KUALA LUMPUR – 28 FEBRUARI 2028: Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik menyatakan kebimbangan secara kolektif mengenai pengiktirafan Sindiyan Plantation sebagai ladang durian Musang King terbesar di Malaysia oleh Malaysia Book of Records (MBOR). Mereka menyeru pada MBOR supaya menarik balik pengiktirafan yang diberikan pada bulan September 2023 itu.

Seruan ini dibuat dalam satu sidang akhbar yang diadakan pada hari ini. Mereka yang hadir dalam sidang akhbar ialah Aziz bin Angah, Ahak bin Uda dan Anjang bin Uda dari Kampung Kelaik, serta Maisara Amira yang mewakili Suara Rakyat Malaysia (SUARAM). Kampung Kelaik ialah sebuah kampung orang asli suku kaum Temiar di daerah Gua Musang, Kelantan, yang turut terjejas kerana pembangunan ladang durian Musang King. Satu surat sudah dihantar kepada MBOR pada hari ini juga.

“Walaupun skala operasi Sindiyan Plantation kelihatan luar biasa, kami percaya pengiktirafan ini bercanggah dengan nilai dan misi Malaysia Book of Records (MBOR),” begitu katanya kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh gabungan NGO dan parti politik yang prihatin pada isu ini. “MBOR, sebagai penjaga rasmi rekod pencapaian luar biasa di Malaysia, memainkan peranan penting dalam memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi. Tujuan organisasi ini adalah untuk meraikan pencapaian berkenaan. Namun, dalam kes ini, pengiktirafan kepada Sindiyan Plantation dilihat mengabaikan kesan buruk yang signifikan terhadap komuniti Orang Asli Kampung Kelaik, Pos Blau, Gua Musang, Kelantan.”

“Pembesaran ladang oleh syarikat ini juga telah menceroboh tanah adat Orang Asli, mengganggu sumber pendapatan, warisan budaya dan hak mereka terhadap wilayah tradisional mereka. Memberikan pengiktirafan kepada Sindiyan Plantation tanpa mengambil kira kebimbangan etika ini bercanggah dengan nilai keadilan dan keterangkuman yang diperjuangkan oleh MBOR,” ulas kenyataan bersama itu. “Penting untuk dinyatakan bahawa Orang Asli Kampung Kelaik telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada bulan Mac 2021 terhadap Sindiyan Plantation dan 13 defendan lain. Kes ini, yang bertujuan untuk mempertahankan hak mereka ke atas tanah adat, dijadualkan untuk perbicaraan pada bulan Mac 2025. Memberikan pengiktirafan kepada Sindiyan Plantation sementara kes ini masih dalam proses kehakiman boleh dilihat sebagai satu bentuk pengesahan pramatang terhadap amalan yang dipertikaikan secara aktif di mahkamah.”

Oleh itu, organisasi-organisasi berkenaan menggesa pihak MBOR untuk mempertimbangkan semula dan menarik balik pengiktirafan tersebut. “Tindakan ini akan mengukuhkan komitmen organisasi anda dalam meraikan pencapaian yang selari dengan prinsip etika serta memberi sumbangan positif kepada pembangunan Malaysia. Ia juga akan menyampaikan mesej yang jelas bahawa pencapaian luar biasa tidak seharusnya dicapai dengan mengorbankan komuniti yang terpinggir. Kami berharap MBOR akan bertindak selaras dengan misinya untuk memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia dan menegakkan nilai-nilai yang benar-benar mencerminkan keunggulan Malaysia,” tegas kata organisasi-organisasi yang menyokong kenyataan bersama ini.

Organisasi-organisasi yang menandatangani kenyataan akhbar ini termasuk Greenpeace Malaysia, Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP), Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA Malaysia), Sahabat Alam Malaysia (SAM), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Treat Every Environment Special (TrEES).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *