Berikut ialah ucapan yang disampaikan oleh Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), semasa pengumuman calon PSM untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning pada 8 April 2025.

==========

Selamat tengah hari, dan selamat datang ke Bilik Gerakan PSM di Air Kuning.

Saya mengalu-alukan kehadiran para wartawan, saudara Leben Kuppusamy, Ketua Biro Politik Parti Muda dan kawan-kawan lain dari Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), saudara Ahmad Jufliz Faiza, Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan saudara Koh Swe Yong selaku Setiausaha Agung PRM, wakil masyarakat Orang Asli Chenderiang, wakil Petani dari Kuala Bikam dan ahli-ahli PSM dari Perak, Kuala Lumpiur dan Selangor. Terima kasih semua atas kehadiran saudara-saudari.

Sebelum saya mengumumkan calon, saya ingin mengambil sedikit masa untuk memperjelaskan sebab-sebabnya PSM memasuki arena politik pilihan raya.

Sebab utama adalah kerana parti-parti arus perdana gagal membawa isu rakyat B40 dan M40 ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada masa ini, rakyat B40 dan M40 menghadapi masalah kewangan kerana gaji tidak mencukupi. Dan kos sara hidup semakin meningkat – rumah mahal, pendidikan tinggi mahal, kos rawatan kesihatan sedang melambung naik. Hutang isi rumah adalah 200% pendapatan tahunan isi rumah. Ramai orang terpaksa kerja overtime (lebih masa) atau mencari kerja kedua.

Tetapi Malaysia sebuah negara yang kaya. KDNK kita telah meingkat sebanyak 24 kali ganda dalam nilai sebenar dalam tempoh 50 tahun yang lalu. Mengapa ramai dalam kalangan rakyat menghadapi tekanan kewangan di negara yang kaya ini?

Inilah isu utama yang harus difokus oleh wakil rakyat di DUN dan Parlimen. Tetapi parti-parti arus perda dalam PN, BN dan juga PH lebih cenderung untuk membangkit isu-isu remeh, dan mempermainkan isu perkauman yang memecah-belahkan dan memperbodohkan rakyat.

Parti-parti arus perdana tidak menyentuh isu pengagihan pendapatan negara di mana hanya 1/4 daripada pendapatan negara diperolehi oleh pekerja, peniaga kecil dan petani. 60% pendapatan negara diambil oleh kaum mahakaya dan syarikat-syarikat besar.

Inilah sebab utama PSM berhasrat untuk menghantar ahli PSM ke Dewan-dewan Undangan Negeri dan  Parlimen – kerana mahu membangkitkan isu-isu seperti di atas.

PSM telah melantik saudari Bawani sebagai calon PSM dalam Pilihan Rakya Kecil Ayer Kuning kerana beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam isu-isu rakyat biasa. Beliau telah memulakan aktivismenya semasa belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2005-2008. Selepas dia menamatkan pengajian di UKM, dia telah menjadi ahli yang aktif dalam PSM, dan telah menyertai semua kempe PSM – untuk menuntut gaji minimum, untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), membantah perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat, memperjuangkan tabung bagi pekerja yang dibuang kerja, memperjuangkan rumah mampu milik, membantah TPPA, menggesa pelaksanaan pencen warga emas dan banyak lagi.

Selain itu, saudari Bawani telah melibatkan diri dalam isu-isu rakyat marhaen yang diusir atau ditindas oleh projek-projek “pembangunan”. Selepas saudari Bawani menamatkan pengajian undang-undang dan menjadi peguam pada tahun 2015, beliau telah membuka pejabatnya di Kampar, Perak. Sepanjang  9 tahun yang lalu, beliau telah mewakili beberapa kumpulan – pekerja yang dibuang kerja, pemandu lori yang tidak dibayar caruman KWSP dengan kadar yang betul, petani kecil yang diusir secara paksa dari tanah yang diusahakan mereka, Orang Asli yang diancam oleh projek “pembangunan” dan sebagainya.

Oleh kerana semua penglibatan ini, beliau memahami secara dalam, masalah-masalah yang dihadapi oleh orang ramai. Dia bukannya seorang yang baharu masuk politik. Dia sudah mempelajari pelbagai isu berkaitan kesejahteraan rakyat untuk tempoh 20 tahun.

Oleh itu, PSM yakin bahawa saudari Bawani boleh mewakili semua rakyat di kawasan DUN Ayer Kuning dengan baik jika beliau dipilih sebagai ADUN.

Selain itu, saudari Bawani adalah calon tempatan. Beliau lahir di Air Kuning. Rumah keluarganya terletak setengah batu dari Bilik Gerakan ini. Bawani telah belajar di tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah di Ayer Kuning dan Tapah. Dan selepas dia menamatkan pengajian undang-undang, beliau telah kembali ke kawasan asal untuk berkhidmat sebagai peguam.

Mesej PSM kepada pengundi B40 dan M40 di kawasan DUN Ayer Kuning adalah, anda memerlukan seorang ADUN yang benar-benar memahami situasi anda, dan akan memperjuangkan kepentingan anda. Saudari Bawani adalah pilihan terbaik sebagai calon kerana beliau telah menunjukkan dalam tindakannya bahawa beliau komited terhadap kebajikan orang biasa, berdisiplin dan berani.

Peranan utama seorang ADUN bukannya memberi sedekah RM20 atau RM50 pada orang yang datang ke pejabatnya.

Tanggungjawab ADUN adalah untuk menggubal undang-undang yang melindungi orang ramai, yang memastikan tanah yang digunakan oleh Orang Asli ataupun petani kecil tidak dirampas oleh golongan kaya, dan sebagainya. Tanggungjawab seorang ADUN adalah untuk menyoal mengapa dalam negara yang begini kaya, rakyat biasa tertekan oleh masalah ekonomi dan hutang yang tinggi.

Pengundi Ayer Kuning, fikirkanlah masa depan anak dan cucu. Tolak parti-parti yang cuba memperbodohkan anda dengan politik perkauman yang memecahkan rakyat dan menghancurkan harmoni masyarakat.

Pilihlah calon yang akan benar-benar mewakili kepentingan anda di DUN.

Pilihlah saudari Bawani!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *