oleh Dr Jeyakumar Devaraj

Salam perjuangan!

Pada bulan Januari 2020, beberapa puluh orang ahli PSM telah bermesyuarat di Trolak untuk menentukan matlamat dan hala tuju parti kita. Antara keputusan yang diambil dalam sesi retreat yang bersejarah itu adalah:

  • Kita tidak boleh menyekat matlamat politik PSM kepada hanya bertanding untuk 4 hingga 6 kerusi setiap pilihan raya umum.
  • Tidak wajar menumpukan usaha kita untuk menjadi anggota/kawan gabungan politik yang sedia ada, hanya untuk mendapatkan beberapa kerusi untuk bertanding.
  • Peranan sebuah parti kiri yang serius adalah untuk menawarkan satu program pembangunan negara alternatif supaya rakyat umum dapat pilihan politik yang bermakna.
  • Sebuah parti kiri harus berusaha untuk menubuhkan sebuah kerajaan progresif yang dapat melaksanakan program alternatif yang berpihak kepada rakyat biasa.
  • PSM harus mengaturkan strategi untuk membina satu gerakan progresif dan menjadi gabungan pembangkang terbesar di Dewan Rakyat dalam jangka masa 20 tahun.

Empat tahun setengah telah lalu sejak Deklarasi Trolak. Sudah tiba masanya kita berbincang secara mendalam bagaimana kita boleh mencapai matlamat-matlamat yang diputuskan di Trolak.

Bersikap realistik dan mencapai yang mustahil

Inilah seruan saudara Che Guevera kepada para aktivis kiri pada tahun 1960-an. Kita harus merenung sedikit makna seruan Che ini. Maknanya pada saya adalah bahawa matlamat yang dilihat sebagai keterlaluan dan mustahil oleh sesetengah orang, boleh dicapai jika kita mengaturkan langkah-langkah untuk mewujudkan keadaan dan kapasiti yang diperlukan untuk menjayakan matlamat itu.

Matlamat yang “mustahil” itu tidak akan dicapai hanya dengan keinginan subjektif ataupun dengan “lip service”, iaitu hanya menyebutnya dari semasa ke semasa. Matlamat yang “mustahil” memerlukan kerja yang berterusan dan berkesan untuk dicapai.

Kita harus bertanyakan pada diri kita: Apakah langkah-langkah awalan yang harus melaksanakan oleh PSM jika kita bercadang untuk meletak 30 orang calon ahli parlimen pada pertengahan dekad 2030-an? Jawapannya adalah kita mesti membina sekurang-kurangnya 30 buah cawangan yang berkapasiti untuk bertanding dalam PRU tanpa memerlukan bantuan daripada cawangan-cawangan PSM yang lain. Ia memerlukan 30 orang calon yang berkaliber, yang memahami analisis sosialis, dan program perjuangan PSM. Ia juga memerlukan sekurang-kurangnya 10 orang ahli yang aktif bagi setiap cawangan untuk menjalani sebuah kempen pilihan raya yang bersemangat dan berkesan. Jumlah keseluruhannya adalah 330 orang ahli aktif yang berkaliber, yang sedia mengorbankan masa dan tenaga, dan yang mempunyai kebolehan dan kemahiran yang mencukupi.

Ini bererti bahawa PSM perlu merekrut ramai ahli baharu supaya kita dapat menubuhkan cawangan-cawangan baharu di lebih daripada 30 buah kawasan parlimen di negara kita.

Adanya ramai dalam kalangan masyarakat kita yang tidak berpuas hati dengan gabungan-gabungan politik di negara kita yang sedia ada, sama ada Barisan Nasional, Pakatan Harapan, ataupun Perikatan Nasional. Ramai individu idealis yang pada tahun 2018 menyokong Pakatan Harapan secara habis-habisan kini terasa kecewa dengan kegagalan Kerajaan Madani dalam menunaikan janji-janji untuk mencegah rasuah, mereformasikan undang-undang yang menyekat hak asasi manusia, menentang politik perkauman, dan menangani masalah ekonomi rakyat biasa.

Bagi Perikatan Nasional pula, ramai penyokong aktifnya terdiri daripada mereka yang menolak UMNO oleh kerana tahap penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang melampau dalam UMNO. Tetapi, Parti Bersatu sebenarnya adalah sebuah klon daripada UMNO, dan ia mempunyai pemikiran, budaya politik serta segala kelemahan ibunya. Besar kemungkinannya bahawa sebahagian signifikan daripada penyokong Bersatu akan menjadi kecewa dengan amalan menggubalkan program-program untuk,

Kononnya meningkatkan status ekonomi masyarakat Bumiputera, tetapi sebenarnya menyalurkan sebahagian besar daripada peruntukan program-program tersebut ke dalam akaun bank peribadi. Kumpulan ini juga akan mencari-cari opsyen politik baharu – sebuah parti yang ikhlas dan jujur yang berjuang untuk kebajikan rakyat biasa.

Caranya menarik lebih ramai orang muda dan orang-orang lain yang idealis kepada PSM

Orang ramai menghormati PSM oleh kerana kerja akar umbi kita untuk membantu masyarakat terpinggir. Ramai dalam kalangan rakyat umum juga menyokong kempen-kempen yang PSM sedang dijalankan berkaitan gaji yang saksama, pencen warga emas, alam sekitar, sistem kesihatan awam, perang genosid di Gaza, masalah perumahan untuk kaum marhaen, dan beberapa lagi. Kita harus meneruskan aktiviti-aktiviti “tradisi” ini kerana mereka merupakan penglibatan yang memastikan PSM sentiasa mendasarkan diri pada pengalaman dan cita-cita kaum marhaen negara ini. (Keeps us grounded in the reality that our people are experiencing.)

Tetapi, selain daripada aktiviti “tradisi” PSM, sudah tiba masanya untuk kita membuka satu fron baharu – perang idea di mana kita mempamerkan kepada golongan orang muda idealis, orang-orang lain yang kita mahu menarik ke PSM, dan juga masyarakat umum bahawa kita mempunyai analisis yang lebih tepat dan mendalam berkaitan masalah-masalah yang dihadapi oleh negara kita.

Kita mahu mereka menyedari bahawa, berdasarkan analisis yang mendalam ini, PSM sedang mencadangkan paradigma pembangunan masyarakat yang berbeza dan jauh lebih baik daripada model pembangunan yang dibawa oleh BN, PH dan PN selama ini.

Apakah ciri-ciri paradigma bahaharu yang dibawa oleh PSM? Apakah perbezaannya dengan paradigma lama daripada BN-PH dan PN? Apakah caranya untuk memberitahu golongan individu idealis tentang kandungan paradigma baharu anjuran PSM ini? Inilah isu-isu yang kita harus bincangkan pada peringkat ini. Jika kita ingin menarik lebih ramai orang yang idealis untuk membina kuasa ketiga yang progresif, kita mesti meyakinkan golongan-golongan idealis bahawa paradigma/visi yang dibawa oleh PSM bukan sahaja berbeza dan jauh lebih baik berbanding apa yang dibawa oleh parti-parti lain, tetapi ia juga adalah praktikal – ia boleh dicapai jika kita mengaturkan strategi secara bijak. Saya ingin memulakan proses perbincangan ini dengan menyenaraikan beberapa isu pokok yang harus disertakan dalam paradigma baharu PSM.

Paradigma Baharu untuk Malaysia

Paradigma baharu yang kita ingin kemukakan kepada masyarakat Malaysia boleh dibahagikan kepada tujuh tema utama, iaitu:

  • Tidak mencukupi untuk hanya menarik banyak FDI demi meningkatkan KDNK negara. Pengagihan kekayaan kepada semua lapisan rakyat adalah lebih penting.
  • Malaysia telah dijajah semula oleh pihak korporat antarabangsa.
  • Ahli politik yang mempermainkan isu-isu perkauman adalah penderhaka kepada rakyat biasa.
  • Gerakan progresif mesti memastikan pemimpinnya tidak ditawan/dibeli oleh kaum korporat.
  • Pembebasan wanita adalah kunci untuk pembangunan masyarakat.
  • Amalan “greenwashing” harus dikenal pasti dan ditolak. Kita mesti bertindak serius terhadap Darurat Iklim.
  • Hak bekerja adalah hak asasi manusia.

Senarai konsep/tajuk ini belum dimuktamadkan. Saya harap senarai ini akan didebat secara mendalam sebelum kongres, semasa kongres, dan juga selepas kongres, serta dipinda ataupun ditambah sehingga kita dapat menyediakan satu gambaran yang menyeluruh dan jelas terhadap analisis/paradigma PSM untuk disampaikan kepada golongan idealis dan juga masyarakat umum.

Izinkan saya mengambil sedikit masa untuk menghuraikan konsep-konsep yang berkaitan dengan setiap tajuk yang disenaraikan di atas.

1. Menumpukan perhatian kepada membangunkan ekonomi negara tanpa mengambil kira pengagihan kekayaan yang dicipta, adalah pendekatan yang salah

Strategi ekonomi makro yang diamalkan oleh BN, PH, dan PN adalah untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK ataupun GDP). Strategi ekonomi ini bergantung pada penarikan pelabur asing (FDI), dengan menawarkan kos pengeluaran dan cukai korporat yang rendah. Oleh kerana strategi sebegini, negara kita tidak dapat melaksanakan polisi gaji yang bermaruah bagi pekerja, ataupun mengenakan kadar cukai yang lebih tinggi terhadap syarikat supaya kerajaan memperolehi dana yang mencukupi untuk mempertingkatkan perkhidmatan awam kepada rakyat biasa.

Inilah sebabnya walaupun KDNK negara Malaysia telah berlipat ganda 24 kali dalam nilai sebenar dari tahun 1970 hingga 2020 (nota 1), pendapatan kaum pekerja hanya naik 2 kali ganda (nota 2). Dan oleh kerana kos hidup telah meningkat (nota 3), hampir semua pekerja, petani, dan peniaga kecil dibelenggu hutang serta hidup dengan tekanan ekonomi dan jiwa.

Pendirian PSM adalah hanya mengembangkan ekonomi negara tidak mencukupi. Kita harus mengutamakan pengagihan kekayaan yang dijana oleh peluh rakyat kita. Sebahagian yang lebih besar daripada pendapatan kasar negara harus diagihkan kepada rakyat biasa melalui gaji yang saksama dan melalui peningkatan perkhidmatan awam seperti kesihatan, pengangkutan, pencen warga emas, dan program-program yang lain.

2. Malaysia telah dijajah semula oleh pihak korporat antarabangsa

Golongan elit ekonomi antarabangsa telah mewujudkan satu sistem di mana nilai tenaga buruh di Dunia Ketiga ditekan pada paras yang sangat rendah. Fenomena ini digelar “wage suppression”. Syarikat-syarikat gergasi antarabangsa mengguna taktik pecah dan perintah dengan menjalinkan kontrak dengan kapitalis tempatan untuk menyumberkan luar pembuatan produk-produk di beberapa buah negara di Dunia Ketiga.

Jika kapitalis tempatan di negara A meminta harga yang lebih tinggi untuk sesuatu produk, kapitalis antarabangsa akan menukar pesanannya kepada kilang di negara B yang mengeluarkan produk yang sama. Melalui taktik ini, harga barangan yang dibuat di negara Dunia Ketiga kekal di paras yang rendah.

Oleh kerana sistem ini, syarikat gergasi antarabangsa sedang membeli komponen elektronik, tekstil, kasut, dan banyak produk lagi daripada kilang-kilang di rantau ASEAN pada harga yang bersamaan 1/6 hingga 1/8 harga produk-produk sama yang dikeluarkan oleh kilang-kilang di Amerika Syarikat dan Eropah. Ini bermakna sebahagian besar nilai/kekayaan (surplus value) yang diperas daripada tenaga buruh Malaysia oleh kapitalis tempatan dipindahkan ke tangan kapitalis gergasi antarabangsa. (nota 4)

Persetujuan-persetujuan perdagangan yang sudah disertai oleh Malaysia seperti CPTPP sangat mengikat tangan kerajaaan Malaysia. Umpamanya, kerajaan kita tidak boleh meminta pelabur asing untuk berkongsi teknologi dengan syarikat tempatan, ataupun mengenakan tarif terhadap produk import untuk melindungi industri baharu di Malaysia, ataupun menyekat pemindahan wang dari pasaran Malaysia ke luar negeri.

Kesimpulannya, dalam tempoh 67 tahun sejak Merdeka, sebuah sistem eksploitasi antarabangsa telah digubal oleh syarikat-syarikat terbesar di dunia dengan kerjasama institusi seperti Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang telah mempromosi persetujuan-persetujuan “perdagangan” bebas yang telah menyekat kedaulatan ekonomi negara-negara di Dunia Ketiga.

Dalam sistem ekonomi antarabangsa ini, negara-negara seperti Malaysia terpaksa bergantung pada syarikat-syarikat gergasi global untuk mata wang asing, teknologi dan pasaran. Oleh itu, kita terpaksa menerima terma-terma di mana sebahagian besar daripada kekayaan yang dijana oleh peluh rakyat kita dirampas oleh syarikat-syarikat terbesar antarabangsa (nota 5). Inilah wajah imperialisme dalam abad ke-21.

Jalan keluar daripada situasi ini adalah untuk, secara beransur-ansur,

  • Menghidupkan balik semangat Bandung 1955 dalam kalangan negara-negara Dunia Ketiga;
  • Menghentikan perlumbaan ke paras yang terendah dalam kadar cukai korporat dalam kalangan negara-negara ASEAN;
  • Membina kapasiti sektor perindustrian di rantau ASEAN supaya kita dapat mengurangkan kebergantungan kita pada syarikat gergasi antarabangsa;
  • Mengubah suai persetujuan-persetujuan perdagangan bebas untuk mencerminkan hakikat bahawa keterjaminan makanan negara tidak boleh dikorbankan untuk prinsip kebebasan berdagang.
  • Menggubal polisi meningkatkan gaji pekerja biasa secara berperingkat di negara-negara ASEAN. Ini akan membantu mengurangkan masalah kemiskinan dalam kalangan rakyat kita sambil mendalamkan pasaran untuk syarikat-syarikat tempatan, termasuk perniagaan mikro.

Kita harus merujuk kepada pakar-pakar ekonomi Marxis, umpamanya Samir Amin yang telah memperkenalkan konsep “de-linking” dan Clive Thomas yang pernah mengutarakan beberapa cadangan bagaimana ini dapat dilaksanakan.

3. Pihak-pihak yang mempermainkan politik perkauman adalah penderhaka kepada rakyat marhaen

Dalam situasi di mana adalah amat penting untuk kita menyatukan rakyat biasa untuk mencabar kaum kapitalis antarabangsa yang sedang merampas kekayaan negara kita, tindak-tanduk politikus perkauman yang memecah-belahkan rakyat merupakan satu pengkhianatan terhadap rakyat.

Politik perkauman memperbodohkan rakyat dan mengaburkan hakikat bahawa eksploitasi imperialis yang telah bermula 600 tahun dahulu masih berterusan sehingga zaman ini (nota 5). Politik perkauman juga mewujudkan salah faham antara kaum dan meningkatkan ketegangan dalam masyarakat kita. Ada risiko bahawa politik perkauman boleh mencetus konflik fizikal antara kaum.

Gerakan kiri yang diwakili oleh Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) dan Parti Buruh telah cuba membawa politik kelas pada tahun 1960-an, tetapi mereka dihancurkan oleh kekejaman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1960-an dan 1970-an. Selepas itu, selama 50 tahun yang lalu, parti-parti yang berlandaskan kaum dan agama – BN, DAP, dan PAS – telah mengelirukan rakyat

biasa dengan mempermainkan isu-isu kaum berkaitan masalah ekonomi, bahasa, pendidikan, budaya, dan agama. Tetapi, kewujudan imperialisme yang memeras lebih kurang RM1 trilion setahun daripada negara kita langsung tidak dikenal pasti ataupun ditangani.

Pendekatan yang harus diambil oleh gerakan progresif untuk mengendalikan kontroversi isu perkauman adalah:

  • Setiap masalah yang dialami oleh sesebuah kaum harus dianggap sebagai isu nasional yang kita, rakyat berbilang kaum, harus mengatasi bersama.
  • Masalah-masalah yang dikenal pasti oleh setiap kaum harus diselesai atas prinsip solidariti rakyat dan dengan sikap tolak ansur.
  • Mereka yang mempermainkan isu perkauman harus dikecam sebagai pengkhianat dan disingkirkan.
  • Pendekatan-pendekatan yang diutarakan dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan isu-isu bahasa, agama, dan hak rakyat adalah matang dan adil, dan memberi pedoman yang mencukupi untuk menangani isu-isu yang telah dijadikan kontroversi oleh ahli politik yang kurang bertanggungjawab.

4. Tindakan tegas harus diambil untuk memastikan kepimpinan gerakan progresif tidak dipengaruhi/dibeli oleh kaum korporat

Penawanan kepimpinan parti-parti politik oleh kaum korporat (“corporate capture”) sering berlaku di banyak negara “demokratik” kerana:

  • Pemimpin negara perlu bekerjasama dengan kaum korporat untuk menjana peluang kerja dan untuk memperolehi mata wang asing melalui eksport barangan. Oleh itu, dua kumpulan ini – pemimpin politik dan kapitalis besar – terpaksa bergaul.
  • Kaum korporat bercenderung menderma dana kepada kepada parti-parti politik, termasuk parti pembangkang, supaya dapat menjalin hubungan istimewa dengan pemimpinnya. Ini merupakan polisi “insurans” bagi kapitaliskapitalis besar yang ingin memastikan mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan sesiapa pihak yang menubuhkan kerajaan dan menggubal undang-undang.
  • Selain daripada pemberian hadiah/rasuah secara langsung kepada pemimpin politik, kaum korporat juga memakai taktik menjemput ahli-ahli keluarga pemimpin politik untuk menyertai lembaga pengarah syarikat-syarikat besar ataupun menawarkan peluang perniagaan kepada keluarga pemimpin politik yang terlibat dalam perniagaan.

Beberapa tindakan harus diambil untuk memastikan pengaruh kaum korporat terhadap pemimpin politik gerakan progresif dapat dipantau dan dicegah. Antaranya:

  • Sebuah Akta Pendanaan Politik harus digubal untuk memperuntukkan sejumlah dana awam untuk diagihkan kepada semua parti politik yang berdaftar dalam negara secara yang saksama (nota 6).
  • Akta Pendanaan ini juga harus mewujudkan sistem pemantauan bagi pemberian dana oleh kaum korporat kepada parti-parti politik. Ia harus dilaporkan dalam satu register yang boleh diakses oleh orang awam dan media.
  • Badan mencegah rasuah tidak boleh diletak di bawah kawalan kabinet. Ia mesti bebas daripada pihak eksekutif dan harus dipilih oleh sebuah suruhanjaya bebas yang dianggotai (contohnya) oleh ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, dua orang hakim yang bersara, wakil-wakil daripada Majlis Peguam dan badan-badan profesional yang lain.
  • Suruhanjaya ini juga harus dipertanggungjawabkan untuk memilih Pendakwa Raya Negara selepas jawatan Peguam Negara (Attorney General) dibahagikan kepada dua jawatan – Peguam Negara yang dipilih oleh pihak eksekutif dan Pendakwa Raya yang bebas daripada kawalan pihak eksekutif.
  • Undang-undang berkaitan rasuah harus diperkukuhkan dengan penyertaan klausa-klausa yang memperuntukkan bahawa sesiapa ahli politik ataupun penjawat awam tertinggi yang tidak boleh menjelaskan bagaimana dia dapat mengumpulkan harta atau simpanan wang yang jauh melebihi pendapatan rasminya harus dihukum atas kesalahan rasuah.

Kongres-kongres PSM sebelum ini telah meluluskan beberapa usul yang menyatakan kewajipan pemimpin PSM yang dilantik sebagai Ahli Parlimen, ADUN ataupun Ahli Majlis:

  • Deklarasi harta setiap tahun dan pameran deklarasi ini di laman web parti.
  • Hanya memakai sejumlah bersamaan dengan dua kali pendapatan isi rumah median semasa daripada gaji dan elaun jawatan politik, untuk kegunaan peribadi. Yang baki harus digunakan untuk kerja politik.
  • Mendapat izin sebuah jawatankuasa khas dalaman parti sebelum membeli rumah, tanah, saham atau kereta.

5. Pembebasan wanita daripada semua bentuk penindasan adalah kunci untuk kemajuan masyarakat

Pendekatan yang diinginkan oleh PSM terhadap isu ini adalah termasuk:

– Keganasan rumah tangga adalah satu isu serius yang sedang dialami oleh wanita daripada semua kelas sosio-ekonomi di Malaysia. Puncanya adalah pemikiran patriarki yang percaya bahawa lelaki mempunyai hak untuk mengawal dan mendisiplin wanita dalam keluarga. Pemikiran patriarki harus ditentang dalam gerakan kiri dengan memastikan

  • Wanita dihormati sebagai seorang manusia yang boleh berfikir dan berhak membuat keputusan-keputusannya;
  • Suasana dalaman parti adalah bebas daripada gangguan seksual;
  • Wanita diberi ruang yang mencukupi untuk memperkembangkan potensi mereka dan untuk memimpin.

– Satu lagi punca keganasan rumah tangga adalah tekanan ekonomi yang dialami oleh keluarga-keluarga B40 dan M40 di negara kita. Sebahagian besar pergaduhan antara suami dan isteri bermula kerana masalah kewangan. Ramai orang lelaki terasa mereka dipandang rendah kerana gagal menjaga keluarga mereka apabila isu kekurangan wang menimbul.

– Ada juga masalah-masalah yang dihadapi oleh kaum wanita yang berbeza mengikut kedudukan sosio-ekonomi mereka. Wanita daripada golongan B40, terutamanya kaum ibu tunggal, menghadapi banyak masalah ekonomi yang serius untuk mendapatkan makanan, perumahan and pendidikan bagi anak-anak mereka. Perkara ini belum ditangani secara komprehensif di negara kita. Pemecahan siling kaca (glass ceiling) oleh kaum wanita profesional tidak akan menyelesaikan secara automatik masalah yang dihadapi oleh ibu-ibu tunggal B40. Isu-isu wanita B40 mesti diberi perhatian yang khusus.

– Kaum lelaki juga sedang mengalami banyak masalah di Malaysia sekarang.

  • Prestasi akademik pelajar lelaki adalah lebih rendah berbanding wanita;
  • Kaum lelaki lebih cenderung kepada amalan-amalan yang merosakkan kesihatan – merokok, meminum arak, mengambil dadah, membawa motosikal dengan terlalu laju;
  • Kadar membunuh diri adalah lebih tinggi dalam kalangan kaum lelaki;
  • Kaum lelaki yang menghidap penyakit sering menghadapi masalah mematuhi nasihat doktor;
  • Jangka hayat hidup adalah lebih pendek berbanding wanita;
  • Masalah-masalah yang dihadapi kaum lelaki juga harus dikaji dan dikendali.

– Isu gender, pengguguran dan budaya woke sedang digalakkan di Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah oleh golongan liberal dan ia sedang memecah-belahkan rakyat umum di negara-negara tersebut. Perang budaya ini menyamarkan isu eksploitasi oleh kaum bilionair dan sistem imperialisme dan memanfaat kaum terkaya/imperialis. Gerakan kiri di Dunia Ketiga harus mengawasi supaya kita tidak dijangkiti oleh pemikiran borjuis kecil dan individualistik ini.

6. Tolak amalan “greenwashing”. Bertindak serius terhadap Darurat Iklim

Banyak pihak, termasuk syarikat-syarikat dan juga kerajaan, sedang mengamalkan taktik “greenwashing” untuk mewujudkan persepsi bahawa mereka sedang mengambil tindakan tegas untuk mengurangkan pengeluaran Gas Rumah Hijau (GHG atau Greenhouse Gases) walhal program-program yang dilaporkan mereka tidak begitu berkesan dari segi mengurangkan GHG. Gerakan politik progresif akan mengambil berat terhadap pemanasan dunia dan melaksanakan polisi dan program-program termasuk yang berikut:

  • Hentikan “Carbon Trading” ataupun perniagaan dalam kredit karbon yang sebenarnya merupakan satu bentuk penipuan untuk berterusan dengan “business as usual”. Syarikat besar yang membeli kredit karbon menggunakan alasan itu untuk meneruskan aktiviti mereka yang melepaskan banyak karbon dioksida ke dalam udara. Wujudnya juga, banyak unsur penipuan oleh penjual kredit karbon dalam penentuan jumlah karbon kredit yang dijana oleh projek-projek mereka.
  • Menghentikan usaha CCUS, iaitu Carbon Capture Utilisation and Storage. Keberkesanan skim-skim ini adalah diragui. Ada kemungkinannya karbon dioksida yang dipam ke dalam gua di bawah tanah boleh menyerap balik secara ansuran ke atmosfera. Syarikat yang melaksanakan skim CCUS ini berniaga dengan kredit karbon ia menjana melalui “menangkap dan menyorok” karbon dioksida. Syarikat-syarikat yang membeli kredit karbon ini mendapat lampu hijau untuk meneruskan pencemaran alam. Ia merupakan satu scam dan kita harus menentanginya.
  • Memperkenal cukai terhadap pengeluar karbon dioksida yang besar di mana mereka dikenakan cukai terhadap pengeluaran karbon dioksida yang melebihi kuota yang dibenarkan untuk kilang itu. (Kuota setiap kilang ditentukan oleh jenis kilang dan skop pengeluarannya.) Kuota yang dibenarkan harus dikurangkan secara beransuran, dan kadar cukai karbon dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
  • Menghentikan penjanaan kuasa elektrik daripada pembakaran batu arang dalam jangka masa 15 tahun.
  • Memperkembangkan sistem pengangkutan awam yang berasaskan bas elektrik. Kurangkan secara berperingkat kebergantungan pada kereta swasta untuk pengangkutan.
  • Haramkan amalan guna dan buang barangan plastik.
  • Sisa buangan bahan organik daripada kilang-kilang kelapa sawit dan sampah organik domestik harus diproses untuk menghasil biometana yang digunakan untuk menjana kuasa elektrik.
  • Hentikan amalan berkelentong di peringkat antarabangsa dengan memberikan angka-angka yang tidak benar mengenai keluasan hutan rimba di Malaysia, jumlah pengeluaran karbon dioksida oleh ekonomi kita dan sebagainya. Pemanasan dunia adalah satu masalah serius dan kita mesti bertindak secara yang ikhlas untuk mengawalnya.

7. Hak bekerja adalah hak asasi manusia

Pelbagai barangan, termasuk yang sangat canggih, dapat diperolehi di pasaran ekonomi kapitalis. Tetapi jika kamu tiada duit, keperluan asas pun tidak dapat diperolehi. Setiap keluarga memerlukan pendapatan bulanan yang mencukupi untuk memperolehi makanan, penginapan, kain pakaian dan

keperluan asas yang lain. Kewujudan kebantutan fizikal (stunting) pada kadar 21% dalam kalangan kanak-kanak yang berumur 5 tahun ke bawah di negara kita (nota 7) adalah satu angka yang amat memalukan untuk sebuah negara yang bangga tentang ia hampir sampai peringkat negara maju.

Masalah kekurangan kerja dan pengangguran tersembunyi (under-employment) di negara kita sedang menjadi semakin serius oleh kerana trend-trend berikut:

  • Majikan di sektor pembuatan dan pembinaan lebih cenderung untuk membawa masuk pekerja asing kerana mereka rela bekerja untuk gaji yang rendah dan shif yang panjang. Pada masa ini ada lebih daripada 2 juta orang pekerja asing yang sah di beberapa sektor ekonomi.
  • Kehadiran 3 juta orang atau lebih pekerja asing tanpa dokumen di sektor bukan formal sedang menyekat peluang kerja rakyat tempatan dan juga menekankan gaji di sektor ini ke paras yang lebih rendah daripada gaji minimum.
  • Sistem penyumberan luar atau “outsourcing” di mana syarikat besar membeli perkhidmatan termasuk pembersihan kilang, perkhidmatan sekuriti, pengangkutan lori dan sebagainya daripada kontraktor-kontraktor kecil. Persaingan antara kontraktor-kontraktor kecil untuk mendapatkan kontrak mewujudkan situasi di mana sebut harga untuk kontrak sentiasa berada di peringkat terendah. Ini memang membantu syarikat besar menjimatkan perbelanjaannnya. Tetapi kesannya terhadap pekerja kontrak adalah teruk – gaji sentiasa di paras gaji minimum, penipuan dalam pengiraan kerja lebih masa dan bayaran KWSP sering berlaku dan mereka juga menghadapi ketidakterjaminan kerja.
  • Pada masa ini, lebih daripada 50% setiap kohort anak muda negara kita memiliki diploma ataupun ijazah. Tetapi hanya 25% daripada jawatan-jawatan baharu yang dijana dalam ekonomi kita setiap tahun memerlukan diploma atau ijazah. Oleh kerana kelebihan dalam “bekalan” graduan berbanding jawatan kosong, ramai graduan terpaksa mengambil kerja separuh mahir (semi-skilled) dengan gaji yang rendah. Gaji graduan bagi jawatan-jawatan yang memerlukan diploma/ijazah juga berada di paras yang rendah oleh kerana bekalan garduan melebihi permintaan.
  • Perkembangan teknologi sedang meningkatkan efisiensi dalam pengeluaran produk dan perkhidmatan. Dengan bantuan teknologi, seorang pekerja boleh membuat kerja yang memerlukan dua orang 10 tahun dahulu.

Inilah antara sebabnya, walaupun kekayaan negara (KDNK) telah meningkat 24 kali ganda dalam 50 tahun yang lalu (nota 1), pendapatan rakyat biasa masih di paras yang rendah, dan banyak keluarga menghadapi masalah membekalkan keperluan asas kepada ahli-ahli keluarga dan kanak-kanak mereka. Banyak keluarga terpaksa meminjam dan memikul beban hutang yang berat.

Generasi muda adalah kumpulan yang sangat tercabar oleh situasi yang wujud sekarang. Masalah gaji yang rendah, kerja yang tidak terjamin, kekurangan jawatan yang memerlukan kemahiran graduan, hutang pendidikan yang tinggi dan kos hidup yang semakin naik, sangat menyusahkan kehidupan orang muda di negara kita sehingga mencetuskan wabak penyakit mental dalam kalangan generasi baharu.

Sebuah kerajaan yang prihatin harus mengambil berat terhadap isu-isu yang diringkaskan di atas dan mengaturkan langkah-langkah untuk mengatasinya. Antara langkah-langkah yang harus dilaksanakan adalah:

– Mengetatkan undang-undang untuk pengambilan pekerja asing baharu. Majikan harus dikehendaki mendapat pengesahan daripada jabatan buruh daerah bahawa tiada orang tempatan yang mahu bekerja dengan majikan tersebut sebelum permohonan majikan untuk pekerja asing diluluskan. Jabatan buruh daerah harus mengumpul pangkalan data mengenai orang tempatan yang mencari kerja, dan menasihatkan mereka tentang majikan mana yang sedang mencari pekerja.

– Syarat-syarat berkaitan permit kerja harus diubah suai untuk membolehkan pekerja asing mendapat majikan baharu secara rasmi, jika mereka telah hilang kerja akibat memfailkan kes buruh terhadap majikan asalnya. Satu kad pengenalan khas harus dikeluarkan untuk semua pekerja asing supaya mereka dapat berurusan dengan pihak polis, imigresen, pejabat buruh dan mana-mana pihak lain sekiranya majikan menyimpan pasportnya. Jika kuasa majikan untuk menjadikan pekerja asing “tidak sah di sisi undang-undang” dapat dikawal, bilangan pekerja asing yang lari dan sembunyi dalam sektor bukan formal boleh dikurangkan.

– Mewujudkan lebih banyak jawatan untuk sektor kebajikan rakyat (care economy). Umpamanya:

  • Lebih banyak jawatan untuk doktor dan jururawat dalam perkhidmatan kesihatan awam kerana hospital dan klinik sedang menghadapi kekurangan kakitangan.
  • Jawatan baharu jururawat masyarakat untuk menawarkan perkhidmatan melawat pesakit lumpuh, pesakit yang uzur, pesakit terlantar, kanak-kanak OKU dan sebagainya di rumah-rumah mereka. Jururawat sebegini harus mempunyai kemahiran dalam memantau status pesakit, mencuci luka, memberi fisioterapi dan pendidikan kesihatan kepada pesakit-pesakit yang dinyatakan di atas.
  • Jawatan baharu pegawai kebajikan masyarakat yang ditugaskan untuk menggalak dan membantu masyarakat miskin bandar di rumah pangsa dan skim perumahan kos rendah supaya mengaturkan aktiviti yang sihat untuk anak muda di kawasan-kawasan itu.

– Mewujudkan lebih banyak peluang kerja dalam sektor pemulihan alam sekitar melalui

  • Kontrak kepada koperasi tempatan untuk memantau dan memulihkan sungai dan hutan di seluruh negara kita.
  • Skim-skim untuk mencergaskan sektor mengitar semula sisa-sisa buangan isi rumah dan industri.
  • Skim-skim yang menyewa bumbung rumah-rumah kos rendah untuk meletakkan panel suria.

Tetapi, selain daripada usaha-usaha yang digariskan di atas, juga perlu untuk memikirkan kaedah berkongsi kerja yang sedia ada, antara semua rakyat yang ingin bekerja. Oleh kerana perkembangan teknologi seperti machine learning, AI, robotik dan sebagainya, tenaga pekerja yang perlu untuk mengeluarkan satu amaun barangan akan berkurangan secara berterusan. Pada masa ini, manfaat daripada perkembangan teknologi dan peningkatan efisiensi pengeluaran barangan dinikmati

hanya oleh kaum pemodal yang menekan gaji pekerja di paras yang rendah dengan hasrat menambahkan untung syarikat. Kaedah yang kita harus memikirkan adalah bagaimana manfaat ini dapat diagihkan kepada pekerja dalam bentuk mengurangkan waktu kerja dari 48 jam seminggu sekarang kepada mungkin 32 jam seminggu secara berperingkat, tetapi dengan peningkatan gaji untuk setiap jam kerja, supaya jumlah gaji tidak dikurangkan.

Syor ini bukan mudah untuk dilaksanakan kerana ia membawa implikasi kepada kos pembuatan barang-barang dan kos perkhidmatan dalam sesebuah negara. Jika kos barangan buatan Malaysia naik, ia boleh mengurangkan daya saing ekonomi kita berbanding ekonomi-ekonomi negara jiran dan syarikat-syarikat Malaysia akan muflis ataupun terpaksa berpindah ke negara jiran. Jadi, caranya untuk mengimplimentasi cadangan ini (untuk mengurangkan masa berkerja setiap minggu) di rantau ASEAN secara beransuran perlu dibincang. Tetapi ia merupakan kaedah jangka masa panjang untuk memastikan semua ahli masyarakat yang ingin bekerja mendapat pekerjaan.

Strategi perang ideologi

Sebelum kita masuk ke bab bagaimana melakukan perang ideologi, kita mesti membuat keputusan sama ada pendirian yang digariskan terhadap tujuh perkara pokok di atas perlu diubah suai, diperbaiki atau ditambahkan. Ini kerana idea dan analisis berkaitan 7 perkara pokok ini adalah peluru kita dalam perang ideologi yang kita harus melancarkan untuk menunjukkan kepada golongan idealis bahawa PSM memang mempunyai idea-idea yang boleh menyelesaikan sebahagian besar masalah-masalah yang dihadapi oleh negara kita pada masa ini. Saya harap ahli-ahli PSM akan menggunakan peluang perbincangan sebelum dan semasa kongres untuk membahaskan 7 isu pokok dan pendekatan PSM terhadap mereka.

Satu keputusan lagi yang perlu diambil adalah sama ada perlu kita mengaturkan sesi perbincangan dalaman terhadap isu-isu pokok supaya lebih ramai ahli PSM dapat memahami isu-isu ini secara mendalam supaya mereka dapat menerangkan pendirian PSM secara jelas kepada golongan muda dan orang idealis yang kita mahu menarik kepada perjuangan kita. Ahli kita merupakan askar parti dalam perang ideologi. Mereka mesti tahu bagaimana menggunakan “senjata” ideologi.

Jadi, jika kita akur pada seruan Che Guevara untuk “bersikap realistik dan mencapai yang mustahil”, kita harus melakukan langkah-langkah yang berikut:

  • Membuat keputusan terhadap isu-isu utama kita akan mengemukakan sebagai Paradima Baharu untuk negara Malaysia;
  • Menjalankan perbincangan dalaman parti untuk menghalusi pendirian kita terhadap isu-isu ini dan juga membina pemahaman ahli aktif PSM terhadapnya;
  • Melancarkan Perang Ideologi dengan menganjurkan program-program umum yang mengemukakan paradigma PSM kepada orang awam;
  • Memantapkan kaedah kita menerima ahli baharu, dan membuka ruang untuk mereka menjadi ahli yang aktif dan berpengalaman.

Perkara keempat – caranya kita menerima ahli baharu dan memberi pendidikan politik dan pendedahan kepada kerja akar umbi PSM – harus dibincang secara terperinci, mungkin dalam satu forum yang akan datang.

Kita harus sentiasa mengingatkan diri kita bahawa Deklarasi Trolak hanya boleh menjadi satu realiti jika kita rela membuat kerja-kerja yang digariskan di atas.

Gaza

Adalah SOP ucapan dasar parti-parti kiri untuk menyentuh juga situasi antarabangsa. Saya ingin menunaikan tanggungjawab ini dengan mengemukakan beberapa idea berkaitan serangan genosid yang sedang berlaku di Gaza.

Serangan Israel terhadap populasi Gaza telah membongkarkan pecahan (division) yang wujud dalam kalangan rakyat Malaysia. Sebahagian signifikan daripada komuniti bukan Melayu tidak begitu bersimpati dengan rakyat Palestin. Mereka menyuarakan idea-idea seperti yang berikut dalam media sosial:

  • Hamas adalah pihak yang bertanggungjawab terhadap malepetaka yang sedang berlaku. Serangan Hamas pada 7 Oktober 23 adalah peristiwa yang mencetuskan tindak balas Israel.
  • Hamas adalah sebuah organasasi pengganas (terrorist). Israel terpaksa bertindak keras terhadap Hamas untuk menjamin keselamatan rakyat Israel.
  • Konflik ini ada diramalkan dalam Kitab Injil.
  • PMX harus menumpukan perhatiannya terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dan kurangkan kritikan terhadap Israel di pentas antarabangsa.
  • Kritikan PMX terhadap Israel akan menjejaskan ekonomi Malaysia. Amerika Syarikat akan naik marah.
  • Mengapa semua yang bising sekarang tetapi sunyi apabila genosid berlaku di Mullivaikkal, Sri Lanka pada bulan Mei 2009?

Ada juga beberapa orang ahli PSM yang memegang pemikiran seperti ini.

Adalah amat penting untuk pemimpin di peringkat cawangan PSM mengadakan diskusi dengan ahli dan penyokong kita yang memegang idea seperti di atas untuk menjelaskan pada mereka bahawa:

  • Isu Palestin tidak bermula pada 7 Oktober 2023. Pengusiran rakyat Palestin dari rumah dan tanah mereka telah bermula pada tahun 1947, dan berterusan sehingga 6 Oktober 2023.
  • Israel adalah sebuah “Settler Colonial State” yang memang mempunyai niat dan polisi jangka masa panjang untuk merampas tanah Palestin daripada penduduk asalnya.
  • Tindak balas rakyat Palestin yang tertindas selama 76 tahun tidak boleh disamakan dengan serangan genosid Israel.
  • Tindak balas Israel terhadap serangan 7 Oktober 23 adalah keterlaluan. Sampai sekarang lebih daripada 40,000 orang rakyat Palestin telah dibunuh oleh peluru dan bom Israel, ramai daripada mereka adalah wanita dan kanak-kanak. Lebih daripada 70% stok perumahan di Gaza serta kemudahan asas seperti hospital dan klinik telah dimusnahkan.
  • Israel sedang menghalang pembekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas lain kepada rakyat Palestin di Gaza.

Mengadakan diskusi dengan mereka. Berkongsi video yang muncul di media sosial yang menjelaskan perkara yang sebenar. Adalah penting untuk ahli kita memahami mengapa PSM menyokong perjuangan rakyat Palestin dan mengambil bahagian dalam beberap aksi protes yang berlaku di Kuala Lumpur.

Serangan genosid Israel terhadap Gaza juga telah mendedahkan pecahan geopolitik yang wujud di dunia pada masa ini. Penyokong Israel yang terkuat adalah tiga buah negara “settler colonial”, iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Australia, dan “ibu” mereka Britain. Beberapa buah negara dalam kumpulan ketenteraan NATO – umpamanya negara Jerman dan Perancis – juga menyokong Israel. Tetapi hampir semua negara lain, di Asia, Afrika dan Amerika Latin – Dunia Ketiga – mengecam tindakan Israel dan memohon gencatan senjata secepat mungkin.

Rakyat biasa di seluruh dunia telah membangkit dan menyeru kepada Amerika Syarikat dan sekutunya dalam NATO untuk menghentikan bekalan senjata dan peluru kepada Israel. Protes besar-besaran sedang diadakan di merata tempat. Kaum muda di Amerika Syarikat, dan Eropah jugam sudah melancarkan protes yang berterusan di kampus-kampus universiti. Hipokrasi pihak Amerika Syarikat dan negara-negara Barat telah didedahkan kepada semua.

Peristiwa Gaza telah membawa kepada satu “inflection point” dalam sejarah imperialisme. Selain daripada mendedahkan kebankrapan moral pihak imperialis, ia telah menyatukan Dunia Ketiga untuk menentangnya. Pendakwaan terhadap Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa oleh Afrika Selatan dengan sokongan banyak negara lain adalah satu aksi yang menunjukan kerelaan negara-negara Dunia Ketiga mencabar pendirian Amerika Syarikat dan sekutunya. Pemberontakan anak muda di negara-negara imperialis juga menunjukkan bahawa puak imperialis telah hilang sokongan rakyat biasa di seluruh dunia.

Parti-parti kiri di seluruh dunia harus memantau perubahan pemikiran rakyat dunia dan mengaturkan langkah bagaimana kita boleh memakai momentum ini untuk menukar persetujuan-persetujuan perdagangan bebas antarabangsa yang sedia ada dan memenang balik kedaulatan ekonomi negara-negara kita supaya kita dapat mengagihkan kekayaan dunia secara lebih adil untuk membasmi kemiskinan, memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial dan menangani darurat iklim.

Seperti dikatakan oleh saudara Marx – Ahli falsafah telah menganalisiskan dunia. Matlamatnya adalah untuk mengubahkannya.

Marilah kita bersama-sama melakukan langkah-langkah realistik secara berdisiplin supaya dapat mewujudkan dunia baharu.

Salam perjuangan! Dan salam berkongres!

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Nota

1. KDNK pada harga pada tahun 1970 = RM11,829 juta; 2019 = RM1,513,157 juta
https://www.epu.gov.my/en/spcio-ewconomic-statistics/socio-economic/nationalaccounts

Inflation calculator: RM1000 (of 1970 value) = RM 5294.73 (1/1/2020 value)
Source: https://www.worlddata.info/asia/malaysia/inflation-rates.php
Calculation: 2019
RM 1513.2 bil = RM 285.8 bil (1970 ringgit); 285.8 div 11.8 = 24.22
ie GDP went up 24.2 times in real terms between 1970 and 2019.

2. Mean Wage of Factory Workers 1973 = RM190
Source: 4th Malaysia Plan (1981- 1985), Chapter 3, para 133

Mean wages of Plant & Machine Operators & Assemblers” 2020 = RM 2014
Source: DOSM, Salaries & Wages Report 2020, Putrajaya, July 2021

Calculation: RM 2014 (2020 ringgit) = RM 380 (1970 ringgit). 380 div by 190 = 2.0

3. Selain daripada kadar inflasi sebanyak 529% antara tahun 1970 dan 2020, kos hidup rakyat telah naik mendadak oleh kerana proses “komodifikasi”, di mana keperluan asas yang pada tahun 1970 dapat disediakan dengan bantuan keluarga dan komuniti, sekarang perlu dibeli di pasaran. Umpamanya rumah – pada tahun 1970 seorang yang berpindah ke Kuala Lumpur boleh membina rumah papannya di sebuah bidang tanah kosong tanpa mengambil pinjaman bank. Sekarang pilihan itu tidak wujud. Kena membeli daripada pemaju dan membayar pinjaman bank selama 25 tahun.

4. KDNK Malaysia 2023 = RM1,971 bil; Jumlah eksport Malaysia 2022 = RM 1,579
Jika kita buat andaian kasar bahawa nilai sebenar barangan yang dieksport dari Malaysia adalah dua kali lebih kerana kewujudan “wage suppression” pada masa ini, kita kehilangan RM1,579 bilion pada tahun 2022. Perkara ini harus dikaji secara lebih rapi.

5. Imperialisme adalah fenomena di mana kapitalis terbesar di negara-negara yang mempunyai kuasa ekonomi dan tentera, menggunakan kuasa-kuasa itu untuk mengaturkan, secara paksa, perhubungan ekonomi antarabangsa yang menguntungkan kapitalis-kapitalis terbesar tersebut.

6. Syor PSM adalah untuk membenarkan pengundi menentukan parti mana yang dia mahu menyokong. Satu senarai mengundi yang mengandungi semua parti berdaftar di Malaysia harus diberi kepada setiap pengundi dalam PRU. RM10 ringgit setahun akan dibayar daripada dana kerajaan kepada parti untuk setiap pengundi yang memilihnya sehingga PRU akan datang.

7. Mengikut National Health and Morbidity Survey 2022, 21.2% daripada kanak-kanak di Malaysia adalah “stunted” ataupun tidak mencapai ketinggian (height) minimum untuk umurnya.

One thought on “Ucapan Dasar Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk Kongres Nasional ke-26

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *