
oleh Egha Elias
Parti Sosialis Malaysia (PSM) berdiri teguh bersama Sisters in Islam (SIS) dalam mempertahankan prinsip hak asasi manusia, keadilan jantina, dan kebebasan bersuara di negara ini.
Pada 19 Jun 2025, Mahkamah Persekutuan akan memutuskan keabsahan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang mewartakan fatwa SIS sebagai ajaran sesat. Keputusan ini bukan sahaja memberi kesan langsung kepada SIS, tetapi juga kepada seluruh masyarakat sivil dan aktivis di Malaysia yang memperjuangkan ruang demokrasi, kebebasan fikrah dan bersuara.
PSM menegaskan bahawa tindakan melabel organisasi masyarakat sivil sebagai sesat tanpa proses dialog yang adil adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa. Ini membuka pintu kepada penindasan sistematik terhadap suara-suara progresif dan pembela keadilan sosial.
Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara mengangkat nilai-nilai seperti kebebasan, kemanusiaan, dan keadilan. Malangnya, istilah seperti “liberal” dan “progresif” kini dimanipulasi dan dijadikan senjata untuk menindas kelompok yang membawa idea pembaharuan dan pemikiran kritis dalam wacana agama.
SIS telah sekian lama berjuang untuk memperkasakan wanita dalam kerangka nilai Islam yang adil dan inklusif. Mereka menjalankan kerja pendidikan, advokasi dan sokongan perundangan yang memberi kesan positif kepada wanita malah semua orang di Malaysia.
Dalam sejarah Islam sendiri, tradisi tajdid (pembaharuan) dan ijtihad (pemikiran bebas) adalah asas kepada dinamik pemahaman agama yang hidup dan terus berkembang. Ruang untuk perbezaan pendapat dan interpretasi adalah bukti kematangan masyarakat kita.
PSM juga melahirkan kekecewaan terhadap sikap membisu sesetengah parti politik yang kononnya memperjuangkan reformasi tetapi gagal mempertahankan SIS dalam isu ini. Perjuangan sebenar menuntut keberanian untuk menyokong keadilan, bukan hanya retorik ketika pilihan raya.
PSM menyeru semua rakyat Malaysia, khususnya gerakan masyarakat sivil dan mereka yang cintakan keadilan, untuk berdiri bersama Sisters in Islam. Hari ini, SIS yang diserang. Esok, mungkin giliran kita.
==========
Egha Elias ialah anggota Biro Gender Parti Sosialis Malaysia (PSM).