Berikut ialah kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada 8 April 2025 semasa mengumumkan calon PSM untuk Pilihan Raya Kecil Ayer Kuning.

PSM sentiasa meletakkan calon tempatan terbaiknya dalam pilihan raya. Pada hari ini, parti telah memilih Bawani KS, yang lahir dan dididik di Air Kuning, untuk bertanding sekali lagi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning. Beliau dianggap sebagai calon yang paling sesuai dan kuat untuk mencabar calon daripada dua buah gabungan utama.
PRK ini menandakan detik penting kerana ia merupakan kali pertamanya, PSM, MUDA dan PRM bersama-sama menyokong seorang calon tunggal. Kerjasama ini berhasrat untuk membina momentum bagi kuasa politik ketiga dalam pilihan raya umum akan datang.
Bawani, pernah merupakan seorang aktivis pelajar yang bersemangat, dikenali dengan peristiwa “Listen, Listen”, sekarang sudah menjadi seorang peguam yang berjuang untuk golongan marhaen dan rakyat terpinggir. Beliau akan menjadi calon bagi PSM dalam PRK Ayer Kuning akan datang, menerima sokongan daripada kedua-dua kepimpinan PSM Negeri Perak dan Nasional.
Bawani pada masa ini merupakan Timbalan Setiausaha Agung PSM dan Pengerusi PSM Perak. Beliau ialah seorang aktivis akar umbi, peguam hak asasi manusia dan pejuang hak asasi manusia di Malaysia. Dengan pengalaman lebih 15 tahun, Bawani mendedikasikan kerjayanya untuk memperjuangkan hak masyarakat yang terpinggir di negara kita.

Tentang calon kami
Bawani ialah anak tempatan yang lahir dan dibesarkan di Air Kuning, dan tinggal di sini sejak bulan Disember 1985. Beliau menerima pendidikan awalnya di Tadika Perpaduan Air Kuning, kemudiannya mendapat pendidikan rendah di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Kampar. Beliau meneruskan pendidikan menengahnya di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Kampar, dan menyempurnakan Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Seri Kampar.
Bawani ialah seorang tokoh yang dikenali ramai dan disanjungi dalam kalangan penduduk-penduduk Perak dan Air Kuning. Perjalanan politiknya termasuk bertanding di kawasan DUN Ayer Kuning semasa Pilihan Raya Umum pada tahun 2022. Walaupun ditewaskan oleh mendiang Ishsam Shahruddin daripada Barisan Nasional (BN), komitmennya yang tidak goyah dalam berkhidmat pada masyarakat membarakan keazamannya untuk terus memperjuangkan perubahan. Sebagai seorang calon untuk PSM, Bawani bercita-cita untuk mendengar dan memperbesarkan suara pengundi kawasannya dan juga menjadi suara kepada masyarakat terpinggir di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Komitmen Bawani dalam inisiatif akar umbi dan advokasi hak asasi manusia bermula semasa beliau belajar ijazah sarjana muda dalam bidang psikologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2005. Beliau ialah seorang anggota aktif Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa/i (JKMI), sebuah gerakan pelajar akar umbi berhaluan kiri di UKM. Pengalamannya dalam aktivisme mendorongnya untuk menimba ilmu selanjutnya dalam bidang di Universiti Utara Malaysia (UUM). Mendapat inspirasi daripada perjuangan masyarakat akar umbi yang ditemuinya semasa bekerja sepenuh masa dengan PSM, Bawani membuat keputusan berani untuk menjadi peguam. Pilihan ini diperkukuhkan selepas menyaksikan penangkapan 6 orang pemimpin PSM di bawah Ordinan Darurat (yang sudah dimansuhkan) pada tahun 2011, yang mencetuskan semangatnya untuk menuntut keadilan dan kesaksamaan.
Sebagai seorang peguam hak asasi manusia, Bawani dengan tanpa mengerti kepenatan telah mewakili pelbagai komuniti, termasuk petani-petani Perak, Orang Asli dan bekas pekerja ladang yang tabah berjuang. Advokasi guamannya mencabar isu-isu pengusiran paksa yang penuh cabaran, untuk memperjuangkan hak petani yang diusir dari tanah mereka di kawasan seperti Kanthan, Kuala Bikam, Coldstream, Bidor, Kampung Kinjang dan Chenderiang.
Di samping itu, beliau bersemangat mewakili Orang Asli dari Kampung Kinjang dan Kampung Sinju, berusaha gigih untuk mempertahankan hak tanah mereka dan memelihara warisan kebudayaan mereka. Komitmen Bawani yang tidak berbelah bagi untuk keadilan dan hubungan mendalamnya dengan komuniti di mana dia berkhidmat terus memberi inspirasi kepada orang di sekelilingnya.
Bawani telah berjaya menyelesaikan beberapa kes penting di Perak, khususnya di dalam kawasan Parlimen Tapah. Salah satu kes baru-baru ini melibatkan 30 orang petani sayur-sayuran dan buah-buahan dari Kuala Bikam di Bidor, yang terletak berdekatan dengan Kampung Coldstream. Petani-petani ini disaman oleh Pengurusan Pasir Perak Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat kepada Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.). Pada 6 Mac 2025, 30 orang petani dari Kuala Bikam mencapai kemenangan kedua dalam usaha melawan pengusiran paksa.
Calon Sosialis untuk keharmonian dan kestabilan
Dalam konteks yang penting ini, sebagai sosialis yang bertanggungjawab dan berprinsip, kami merasakan kewajipan mendalam untuk mewakili kawasan DUN Ayer Kuning dan berfungsi sebagai suara yang penting dalam DUN Perak. Dalam PRK Ayer Kuning akan datang ini, PSM berazam untuk menawarkan seorang calon yang bukan sahaja menangani isu-isu mendesak yang dihadapi oleh masyarakat, tetapi juga memupuk semangat keharmonian dalam kalangan rakyat. Memandangkan trend polarisasi berasaskan kaum dan agama yang membimbangkan, kami mahu penduduk Ayer Kuning menyedari bahawa Malaysia yang bersatu boleh dicapai. Calon Sosialis kami berdiri teguh bersolidariti dengan masyarakat miskin dan golongan terpinggir, berdedikasi untuk berkhidmat kepada masyarakat tanpa dibelenggui oleh prasangka agama atau kaum.
Calon Sosialis kami bersungguh-sungguh memperjuangkan hak dan keperluan masyarakat terpinggir, memastikan bahawa suara mereka bergema dengan kuat dalam pelbagai ruangan politik dan dialog. Bawani berkomited secara teguh untuk berkhidmat kepada semua rakyat secara saksama, memastikan bahawa suara setiap orang diiktiraf dan dihargai dalam lanskap demokratik bersama kita.
PSM amat berbangga dengan menamakan Bawani sebagai calon kami bagi DUN Ayer Kuning. Jika dibenarkan untuk mewakili kawasan DUN Ayer Kuning, Bawani dan PSM akan bersungguh-sungguh melibatkan komuniti untuk memahami pelbagai keperluan mereka di samping menawarkan kepimpinan yang bersih dan telus. Sebagai suara marhaen yang sebenar, kami akan meneruskan usaha kami untuk memperjuangkan kepentingan asas dan hak rakyat dalam DUN Perak.