
AIR KUNING, PERAK – 14 APRIL 2025: Bawani KS, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, menggesa supaya membatalkan projek ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong. Seruan itu dibuat dalam satu sidang media khas yang diadakan pada hari ini.
Turut hadir dalam sidang media hari ini ialah Rani Rasiah dan Chong Yee Shan, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM yang juga merupakan anggota Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong.
Walaupun dibantah keras oleh kumpulan-kumpulan masyarakat sivil, Kerajaan Negeri Perak masih berkeras kepala untuk memajak hutan simpan dengan keluasan 4,280 hektar di Daerah Kuala Kangsar kepada 4 buah syarikat yang dimiliki oleh seorang tauke bagi mengeluarkan balak yang digunakan untuk perindustrian perabot. Pihak syarikat akan menggunakan kaedah “cuci mangkuk” untuk membersihkan tapak hutan berkenaan.
“Laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) yang disediakan oleh syarikat perunding Chemsains telah membuat andaian yang salah bahawa seluruh kawasan projek adalah hutan miskin yang telah banyak dibalak,” kata Rani Rasiah. “Beberapa kesimpulan dan syor dalam EIA adalah berdasarkan andaian yang tidak benar, seperti ia mengatakan bahawa kadar penghakisan tanah adalah sembilan kali lebih tinggi sebelum projek dilancarkan berbanding selepas ladang hutan diwujudkan. Namun, realitinya amat berbeza, seperti yang dibuktikan oleh gambar satelit yang jelas menunjukkan bahawa lebih daripada 90% kawasan projek adalah hutan asli.”
“Ulasan yang diberikan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyatakan banyak perkara yang harus dipantau secara serius, termasuk risiko banjir, kehilangan biodiversiti, risiko pertembungan hidupan liar dengan masyarakat tempatan, dan kesan negatif kepada Kampung Orang Asli Bukit Chermin,” ulas Rani. “Mengharapkan penggerak projek untuk mematuhi segala langkah mitigasi melalui pegawai bawahan dalam syarikat pemaju merupakan pendekatan yang langsung tidak realistik. Projek yang besar sebegini dengan banyak aspek yang harus dipatuhi, mesti mempunyai sistem pemantauan yang kukuh dan berkesan. Ia harus dilaksanakan oleh sebuah institusi yang berasingan daripada penggerak projek. Adakah kita percaya bahawa syarikat penggerak projek akan menjalankan tanggungjawab ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) mereka dengan jujur?”
“PSM menggesa supaya menghentikan semua projek ladang hutan yang belum dilancarkan,” tegas kata Bawani. “Kerajaan Negeri Perak harus mematuhi moratorium 10 tahun terhadap ladang hutan yang diisytihar oleh Majlis Tanah Negara pada bulan Disember 2021. Kerajaan hanya boleh membenarkan pembalakan terpilih di kawasan hutan pengeluaran. Negeri Perak mempunyai kawasan hutan seluas 1 juta hektar, di mana setengah daripadanya hutan pengeluaran yang boleh dibenarkan untuk pembalakan, sementara setengah lagi merupakan hutan terlindung.”
“Jangan izinkan pembalakan atau projek lain di kawasan 2 km dari kampung-kampung Orang Asli sehingga isu hutan komunal mereka diselesaikan,” tambah Bawani. “Tubuhkan sebuah dana pampasan di peringkat negeri Perak. Semua syarikat pembalakan harus membayar 1% hasil kasar daripada penjualan balak kepada dana ini. Dana ini bertujuan untuk membayar pampasan kepada orang tempatan yang dilanda banjir ataupun mengalami kerugian akibat konflik dengan haiwan liar.”
PSM juga mencadangkan supaya mengurangkan kuasa mutlak Menteri Besar dalam pemberian permit pembalakan. Pada masa ini, terlalu banyak kuasa dipusatkan dalam tangan Menteri Besar, di mana dia membuat keputusan bersama seorang ECO (yang dilantik oleh Menteri Besar itu sendiri) dan Pengarah Perhutanan (yang juga ditentukan oleh Menteri Besar). PSM menyarankan supaya menubuhkan sebuah jawatankuasa pemantauan di peringkat negeri yang bebas daripada Menteri Besar untuk menyemak semua pemberian permit pembalakan.