Kenyataan yang dikeluarkan oleh Kumpulan Kerja Papua Barat, Biro Antarabangsa Parti Sosialis Malaysia (PSM)
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam sekeras-kerasnya kekejaman yang dilakukan oleh tentera Indonesia yang mengakibatkan kematian pejuang kebebasan Papua Barat, Atius Kum, pada 6 Julai 2024. Atius Kum ditangkap pada 30 Jun 2024, diseksa oleh pasukan keselamatan Indonesia untuk mendapatkan maklumat daripadanya, dan akhirnya dibunuh serta dibakar dengan kejam di kabupaten Intan Jaya, provinsi Papua Tengah.
Sejarah Papua Barat diilhak oleh Indonesia merupakan hasil daripada percaturan politik oleh kuasa besar semasa Perang Dingin tanpa penyertaan masyarakat penduduk asal Papua Barat sendiri. Perjuangan masyarakat orang asal Papua Barat untuk menentukan nasib sendiri dibalas dengan penindasan ketenteraan dan sentimen rasisme secara sistematik oleh pasukan keselamatan Indonesia. Penindasan dan perjuangan sebegini mirip dengan isu Palestin, tetapi jarang mendapat liputan media walaupun keadaan hak asasi manusia yang semakin merosot di Papua Barat.
Golongan elit Indonesia bukan sahaja enggan mengakui hak masyarakat orang asal di Papua Barat, malah bersekongkol dengan pemodal besar untuk mengekstrak sumber alam semula jadi yang kaya dan membiarkan operasi keganasan serta penyeksaan yang semakin berleluasa dengan memainkan sentimen nasionalis dan agama untuk memperdaya rakyat Indonesia supaya perbuatan memperkayakan diri mereka sendiri dapat diteruskan.
Di mana ada penindasan, di situ ada perjuangan. Selain perjuangan bersenjata gerila, semakin ramai anak muda dari Papua Barat bangkit untuk membantah perbuatan kejam sebegini di seluruh Indonesia, seperti protes hak asasi manusia di bandar Nabire pada 5 April 2024 untuk membantah tindakan kejam anggota tentera Indonesia menyeksa orang awam di kabupaten Puncak. Namun, protes aman ini telah disuraikan secara kekerasan oleh polis Indonesia.
Selain itu, kempen All Eyes on Papua yang diinspirasikan oleh kempen kemanusiaan Palestin, All Eyes on Rafah, tidak hanya bertujuan untuk menyokong suku etnik Awyu dan Moi dalam perjuangan mempertahankan hutan tanah adat yang telah didiami mereka turun-temurun daripada kemusnahan akibat penjanaan keuntungan syarikat, tetapi juga untuk mengingatkan orang ramai tentang bagaimana selama 61 tahun pendudukan Indonesia di Papua Barat, masyarakat orang asal di situ telah mengalami pembunuhan beramai-ramai, pembersihan etnik, dan ekosid secara beransur-ansur.
PSM menegaskan sokongan kami kepada hak rakyat Papua Barat untuk menentukan nasib sendiri. Untuk mencapai matlamat tersebut, perkara yang paling penting ialah mengeluarkan pelaku kejam, iaitu pasukan keselamatan Indonesia, dari Papua Barat dan memberi peluang kepada masyarakat orang asal untuk membentuk pasukan keselamatan diri sendiri, dengan bantuan pasukan pengaman antarabangsa yang bersikap neutral jika perlu.
Dengan demikian, rakyat Papua Barat dapat memastikan suasana yang selamat yang membolehkan mereka untuk menyuarakan tuntutan mereka dengan bantuan pasukan keselamatan diri sendiri. Penentuan nasib sendiri juga bermaksud mereka diberi peluang untuk menikmati hasil pembangunan ekonomi mereka bukannya jatuh ke dalam tangan pemodal.
Akhir sekali, kami menyeru kepada masyarakat antarabangsa dan kerajaan Malaysia untuk bersama-sama mengecam tindakan kejam kerajaan Indonesia terhadap pejuang kebebasan dan masyarakat orang asal di Papua Barat, serta mempertanggungjawabkan kerajaan Indonesia dalam pencabulan hak asasi manusia yang berterusan di pulau ini.
==========
Versi Bahasa Inggeris boleh baca di sini.