Kenyataan media oleh Kumpulan Kerja Papua Barat, Biro Antarabangsa Parti Sosialis Malaysia (PSM)
Sekali lagi, kerajaan Indonesia meningkatkan keganasan terhadap Papua Barat dengan menghantar 5 batalion infantri ke 5 buah wilayah Papua untuk menyokong projek pertanian nasional di sana secara senyap-senyap. Ini bermakna akan berlakunya perampasan tanah dan pembersihan etnik yang semakin teruk di Papua Barat.
Keganasan negara terhadap warga Papua Barat bermula sejak pengilhakan Papua Barat oleh Indonesia pada tahun 1960-an secara paksaan. Keganasan pembersihan etnik terhadap masyarakat orang asal Papua Barat dan migrasi penduduk dari kepulauan lain untuk menerokai Papua Barat berlaku selepas pengilhakan tersebut.
Seperti keganasan Israel terhadap Palestin, proses keganasan Indonesia terhadap Papua Barat lebih dikenali sebagai penjajahan peneroka, yang dikawal selia oleh birokrasi dan sokongan ketenteraan di bawah nama kepentingan nasional yang mengisytiharkan kemerdekaan daripada penjajahan Belanda pada tahun 1940-an.
Namun, yang paling ironis, keganasan yang bermula sejak kerajaan diktator Suharto hingga kerajaan Prabowo-Gibran yang baru mengambil alih sebagai presiden terbaru negara bangsa tersebut, sama sahaja seperti penjajahan Belanda di Jawa sejak pertengahan abad ke-18. Apa yang berbeza kali ini ialah keganasan ini berlaku dalam sempadan negara bangsa yang baru merdeka pada tahun 1940-an.
Konsep negara bangsa dan sistem kapitalisme perindustrian bermula di Eropah Barat. Konsep sebegini diperkenalkan oleh penjajah Barat kepada tanah jajahan mereka yang dianggap “mundur atau primitif.” Konsep negara bangsa kemudian menjadi senjata dalam perjuangan kemerdekaan daripada tangan penjajah Barat.
Sekali lagi, yang paling ironis, masyarakat atau suku etnik yang paling terpinggir sering menjadi mangsa dalam pemodenan negara bangsa yang baru merdeka. Mereka sering dilihat sebagai suku etnik yang “primitif” oleh suku etnik dominan dalam negara bangsa yang baru tersebut. Malah, kerajaan diktator Suharto pernah menggunakan alasan bersifat rasis bahawa orang Papua itu terlalu “primitif” untuk menghalalkan penguasaan terhadap mereka.
Negara bangsa baharu biasa menggunakan cara pembangunan ekonomi kapitalis yang dipakai oleh penjajah Barat, terutama pengumpulan modal atas nama kepentingan nasional yang biasanya melibatkan pengekstrakan sumber alam semula jadi dan eksploitasi sumber manusia yang murah.
Bukan itu sahaja, golongan elit dari negara sedang membangun biasanya bersekongkol dengan golongan elit dari negara maju untuk kepentingan bersama dalam sistem ekonomi dan politik global yang memihak kepada negara maju, terutama Amerika Syarikat. Pengilhakan Papua Barat oleh Indonesia sendiri merupakan satu percaturan yang memihak kepada imperialisme Amerika Syarikat dalam persaingan dengan Kesatuan Soviet pada zaman Perang Dingin.
Sekali lagi, Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin menyuarakan solidariti bersama masyarakat orang asal Papua Barat dalam perjuangan mereka untuk menentukan nasib sendiri. Oleh itu, kami ingin menyeru kerajaan Indonesia supaya mengundurkan pasukan keselamatan keluar dari Papua Barat, menghentikan transmigrasi dan projek pertanian nasional dengan kadar segera supaya dapat mengurangkan kemudaratan terhadap warga Papua Barat.