KUALA LUMPUR – 4 JULAI 2024: Organisasi-organisasi masyarakat sivil menyerahkan satu memorandum kepada Ahli-ahli Parlimen pada hari ini untuk mengecam tindakan kerajaan yang menyalahgunakan Akta Hasutan terhadap Mukmin Nantang, seorang aktivis sosial yang merupakan pengasas Borneo Komrad.

Mukmin Nantang ditangkap dan disoal siasat oleh polis pada 27 Jun 2024 di bawah Akta Hasutan berkaitan komennya tentang isu pengusiran masyarakat orang asal Bajau Laut yang berlaku di Semporna, Sabah, baru-baru ini. Penyiasatan terhadap Mukmin Nantang di bawah Akta Hasutan ini telah menimbulkan kekhuatiran masyarakat sivil bahawa kebebasan suara yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan sedang dihakis dan Akta Hasutan yang merupakan peninggalan zaman penjajahan British masih digunakan untuk memadamkan suara pengkritik kerajaan.

Walaupun Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, pernah memberi jaminan bahwa Akta Hasutan tidak akan digunakan terhadap mereka mengkritik dirinya atau kerajaannya dan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution juga pernah menyatakan bahawa kerajaan “tidak mahu menggunakan Akta Hasutan bagi tujuan politik”, Akta Hasutan masih digunakan untuk mendiamkan kritikan dan menyekat kebebasan bersuara dalam kes siasatan terhadap pembela hak asasi manusia seperti Mukmin Nantang.

“Melihat kepada siasatan terhadap Mukmin, selepas penangkapan dan penahanan seorang guru dan lapan pelajar, ianya adalah sebahagian daripada taktik sistematik yang bukan sahaja menyekat suara komuniti Bajau Laut tetapi wacana awam yang lebih luas bagi memastikan kerajaan bertanggungjawab di atas pelanggaran hak asasi manusia terhadap komuniti ini,” begitu katanya memorandum yang disediakan oleh Suara Rakyat Malaysia (SUARAM). “Malah, penangkapan Mukmin Nantang semasa beliau hadir untuk siasatan pada 27 Jun 2024 secara sukarela, adalah perbuatan mala fide dan tindakan yang tidak berprofesional daripada pihak polis. Dalam konteks ini, siasatan terhadap Mukmin membangkitkan kerisauan terhadap peningkatan penindasan yang lebih zalim dan tidak berperlembagaan terhadap kebebasan bersuara, satu hak yang dijamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.”

Wujudnya peningkatan dalam penggunaan Akta Hasutan sejak Kerajaan Perpaduan berkuasa pada tahun 2022. “Pindaan Akta Hasutan tidak membantu untuk ‘mengurus isu-isu berkaitan 3R secara efektif’, termasuk membendung ucapan kebencian. Sebaliknya, peruntukan dalam undang-undang tersebut menjadi alat kepada salah guna kuasa oleh kerajaan – tiada definisi khusus mengenai apa yang dianggap sebagai ucapan yang mempunyai ‘kecenderungan menghasut’ malah tiada keperluan membuktikan niat oleh pihak pendakwaan bagi memulakan siasatan dan pertuduhan,” ulas memorandum yang ditujukan kepada Ahli-ahli Parlimen. “Meminda undang-undang kuno ini tidak akan mengubah status quo selama 76 tahun – di mana kerajaan hari ini mentakrifkan sendiri apa bentuk ekspresi yang sah mengikut kehendak mereka. Ini hanya akan mengukuhkan lagi sikap penapisan kendiri (self-censorship) di mana akan menghalang perdebatan awam yang konstruktif dan penyertaan demokratik. ”

“Mengambil pendekatan yang lebih menghukum (punitive approach) dengan memperkukuhkan penggunaan Akta Hasutan juga mengurangkan keterbukaan kerajaan kepada libat urus konstruktif dengan pihak berkepentingan lain yang mempunyai sudut pandang berbeza seperti masyarakat sivil, sekali gus menjadikan pelanggaran hak asasi manusia yang kritikal mencabar atau bahkan mustahil untuk ditangani,” tambah lagi memorandum daripada masyarakat sivil. “Kebebasan bersuara dan berekspresi adalah nadi kepada demokrasi. Halangan yang terlalu luas, sembarangan dan tidak berperlembagaan ini adalah sifat autoritarianisme. Dalam erti lain, Akta Hasutan tidak dapat diselamatkan dan tiada tempat di Malaysia. Ia perlu dimansuhkan.”

Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan dalam memorandum daripada masyarakat sivil kepada kerajaan dan Ahli-ahli Parlimen ialah:

  • Melaksanakan moratorium ke atas penggunaan Akta Hasutan sementara menunggu pemansuhannya, dan;
  • Menerima sepenuhnya dan melaksanakan enam cadangan mengenai pemansuhan Akta Hasutan yang diterima semasa kitaran keempat Penilaian Berkala Sejagat (Universal Periodic Review) dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Memorandum ini juga menegaskan bahawa pentingnya untuk pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengadakan dialog dan kerjasama yang konstruktif dengan pihak berkepentingan akar umbi termasuk organisasi masyarakat sivil sebagai usaha berkesan dan kolaboratif merentas sektor bagi menangani pelanggaran hak asasi manusia dalam isu-isu berkaitan kewarganegaraan, migrasi, jenayah dan keselamatan negara. 

Memorandum yang diserahkan di Parlimen pada hari ini disokong oleh 34 buah organisasi, termasuk Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Borneo Komrad, Liga Rakyat Demokratik, Pusat Pembangunan Rakyat Mandiri (MANDIRI), UNDI18, Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia Malaysia (HAKAM), Gabungan Marhaen, Amnesty International Malaysia (AIM), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan sebagainya.

Turut hadir bersolidariti bersama masyarakat sivil semasa penyerahan memorandum pada hari ini ialah Sivarajan Arumugam selaku Setiausaha Agung PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *