuk mencari kekayaan bagi diri atau keluarganya;
- dia akan mengisytiharkan hartanya kepada rakyat setiap tahun sebelum dan semasa dia memegang jawatan Ahli Parlimen atau ADUN
- dia setuju untuk menerima pemantauan oleh parti sendiri dan memberitahu satu jawatankuasa khas dalaman parti sebelum membeli sebarang harta bernilai RM10,000 ke atas;
- dia setuju hidup secara sederhana selama dia menyandang jawatan wakil rakyat.
3. PSM perlu menangani keraguan rakyat umum terhadap sosialisme. Kaum kiri di Malaya/Malaysia telah dikalahkan oleh pihak British sebelum Merdeka dan sekali lagi selepas tahun 1957, oleh kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional. Pihak yang menang – pihak penjajah dan juga kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional – telah memburuk-burukkan imej gerakan kiri melalui naratif negatif dalam buku-buku teks sekolah, dan juga melalui propaganda am, sehingga sebahagian besar rakyat Malaysia mempercayai propaganda itu dan menganggap gerakan kiri akan
- Bertindak secara ganas dan kejam jika diberi peluang mentadbir;
- Mencabuli hak demokrasi dan mewujudkan rejim totalitarian yang kuku besi;
- Menafikan kebebasan rakyat yang mengamalkan agama mereka masing-masing.
Perkara-perkara ini telah dibincangkan di beberapa forum dalaman PSM sebelum ini dan kita mempunyai pendirian bagaimana setiap satu daripada tiga kesalahfahaman di atas dapat dikendalikan. Di sini, saya ingin mengemukakan satu perkara lagi yang menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat terhadap kaum kiri, iaitu persepsi bahawa ramai anggota kaum kiri adalah terlalu romantis dan idealis – dan langsung tidak berkebolehan untuk mengendalikan ekonomi moden, dan akan menyebabkan malapetaka ekonomi jika dibenarkan mentadbir sebuah negara.
Masalahnya adalah, persepsi ini ada asasnya. Ramai komrad kiri, di Malaysia dan juga di negara-negara lain, menyertai gerakan sosialis selepas membaca tulisan Marx, Engels, Lenin, Trotsky dan Mao. Tetapi ramai tidak berfikir secara mendalam, bagaimana idea-idea tokoh-tokoh lama boleh diterjemahkan dan diamalkan dalam masyarakat abad ke-21 – yang berbeza daripada situasi yang wujud 70 hingga 100 tahun dahulu6. Komrad-komrad kita juga tidak mengambil kira secara mencukupi, pengalaman negara-negara yang telah cuba bergerak ke arah sosialisme dalam 100 tahun yang lalu – apakah kekangan yang dihadapi oleh mereka, dan apakah strategi-strategi yang telah digunakan untuk mengatasi kekangan tersebut. Oleh kerana kesilapan ini, ramai dalam kalangan komrad kiri tidak dapat menjawab dengan jelas soalan orang ramai yang berbunyi, “Apakah bentuk masyarakat yang diingini PSM di Malaysia, dan apakah ‘road-map’ untuk mencapainya?”
Nampaknya, ada juga komrad yang percaya secara terlalu “harfiah” (literal) lagu Internationale yang menyifatkan usaha kita sebagai “Perjuangan Penghabisan” seolah-olah bahawa sejurus selepas puak kiri mengambil alih kuasa, sebuah masyarakat sosialis akan muncul secara automatik di negara kita.
Pengalaman negara-negara yang pernah mencuba melaksanakan program transisi ke sosialisme menunjukkan bahawa masalah-masalah berikut sering timbul:
- Usaha meningkatkan taraf produktiviti ekonomi negara dikekang oleh beberapa perkara termasuk kekurangan dana untuk melabur dalam infrastruktur dan kilang-kilang, pemilikan sumber negara oleh syarikat gergasi dari Eropah dan Amerika Syarikat, kekurangan teknologi dan sebagainya. Kekangan ini telah mendorong Kesatuan Soviet ke arah strategi memeras sektor pertanian7 supaya dapat mengumpulkan dana untuk membina industri berat serta infrastrukturnya. Malangnya pemerasan sebegini menyebabkan ketidakpuasan hati dan bantahan rakyat yang perlu dikendalikan – kadang kala dengan tindakan keras – untuk menyelamatkan kerajaan sosialis.
- Penentangan dan usaha sabotaj oleh kelas-kelas kapitalis dan feudal yang masih berada di dalam negara.
- Keazaman Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya di Eropah untuk menggagalkan pembinaan masyarakat sosialis di mana-mana negara lain. Mereka pernah menggunakan pelbagai cara untuk melakukan ini termasuk perampasan kuasa8, pembunuhan9 pemimpin, penghasutan kaum minoriti10 ataupun golongan extremis agama untuk memberontak dengan membekalkan mereka dana dan senjata.
Jadi, adalah amat penting untuk PSM, yang memperkenalkan diri sebagai “vanguard” untuk golongan marhaen di Malaysia, untuk melengkapkan gerakan kita dengan kapasiti mengendalikan kesemua cabaran yang digariskan di atas dan untuk mencipta satu road-map yang realistik ke arah masyarakat sosialis. Izinkan saya mengemukakan beberapa soalan terhadap road-map ke arah masyarakat sosialis yang kita ingini, supaya kita dapat berbincang bersama dan menjadi lebih jelas dalam pemikiran kita.
- Kita tahu syarikat-syarikat gergasi multi-nasional (MNC) sedang memeras kekayaan negara kita dengan membayar gaji bersamaan 1/6 gaji pekerja di Eropah dan membeli barangan buatan kita dengan harga yang sangat rendah. Selain itu, mereka juga mengaut keuntungan besar dengan mengenakan royalti yang tinggi untuk kegunaan teknologi mereka, dan melalui amalan “transfer pricing”.
Soalan 1: Katakan gabungan progresif yang dibina oleh PSM dapat menang dan menubuhkan kerajaan pada pertengahan tahun 2040-an, apakah pendirian kita terhadap MNC-MNC yang telah melabur di Malaysia? Adakah kita akan halau mereka keluar serta-merta? Jika kita berbuat demikian, apakah kesannya terhadap ekonomi kita? Apakah kemungkinan mereka akan menghadap kita ke tribunal antarabangsa seperti yang diperuntukkan dalam Persetujuan-persetujuan Perdagangan Bebas dalam bentuk ISDS (Investor State Dispute Settlement)11?
- Jika jawapan untuk soalan di atas adalah – kita tidak boleh ambil tindakan terlalu drastik, kerana tindakan sebegitu akan menyebabkan kehilangan kerja dan pengangguran pada skala yang besar, itu bererti sebuah kerajaan sosialis (kita) terpaksa menguruskan ekonomi negara yang bercorak kapitalis untuk satu tempoh masa, sambil kita melaksanakan langkah-lankah untuk “merakyatkan” ekonomi peringkat demi peringkat.
Soalan 2: Apakah pendekatan kita terhadap kapitalis tempatan? Adakah kita memandang mereka sebagai musuh yang harus ditentang dalam segala aspek, ataupun adakah mereka merupakan “sekutu taktikal” yang kita perlukan untuk menjana pekerjaan bagi rakyat kita dan untuk meningkatkan pengeluaran ekonomi negara? Dalam Garis Juang PSM, Kapitalis Nasional disifatkan sebagai musuh yang perlu dilawan manakala Kapitalis Kecil dan Sederhana disifat sebagai “sekutu taktikal” yang perlu dilawan jika menindas rakyat. Adakah pendekatan ini perlu diubah sedikit apabila kita jadi kerajaan?
- Pada masa ini, Kerajaan Malaysia menguasai banyak syarikat GLC (Government-Linked Companies) melalui pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Nasional Berhad (PNB), Khazanah Nasional Bhd, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP). Banyak syarikat tempatan di sektor perladangan, bank, pembuatan (kilang besi, kilang ubat, dll), loji-loji penjanaan elektrik, perkhidmatan air, PETRONAS dan sebagainya adalah di bawah kawalan Kerajaan.
Soalan 3: Apakah cara-caranya kita boleh menggunakan kuasa kerajaan terhadap syarikat-syarikat GLC untuk memajukan agenda sosialis (tanpa menyebabkan kegagalan syarikat-syarikat tersebut)? Umpamanya, bolehkah kita mengenakan mereka untuk membayar gaji yang lebih tinggi (living wage) dan mewujudkan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun di premis mereka? Bolehkah kita mewajibkan mereka mewujudkan kesatuan sekerja di syarikat mereka dan membuka ruang untuk mendapat maklum balas pekerja dalam pengurusan syarikat? Bolehkah kita memperkenalkan kaedah pemberian bonus tahunan kepada pekerja GLC yang terikat dengan kadar dividen yang diumum oleh syarikat? Apakah caranya kita dapat membuka ruang untuk masyarakat umum memainkan peranan dalam pemantauan dan pengurusan GLC?
- PSM telah mencadangkan beberapa dasar mesra rakyat. Beberapa contoh adalah disenaraikan di bawah –
Cadangan | Anggaran kos |
Pencen warga emas | RM 11 bilion setahun |
Peningkatan peruntukan Kementerian Kesihatan ke 5% KDNK (Belanjawan Kementerian Kesihatan untuk untuk 2025 adalah RM 46 bilion) | RM 90 bil setahun |
Pendidikan percuma di peringkat tertiari. Terdapat lebih kurang 1 juta orang mahasiswa di kolej dan universiti sekarang | RM 15 bilion setahun |
Penyelengaraan rumah-rumah pangsa kos rendah(Mengikut Menteri Perumahan Nga Kor Ming, wujudnya 26,334 skim strata di Malaysia. Jika satu pertiga daripadanya diambil alih pengurusannya apakah anggaran kosnya?) | ?? |
Pengwujudan sistem pengangkutan awam yang berasaskan bas-bas elektrik | ?? |
Pembinaan rumah-rumah PPR di seluruh negara untuk disewa kepada rakyat berpendapatan rendah. Jika sasaran skim ini adalah 100,000 buah rumah setiap tahun (RM70,000 x 100,000) | RM7 bilion setahun |
Soalan 4: Apakah anggaran kos setiap cadangan ini? Adakah kita mampu melancarkan kesemua cadangan-cadangan di atas serentak? Apakah sumber kewangan untuk kesemua mereka12? Ataupun adalah perlu untuk kita melaksanakan cadangan-cadangan ini secara berfasa?
- PSM sedang mengesyorkan beberapa dasar yang akan meningkat kos pembuatan di Malaysia. Antaranya adalah dasar gaji minimum yang lebih munasabah, cukai karbon dioksida terhadap kilang-kilang yang mengeluarkannya pada nisbah yang melebih piawaian, bayaran lantai di sektor pengangkutan untuk mengelakkan overloading dan penjimatan yang keterlaluan dalam penyelenggaraan lori, dan sebagainya. Masalahnya adalah, apabila kos meningkat, timbulnya risiko kilang-kilang tempatan tidak dapat bersaing dengan barangan buatan daripada Thailand, Vietnam ataupun China. Ini mungkin akan menyebabkan kebankrapan kilang-kilang tersebut dan pengurangan peluang kerja bagi rakyat kita.
Soalan 5: Apakah pendekatan kita terhadap isu ini? Bolehkah kita meniru Trump dan mengenakan tarif 10% ataupun 20% terhadap barangan yang diimpot untuk melindugi kilang tempatan? Pada masa ini, kita dihalang daripada buat sebegitu oleh perjanjian-perjanjian perdagangan bebas yang kita sudah sertai. Adakah perlu Malaysia keluar daripada perjanjian-perjanjian tersebut ataupun adakah lebih baik untuk mengubah suai perjanjian-perjanjian itu dengan mengemukakan konsep bahawa langkah-langkah untuk menyelamatkan pekerjaan ataupun keterjaminan makanan harus dibenarkan termasuk tarif import pada kadar yang sederhana?
- Amerika Syarikat dan sekutunya dalam NATO sering mengamalkan pendekatan “strategic depth” di negara-negara yang mereka ingin “ajar”. Maknanya “strategic depth” adalah taktik kotor yang mengenal pasti kumpulan-kumpulan dalam negara “musuh” yang boleh dihasut untuk mencetuskan huru-hara dan menyahstabilkan negara itu supaya membolehkan rampasan kuasa oleh pihak yang lebih akur pada kaum imperialis.
Soalan 6: Apakah strategi balasan kita? Apakah cara kita boleh mengurangkan risiko kumpulan-kumpulan agama dijadikan lebih ekstrem dan militan oleh kerana hasutan dan pendanaan CIA? Dan bagaimana dengan NGO-NGO tempatan yang menerima pendanaan daripada NED, USAID dan agensi lain dari negara-negara maju? Memang NGO-NGO ini sedang melakukan kerja yang bernas pada masa ini, tetapi satu antara tujuan pihak imperialis adalah untuk memakai mereka sebagai “Trojan Horse” jika dan apabila perlu. Pendekatan kita?
Road-map kita ke arah sosialisme hanya dapat dicipta apabila kita lebih jelas terhadap enam soalan yang ditanya di atas.
Apakah keperluannya kita memikirkan dan membincangkan soalan-soalan seperti di atas pada masa ini?
Mungkin ada komrad yang fikir, apakah keperluannya kita membincangkan isu-isu yang kita hanya akan hadapi selepas kita mengambil alih kuasa? Pada takat ini, PSM tidak mempunyai seorang wakil rakyat pun. Adakah ini semua sangat “pramatang”? Saya boleh memberi tiga sebab mengapa kita perlu memulakan proses perbincangan / rancangan pada masa ini –
Sebab pertama – kesedaran kita terhadap cabaran-cabaran yang kita akan hadapi apabila kita menjadi kerajaan (seperti gangguan pihak imperialis) akan membolehkan kita menyediakan kapasiti gerakan kita untuk mengendalikan cabaran-cabaran tersebut. Cara terbaik untuk menangani taktik “strategic depth” oleh pihak imperialis adalah untuk memastikan gerakan rakyat kita dapat menang kepercayaan dan penyertaan semua lapisan masyarakat di negara kita – termasuk masyarakat Melayu luar bandar, rakyat marhaen Sabah dan Sarawak, dan juga peniaga kecil dan sederhana. Ini bererti bahawa usaha kita untuk membina gerakan marhaen, adalah sama penting dengan usaha kita menyediakan jentera memenangi pilihan raya. (Pada masa ini, masih ada beberapa orang ahli yang berpendapat bahawa kerja membina gerakan marhaen tidak sebegitu penting untuk perjuangan kita, sebaliknya melambatkan perkembangan parti. Diharapkan perkara yang dibincang dalam perenggan ini akan membantu mereka mencapai kefahaman yang lebih mendalam dan holistik.)
Sebab kedua – kefahaman kadre kita terhadap road map dan cara-caranya kita ingin merakyatkan ekonomi negara, tanpa menyebabkan pengangguran dalam kalangan rakyat ataupun penurunan nilai ringgit, akan membina keyakinan dalam kalangan puak-puak yang sekarang ragu terhadap kebolehan PSM mengurus sebuah ekonomi kapitalis pada zaman abad ke-21. Secara tidak langsung, apabila lebih ramai kadre kita fasih berbincang isu-isu berkaitan pembinaan sebuah ekonomi yang lebih adil, lebih ramai individu di luar parti akan diyakini bahawa perjuangan PSM tidak sia-sia dan mereka akan menyertai kita sebagai ahli, penyokong ataupun calon. Ertinya, salah satu faktor penting yang menentukan kadar perkembangan PSM, adalah pemahaman kita sendiri terhadap road map ke arah masyarakat sosialis. Ini kerana kita hanya boleh memperjelaskan perjuangan kita kepada orang di luar, jika kita sendiri jelas terhadapnya.
Sebab ketiga – hanya dengan menyedari kekangan yang kita akan hadapi apabila kita menubuhkan kerajaan, dapatlah kita mengelak daripada memberi janji-janji yang kita tidak berdaya untuk mengotakannya dalam jangka masa yang pendek. Memang kita mengingini banyak perkara demi kebajikan rakyat, tetapi kita perlu menyedarkan rakyat bahawa kesemua ini adalah satu proses yang akan mengambil masa dan kita hanya boleh mencapai matlamat kita fasa demi fasa.
Memang, banyak perkara yang saya menandakan dalam ucapan dasar ini tidak boleh diputus dalam masa yang singkat. Saya juga tidak mengesyorkan PSM mengurangkan kerja-kerja yang kita sedang melaksanakan di pelbagai bidang, supaya menumpukan perhatian kita terhadap perkara-perkara yang saya telah mengenal pasti. Kita ada masa beberapa tahun lagi. Syor saya adalah kadre PSM harus berbincang isu-isu berkaitan road map dari semasa ke semasa sambil meneruskan penglibatan rutin kita.
Kita mesti selalu mengingatkan diri kita bahawa, sebagai “vanguard” untuk gerakan rakyat di Malaysia, kita bertanggungjawab untuk memantapkan kefahaman dan kebolehan gerakan ini, supaya kita dapat berjaya dalam usaha menubuhkan sebuah masyarakat yang berdasarkan solidariti antara semua manusia dan berharmoni dengan alam sekitar.
Ada kemungkinannya, rakan-rakan kita yang “lebih revolusioner” daripada PSM akan mengkritik ucapan dasar ini sebagai pendirian yang reformis dan lemah semangat. Mengkritik pihak lain adalah mudah. Mencipta suatu strategi yang realistik dan sesuai untuk zaman adalah jauh lebih mencabar. Minta mereka berkongsi road map mereka jika ia wujud. Mungkin kita boleh mempelajari beberapa idea daripada rancangan mereka.
Kita harus mengingati komen seorang tokoh yang berjanggut – Ahli-ahli falsafah hanya telah menceritakan pasal dunia. Matlamat kita adalah untuk mentransformasinya13. Marilah kita mengatur langkah kita untuk memantapkan perjuangan PSM dan membina Kuasa Ketiga supaya dapat mencabar ideologi neoliberal dan pemikiran perkauman!
Selamat berkongres!
==========
Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).
==========
Nota:
1. Istilah “stunting” bermakna ketinggian kanak-kanak yang dirujuk adalah di bawah persentil ketiga bagi umurnya. Perkara stunting berlaku apabila kanak-kanak tidak mendapat makanan yang mencukupi untuk jangka masa yang panjang. Jika ketidakcukupan makanan adalah hanya untuk beberapa minggu sahaja, kanak-kanak itu akan menjadi “underweight” di mana dia kurus tetapi ketinggiannya adalah di paras yang sesuai dengan umurnya.
2. Pasaran kredit karbon boleh diwujudkan dalam sistem di mana setiap kilang diberi izin mengeluarkan suatu amaun karbon dioksida setiap tahun, bergantung pada saiz dan jenis industrinya. Kilang yang melebihi kuotanya adalah dikenakan cukai bergantung pada jumlah tan karbon dioksida melebihi kuota yang dilepaskannya. Dalam sistem di mana pasaran kredit karbon diwujudkan, kilang-kilang yang tidak menghabiskan kuotanya untuk tahun itu, boleh menjual baki kuotanya kepada kilang yang sudah melebihi had kuotanya. Syarikat-syarikat juga boleh menjana kredit karbon dengan projek-projek memulihkan hutan, dan menjual kredit ini di pasaran kredit karbon. Masalahnya adalah kecenderungan untuk menipu dalam sistem ini – umpamanya menyatakan bahawa syarikat telah menanam 100,000 batang pokok manakala hanya menanam 50,000 batang sahaja dan di samping itu sesetengah pokok yang ditanam mati.
3. CCUS = Carbon Capture Utilisation and Storage
Ini adalah proses di mana lepasan karbon dioksida daripada kilang ditangkap, disimpan dalam tangki dan dibawa ke tempat-tempat tertentu untuk disuntik ke dalam gua-gua di bawah tanah (atau dasar laut), yang sebelum ini mengandungi minyak petroleum, yang telah disedut keluar. Pihak-pihak yang mempromosi kaedah ini mengatakan bahawa gas karbon dioksida yang dipam ke dalam gua itu akan kekal di sana. Pihak-pihak tersebut akan mencaj fi berjuta-juta ringgit untuk perkhidmatan CCUS ini.
4. PSM membantah kaedah berpindah ke kereta persendirian berkuasa elektrik kerana
- Pada takat ini, apabila 43% daripada penjanaan kuasa elektrik di Malaysia bergantung pada pembakaran arang batu, jumlah karbon dioksida yang dilepaskan untuk menjana kuasa elektrik supaya mencaj bateri kereta elektrik melebihi jumlah karbon dioksida yang dilepaskan oleh kereta berenjin petrol.
- Lebih kurang 700,000 buah kereta baharu dijual di Malaysia tahun lalu. Lombong-lombang nadir bumi yang perlu dibuka untuk membolehkan pembuatan kereta-kereta elektrik pada skala besar untuk menggantikan kereta berenjin petrol, akan menyebabkan kerosakan hutan dan bencana alam sekitar.
- Jalan keluar untuk pencemaran yang berpunca daripada sistem pengangkutan adalah menggantikan kereta petrol persendirian dengan pengangkutan awam yang berdasarkan bas elektrik.
5.Cadangan PSM adalah untuk membenarkan pengundi memilih parti mana yang dia menyokong untuk pendanaan umum ini, melalui kertas undi ketiga di mana nama semua parti yang berdaftar dengan SPR disenaraikan. Parti-parti akan menerima RM10 setahun sehingga PRU akan datang untuk setiap undi yang diterimanya dalam kertas undi ketiga ini.
6. Inilah antara sebab utama, beberapa parti “revolusioner” di Eropah, yang lebih kiri berbanding parti demokrat sosial (“Centre Left”), gagal menggabungkan kaum pekerja yang ditindas oleh program neoliberal, untuk mewujudkan kuasa politik supaya bertanding dan menang dalam pilihan raya. Ruang itu telah dipenuhi oleh parti-parti politik chauvinis berhaluan kanan.
7. Ini merupakan sebahagian strategi yang digunakan oleh Kesatuan Soviet dari tahun 1929 hingga tahun 1950-an. Analisis yang menyatakan pengwujudan sistem totalitarian yang kuku besi di Kesatuan Soviet berpunca daripada faktor “subjektif”, iaitu masalah watak Stalin, mengaburkan hakikat bahawa situasi objektif Kesatuan Soviet pada masa itu (1920-an), di mana tiada negara lain di Eropah yang mengalami revolusi sosialis, hanya meninggalkan dua pilihan kepada kepimpinan Kesatuan Soviet – gagal akibat serangan oleh pihak luar, ataupun memeras populasi sendiri untuk mengumpulkan sumber supaya membina industri berat secepat mungkin.
8. Perampasan kuasa – Iran / Mosaddegh – 1953, Ghana / Nkrumah – 1966, Indonesia / Sukarno – 1965, Chile / Allende – 1973, Libya / Gaddafi – 2011
9. Pembunuhan pemimpin kiri – DR of Congo / Patrice Lumumba – 1961, Guinea Bissau / Amilcar Cabral – 1973, Burkina Faso / Thomas Sankara – 1987
10. Penghasutan kaum minoriti – Afghanistan sejak tahun 1980-an
11. Investor State Dispute Settlement – Satu peruntukan dalam banyak Persetujuan Perdagangan Bebas yang telah ditandatangani Malaysia, yang mengizinkan syarikat MNC menghadapkan kerajaan Malaysia ke Tribunal Antarabangsa jika tindakan kerajaan mengurangkan keuntungan pihak MNC. Umpamanya, syarikat rokok Philip Morris telah menghadapkan kerajaan Australia ke tribunal antarabangsa pada tahun 2014 dan menuntut pampasan oleh kerana peraturan baharu untuk meletak gambar kanser di atas bungkusan rokok.
12. PSM telah mengadakan sesi perbincangan selama dua hari pada tahun 2022 dan telah menyediakan kertas kerja tentang cara-cara meningkatkan hasil kerajaan.
13. “The Philosophers have only interpreted the world, in various ways. The point, however, is to change it.” – Karl Marx, Eleven Theses on Feuerbach