
PUTRAJAYA – 14 JULAI 2025: Kira-kira 1,200 orang peguam berarak dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri pada hari ini dengan laungan slogan “Bebas! Bebas! Bebas Kehakiman!”, untuk menyatakan ketegasan mereka dalam mempertahankan kebebasan dan integriti badan kehakiman. Aksi protes yang digelar sebagai “Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman” ini juga disertai oleh anggota-anggota masyarakat sivil yang prihatin pada keadaan sistem kehakiman di negara kita.
“Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman” dianjurkan oleh Badan Peguam Malaysia untuk menyuarakan kebimbangan badan tersebut mengenai keadaan semasa badan kehakiman, termasuk isu kritikal berkenaan kekosongan jawatan yang berpanjangan, keperluan kesinambungan kepimpinan serta desakan untuk reformasi demi membela kebebasan salah sebuah institusi demokrasi yang paling penting dalam negara. Badan Peguam Malaysia mengemukakan empat tuntutan, iaitu:
- Mengisi kekosongan jawatan tertinggi badan kehakiman;
- Mendedahkan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) baru-baru ini;
- Menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan campur tangan dalam sistem kehakiman;
- Menangani kekosongan badan kehakiman secara menyeluruh.
Sistem kehakiman di negara kita menghadapi krisis terbaru apabila timbulnya persoalan mengenai campur tangan cabang eksekutif dalam cabang kehakiman, dalam perkara-perkara seperti pelantikan hakim dan sebagainya. Jawatan Ketua Hakim Negara sudah dikosongkan sejak 2 Julai 2025 apabila Tengku Maimun Tuan Mat bersara dari jawatan itu, tanpa pengganti yang jelas. Minit mesyuarat JAC pada bulan Mei 2025 yang dibocorkan baru-baru ini juga mengukuhkan dakwaan campur tangan dalam urusan badan kehakiman.




“Fokus Badan Peguam Malaysia adalah terhadap isu-isu struktur dan sistemik yang menjejaskan Badan Kehakiman. Perkembangan terbaru — termasuk kelewatan pelantikan tanpa sebarang penjelasan serta rujukan-rujukan membimbangkan mengenai kemungkinan campur tangan dalam urusan kehakiman — telah mencetuskan kebimbangan yang serius. Orang awam berhak mendapat sebuah Badan Kehakiman yang bukan sahaja bebas, tetapi juga kelihatan bebas. Sebarang kegagalan untuk menegakkan prinsip ini akan menjejaskan keyakinan terhadap pentadbiran keadilan,” begitu kata Mohamad Ezri b Abdul Wahab, Yang Dipertua Badan Peguam Malaysia, dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan pada 9 Julai 2025.
“Badan Peguam Malaysia berarak bukan untuk membantah mana-mana individu, tetapi demi mempertahankan institusi. Bukan demi kepentingan partisan, tetapi demi keadilan. Bukan untuk kepentingan kita semata-mata, tetapi demi rakyat yang keadilan mereka wajib dipelihara oleh mahkamah,” tegas Mohamad Ezri. “Badan Kehakiman bukan sekadar salah satu cabang Kerajaan — ia adalah benteng terakhir keadilan. Dan ia mesti dipertahankan dengan tegas, tanpa gentar, dan tanpa rasa bersalah.”
Mesyuarat Agung Tahunan Badan Peguam Malaysia ke-79 yang diadakan pada 15 Mac 2025 meluluskan resolusi untuk mengecam sebarang gangguan terhadap kebebasan badan kehakiman oleh badan eksekutif, badan perundangan atau mana-mana pihak lain, dan menyeru pada kerajaan supaya menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan bebas untuk menjalankan penyiasatan yang teliti dan telus terhadap dakwaan tentang campur tangan dalam badan kehakiman, untuk menentukan sama ada prosedur perlembagaan dan berkanun dipatuhi dalam pelantikan kehakiman baru-baru ini.
“Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman” ialah satu manifestasi para pengamal undang-undang di negara kita yang berkomitmen untuk mempertahankan kebebasan kehakiman dan kedaulatan undang-undang daripada campur tangan anasir-anasir luar.
Turut hadir bersolidariti dalam aksi “Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman” ialah pemimpin-pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), termasuk M. Sivaranjani (Setiausaha Agung PSM), S. Arutchelvan (Timbalan Pengerusi Nasional PSM), Bawani KS (Timbalan Setiausaha Agung PSM yang juga seorang peguam) dan Nik Aziz Afiq Bin Abdul (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM).
