(Berikut ialah Tuntutan PRU-15 oleh Gabungan Marhaen yang dikemukakan bersempena Hari Pembasmian Kemiskinan Sedunia pada 17 Oktober 2022.)
Sempena dengan Hari Pembasmian Kemiskinan Sedunia pada 17 Oktober 2022 dan Piliharaya Umum (PRU) akan datang, kami daripada Gabungan Marhaen ingin mengambil kesempatan ini untuk menegakkan tuntutan rakyat marhaen kepada semua parti politik dan calon pilihan raya supaya mengambil iktibar mengubah nasib golongan marhaen, sekali gus merangka langkah dan polisi untuk menamatkan jurang kemiskinan di Malaysia.
Hari ini sangat signifikan kepada golongan marhaen. Hari ini didedikasi untuk membasmi kemiskinan. Selagi kita tidak menangani kemiskinan dalam kalangan rakyat marhaen, maka kita akan gagal sebagai sebuah negara dan masyarakat.
Selepas diserang COVID-19 sejak tahun 2020, golongan marhaen menghadapi pelbagai masalah dari segi keperluan asas seperti perumahan, kesihatan, pekerjaan, peningkatan harga barangan asas dan banyak lagi. Ini menyebabkan kemiskinan dalam kalangan golongan marhaen yang sudah pun “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang” menjadi lebih parah.
Pada tahun ini, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed, berkata bahawa kerajaan dalam proses mengemas kini pendapatan garis kemiskinan (PGK) berdasarkan hasil dapatan tinjauan pendapatan,perbelanjaan isi rumah dan kemudahan asas (HIES/BA 2022) yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Menurutnya, akibat daripada COVID 19, kadar kemiskinan mutlak dan miskin tegar telah meningkat masing-masing kepada 8.4% dan 1.0 % pada tahun 2020. Ini kerana segolongan kelas menengah turut terjerumus dalam kemiskinan.
Kami sedar bahawa COVID 19 membawa kesan yang serius kepada ekonomi dan sosial di seluruh dunia. Krisis kesihatan awam telah menjejaskan masyarakat yang paling terpinggir di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, dari segi ekonomi dan juga sosial.
Sempena dengan Hari Pembasmian Kemiskinan Sedunia dan Pilihanraya Umum yang akan datang, kami berharap tuntutan dan keadaan golongan marhaen akan diteliti oleh semua parti politik dan calon pilihan raya.
Sebarang janji untuk perubahan semasa pilihan raya tidak membawa faedah jika ianya tidak ditunaikan. Maka, apa yang diperlukan di sini ialah satu kerajaan dan wakil rakyat yang berjiwa rakyat dan boleh menunaikan tuntutan-tuntutan di bawah:
1. Hak Orang Asal/Asli
a) Iktiraf Hak Tanah Adat Orang Asal di Malaysia dan berikan hak milik kekal serta kukuhkan status Tanah Rizab Orang Asal/Asli di Malaysia (Semenanjung, Sabah dan Sarawak).
b) Rancangan pembangunan tanah Orang Asal hendaklah berasaskan kehendak, keperluan dan aspirasi Orang Asal/Asli.
2. Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK)
a) Wujudkan jaminan kerja untuk semua pekerja kontrak dengan hapuskan sistem kontrak.
b) Iktiraf sumbangan pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan.
c) Laksanakan Gaji Minimum RM1,500 kepada semua pekerja kontrak di bangunan kerajaan.
3. Jaringan Pekerja Tidak Formal (JPTF)
a) Iktirafkan pekerja di sektor ekonomi gig sebagai pekerja di bawah Akta Kerja 1955 dan semua caruman atau perlindungan sosial asas seperti KWSP, PERKESO dan Skim Insurans Pekerjaan harus diwajibkan.
4. Jaringan Pemandu Lori
a) Pemandu lori tidak dihukum untuk kesalahan majikan (misalnya, saman seperti untuk muatan melebihi had harus ditanggung oleh majikan bukannya pemandu).
b) Penguatkuasaan undang-undang sedia ada seperti Akta Kerja 1955 – Pemandu lori harus dapat menikmati cuti cuti berbayar termasuk cuti rehat mingguan, cuti tahunan, cuti sakit dan cuti umum.
c) Pemandu Lori dibayar elaun untuk kerja-kerja yang tidak bergaji.
5. Gabungan Kesatuan Sekerja
a) Hentikan pemerasan dan penghancuran kesatuan sekerja.
b) Pembentukan dan peningkatan keahlian kesatuan sekerja harus diutamakan untuk menjamin hak dan kebajikan pekerja.
c) Tingkatkan kebajikan dan taraf hidup pekerja.
6. Gabungan Petani
a) Hak bertani dan jaminan makanan – Hentikan pengusiran petani dari tanah yang sedang diusahakan mereka. Iktiraf dan berikan geran tanah kepada golongan petani dan penternak yang telah lama bertani dan membekalkan hasil pertanian untuk kegunaan tempatan demi menjamin keupayaan pengeluaran makanan tempatan.
7. Gabungan Penternak Nasional
a) Kerajaan kawal harga makanan ternakan.
b) Sime Darby yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) harus mempunyai tanggungjawab sosial dan menghentikan pengusiran penternak dari kawasan ladangnya.
c) Kerajaan harus jaga kebajikan pengeluar daging dan susu tempatan, dan kawal AP (lesen import).
8. Jaringan Pesawah
a) Menukar semua subsidi input untuk pengeluaran padi kepada bentuk tunai/baucar.
b) Meningkatkan insentif harga padi kepada 80 sen sekilogram dan mengembalikan segera bayaran wang sara hidup.
c) Menyelesaikan masalah pemerasan pesawah yang berlaku di peringkat kilang.
d) Hentikan promosi Projek Estet Berskala Besar (Smart SBB), sebaliknya menyokong dan meramaikan usahawan petani individu dan syarikat tempatan.
e) Mengiktiraf pesawah padi sebagai Pegawai Keselamatan Makanan dan menawarkan Pencen Warga Emas kepada pesawah.
9. Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML)
a) Hentikan pengusiran paksa – Kerajaan harus hentikan sebarang pengusiran paksa terhadap penduduk dari tempat tinggal mereka. Pastikan tidak putuskan utiliti seperti air dan elektrik.
b) Gubal undang-undang Skim Perumahan Ladang.
c) Sertakan masyarakat ladang dalam Rancangan Pembangunan Luar Bandar.
10. Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan
a) Kekalkan kampung peneroka bandar.
b) Hentikan pengusiran paksa. Gubal Enakmen Anti-Pengusiran.
c) Pampasan dalam bentuk rumah ganti rumah atau lot tanah alternatif.
11. Gabungan Flat Kos Rendah
a) Majlis Perbandaran harus mengambil alih penyelenggaraan Flat Kos Rendah.
b) Batalkan cukai penyelenggaran untuk Flat Kos rendah dan selaraskan dengan hanya satu cukai pintu.
12. Gabungan Alam Sekitar
a) Iktiraf Darurat Iklim dengan segera.
b) Moratorium terhadap pembalakan dan perlombongan di hutan primer.
==========
Gabungan Marhaen (dengan singkatan MARHAEN) ialah gabungan komuniti akar umbi, kolektif masyarakat, kesatuan sekerja, NGO yang berfikiran sama, pemimpin masyarakat akar umbi dan aktivis masyarakat. Gerakan ini beraspirasi untuk mewakili kepentingan majoriti rakyat di negara kita, iaitu kelas pekerja, petani, rakyat bawahan, anak muda dan masyarakat terpinggir.
Misi utama MARHAEN adalah untuk menggabungkan dan memantapkan semua komuniti marhaen untuk memperjuangkan hak dan kepentingan golongan
marhaen demi mewujudkan masyarakat yang adil dan saksama dari segi agihan kekayaan dan kesejahteraaan.