human-rights-banner.jpg

10 Disember setiap tahun merupakan Hari Hak Asasi Manusia Sedunia. Sambutan Hari Hak Asasi Manusia diwujudkan untuk memperingati dan memberi penghormatan kepada 10 Disember 1948, satu tarikh yang mulia apabila Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah meratifikasi Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat ialah dokumen hak asasi manusia peringkat dunia yang pertama dan merupakan salah satu pencapaian utama pada peringkat awal penubuhan PBB selepas Perang Dunia II.

10 Disember ditetapkan sebagai Hari Hak Asasi Manusia apabila Perhimpunan Agung PBB pada 4 Disember 1950 meluluskan Resolusi 423(V) yang menjemput semua negara anggota PBB dan organisasi yang berminat untuk menyambut hari yang bermakna ini serta meningkatkan usaha untuk memajukan hak asasi manusia.

Kenapa wujudnya Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat?

PBB ditubuhkan pada tahun 1945 tidak lama selepas Perang Dunia II, sebagai sebuah organisasi antarabangsa yang terdiri daripada kerajan-kerajaan negara seluruh dunia untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan dunia serta membangunkan hubungan persaudaraan antara negara-negara, demi mengelakkan daripada berulangnya bencana peperangan yang dahsyat.

Piagam PBB yang dibuka untuk tandatangan pada 26 Jun 1945 (iaitu penghujung Perang Dunia II) dan mula berkuatkuasa pada 24 Oktober 1945, sebagai perjanjian yang menjadi asas kepada penubuhan PBB, telah “menegaskan kepercayaan dalam hak asasi manusia yang fundamental, dan maruah serta nilai manusia” (Mukadimah Piagam PBB), dan mengenakan semua negara anggotanya untuk menggalakkan “penghormatan dan pematuhan secara universal terhadap hak asasi manusia dan kebebasan fundamental bagi semua tanpa membezakan ras, seks, bahasa atau agama” (Perkara 55 Piagam PBB).

Namun, oleh sebab Piagam PBB tidak mentakrifkan hak asasi manusia yang dimaksudkannya dengan jelas, maka negara-negara anggota PBB berpendapat bahawa perlunya sebuah perisytiharan segagat untuk menetapkan hak individu dan masyarakat yang perlu untuk melaksanakan peruntukan tentang hak asasi manusia dalam Piagam PBB.

Pada bulan Jun 1946, Majlis Ekonomi dan Sosial PBB menubuhkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (UNCHR) yang terdiri daripada 18 orang anggota yang datang dari negara dan latar belakang politik yang berbeza. Sebagai sebuah badan tetap untuk PBB, UNCHR ditugaskan untuk menjalankan kerja-kerja penyediaan untuk apa yang dianggap sebagai Perakuan Hak Antarabangsa. UNCHR menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk merangka Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat. Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Eleanor Roosevelt, dengan anggotanya terdiri daripada intelek seperti John Peters Humphrey dari Kanada, Chang Peng Chun dari China, René Cassin dari Perancis dan Charles Malik dari Lubnan.

Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat diterima oleh Perhimpunan Agung PBB pada 10 Disember 1948 melalui Resolusi 217A. Daripada 58 buah negara anggota PBB pada ketika itu, 48 mengundi untuk menyokong, tiada negara anggota membantah, 8 berkecuali, manakala 2 lagi tidak mengundi langsung.

Walaupun Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat bukannya perjanjian yang mengikat negara anggota PBB, namun ia diterima untuk tujuan mentakrif maksud perkataan “kebebasan fundamental” dan “hak asasi manusia” yang terkandung dalam Piagam PBB yang mengikat semua negara anggotanya. Oleh yang demikian, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat menjadi dokumen asas untuk PBB.

Instrumen-instrumen hak asasi manusia antarabangsa

Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, walaupun tidak mengikat negara-negara anggota PBB secara undang-undang, ia merupakan standard umum untuk pencapaian masyarakat bagi semua rakyat dan semua bangsa di dunia, yang patut dipenuhi dengan langkah-langkah progresif untuk memastikan pengiktirafan dan pematuhan prinsip-prinsip hak asasi manusia secara universal. Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat membentuk sebahagian daripada undang-undang adat antarabangsa.

Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat menawarkan asas kepada dua perjanjian multilateral PBB mengenai hak asasi manusia yang penting, iaitu Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) dan Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (ICESR). Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, bersama dengan ICCPR dan ICESR, membentuk apa yang dikenali sebagai “Rang Undang-undang Hak Asasi Manusia Antarabangsa”.

Selain ICCPR dan ICESR, prinsip-prinsip yang terkandung dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat turut dikembangkan dalam perjanjian antarabangsa seperti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Konvensyen PBB Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), Konvensyen PBB Menentang Penyeksaan (CAT) dan sebagainya. Instrumen-instrumen hak asasi manusia antarabangsa ini telah membekalkan kerangka undang-undang untuk melindungi hak asasi manusia di negara-negara yang meratifikasi perjanjian yang berkaitan.

70 tahun kewujudan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 

Sejak Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat diluluskan dalam PBB pada tahun 1948, selama 7 dekad yang lepas, rakyat dunia telah melalui pelbagai cabaran dalam menegakkan hak asasi manusia, sama ada di dalam negara sendiri ataupun di peringkat antarabangsa.

Kuasa-kuasa besar semasa dan selepas Perang Dingin, telah melakukan pelbagai kezaliman dengan melancarkan perang di banyak tempat, dari Perang Korea (1950-53), Perang Algeria (1954-62), Perang Vietnam (1955-75), sehinggalah Perang Teluk (1990-1991), Perang Afghanistan (2001-   ) dan Perang Iraq (2003-2011). Kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, telah melakukan pencabulan hak asasi manusia yang amat teruk dalam usaha mengekalkan kekuasaan imperialis melalui operasi ketenteraan yang penuh dengan kezaliman. Di samping itu, konflik senjata yang melibatkan proksi imperialis turut meragut banyak nyawa dan mendatangkan pencabulan hak asasi manusia yang berleluasa.

Pencabulan hak asasi manusia berlaku di hampir semua negara, yang berbeza adalah jenis pencabulan dan betapa serius pencabulan berkenaan. Adanya orang ditahan sewenang-wenangnya oleh penguasa hanya kerana menyuarakan kritikan terhadap pemerintah yang zalim, adanya orang hidup dalam kelaparan kerana kemiskinan yang disebabkan oleh sistem sosio-ekonomi yang penuh dengan ketidaksamarataan, adanya anak muda yang tidak dapat ke sekolah, adanya kanak-kanak dipaksa untuk berkahwin pada usia belasan tahun, adanya penempatan masyarakat miskin diusir atas kerana projek pembangunan yang menjana keuntungan lumayan untuk golongan korporat, adanya pekerja yang terpaksa bekerja dengan masa yang panjang tetapi hanya dibayar dengan gaji sedikit… semua ini adalah pencabulan hak manusia yang berlaku pada setiap masa di banyak tempat di dunia.

Perjuangan menegakkan hak asasi manusia perlu diteruskan

Di mana adanya penindasan, di situ adanya perlawanan. Ramai yang dicabuli hak asasi mereka telah bangkit dengan beraninya untuk melawan balik. Oleh sebab penentangan terhadap pencabulan hak asasi manusia dan perjuangan untuk menuntut keadilan sosial, semakin banyak kerajaan telah menerima hak asasi manusia sebagai norma masyarakat dan melakukan perubahan institusi untuk melindungi hak asasi rakyat.

Perjuangan untuk menuntut dan mempertahankan hak asasi manusia merupakan satu proses yang berterusan. Hanya rakyat yang sedar dan berorganisasi dari bawah mampu memastikan hak asasi manusia untuk setiap orang sentiasa terjamin.

declaration-of-human-rights-infographic.jpg

Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat

Mukadimah

Bahawasanya pengiktirafan keutuhan kemuliaan dan hak sama rata serta asasi yang tak terpisah bagi seluruh umat manusia adalah asas kebebasan, keadilan dan kedamaian dunia.

Bahawasanya pengabaian serta penghinaan terhadap hak asasi manusia telah pun mengakibatkan tindakan terkutuk yang telah melanggari perasaan hati umat manusia, dan munculnya sebuah dunia di mana manusia akan menikmati kebebasan berucap dan menganut kepercayaan serta kebebasan dari rasa takut dan citarasa telah pun diisytiharkan sebagai aspirasi teragung seluruh umat manusia.

Sekiranya kita tidak mahu mendorong manusia dalam keadaan terdesak, sebagai pilihan terakhir, memberontak menentang kezaliman serta penindasan, maka adalah penting bagi hak asasi manusia dipertahankan oleh kedaulatan undang-undang.

Bahasawanya adalah penting bagi memajukan perkembangan perhubungan persahabatan di antara negara-negara.

Bahawasanya rakyat Bangsa-Bangsa Bersatu, dalam Piagamnya telah sekali lagi menegaskan kepercayaan mereka terhadap hak asasi manusia, terhadap kemuliaan serta nilai diri manusia dan terhadap hak sama rata lelaki dan perempuan dan telah menetapkan keazaman untuk memajukan perkembangan sosial dan taraf hidup yang lebih sempurna dalam suasana kebebasan yang lebih luas.

Bahawasanya Negara-Negara Anggota telah berikrar untuk masing-masing mencapai, dengan kerjasama Bangsa-Bangsa Bersatu, pengutaraan kehormatan sejagat terhadap, serta pematuhan, hak asasi manusia dan kebebasan asasi.

Bahawasanya satu fahaman bersama terhadap hak serta kebebasan ini seluruhnya adalah terpenting demi menjadikan ikrar ini kenyataan sepenuhnya.

MAKA DENGAN INI

Perhimpunan agung mengisytiharkan

Perisyitiharan sejagat hak asasi manusia ini sebagai suatu ukuran bersama terhadap pencapaian oleh seluruh umat manusia dan kesemua negara dengan tujuan supaya setiap individu dan setiap badan masyarakat, dengan senantiasa mengingati Perisytiharan ini, hendaklah berazam melalui pengajaran dan pendidikan bagi langkah-langkah berperingkat-peringkat, di bidang negara dan antarabangsa, bagi menjaminkan pengiktirafan dan pematuhan sejagatnya yang berkesan, kedua-duanya di antara negara-negara anggota masing-masing dan rakyat wilayah-wilayah di bawah bidang kuasa mereka.

Perkara 1

Semua manusia dilahirkan bebas dan samarata dari segi kemuliaan dan hak hak. Mereka mempunyai pemikiran dan perasaan hati dan hendaklah bertindak di antara satu sama lain dengan semangat persaudaraan.

Perkara 2

Setiap orang adalah berhak kepada semua hak-hak dan kebebasan yang termaktub dalam Perisytiharan ini, tanpa sebarang apa jua pembezaan, seperti bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, agama, fahaman politik atau fahaman lain, asal-usul bangsa keturunan atau sosial harta-benda, kelahiran atau apa-apa taraf lain.

Seterusnya, tiada sebarang pembezaan boleh dibuat berasaskan pada taraf politik atau bidangkuasa ataupun antarabangsa sesebuah negara atau wilayah datangnya seseorang itu, sama ada merdeka, beramanah, tanpa pemerintahan sendiri atau berada di bawah apa-apa sekatan kedaulatan lainnya.

Perkara 3

Setiap orang adalah berhak kepada nyawa, kebebasan dan keselamatan diri.

Perkara 4

Tiada sesiapa pun boleh diperhamba atau diperabdikan; pengabdian dan dagangan hamba abdi hendaklah dilarang dalam semua bentuknya.

Perkara 5

Tiada sesiapa pun boleh dikenakan seksaan atau layanan atau hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan atau menghinakan.

Perkara 6

Setiap orang adalah berhak kepada pengiktirafan di mana jua sebagai seorang insan di sisi undang-undang.

Perkara 7

Semua orang adalah samarata di sisi undang-undang dan berhak tanpa apa-apa pembezaan kepada perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang. Semua orang adalah berhak kepada perlindungan yang sama rata daripada sebarang pembezaan yang melanggar Perisytiharan ini dan daripada sebarang hasutan terhadap pembezaan sedemikian.

Perkara 8

Setiap orang adalah berhak kepada pemulihan yang berkesan oleh tribunal-tribunal kebangsaan yang kompeten terhadap tindakan-tindakan yang melanggar hak-hak asasi yang diberikannya oleh perlembagaan atau oleh undang-undang.

Perkara 9

Tiada sesiapa pun boleh dikenakan tangkapan, tahanan atau pembuangan negeri secara sewenang-wenangnya.

Perkara 10

Setiap orang adalah berhak dengan sama rata sepenuhnya kepada pembicaraan adil dan terbuka oleh suatu tribunal bebas dan saksama, dalam penetapan hak hak dan tanggungannya dan sebarang tuduhan jenayah terhadapnya.

Perkara 11

  1. Setiap orang yang dituduh dengan kesalahan keseksaan adalah berhak dianggap tidak salah sehingga dibuktikan salah menurut undang-undang di dalam perbicaraan terbuka di mana dia telah diberikan segala jaminan yang perlu untuk pembelaannya.
  1. Tiada sesiapa pun boleh diputuskan bersalah atas sebarang kesalahan keseksaan oleh kerana sebarang tindakan atau ketinggalan yang tidak merupakan suatu kesalahan keseksaan, di sisi undang-undang kebangsaan atau antarabangsa, pada masa ia dilakukan. Tiada pula boleh dikenakan sebarang hukuman yang lebih berat dari hukuman yang terpakai ketika kesalahan keseksaan itu dilakukan.

Perkara 12

Tiada sesiapa pun yang boleh dikenakan kepada sebarang gangguan sewenang-wenangnya terhadap keadaan peribadi, keluarga, rumahtangga atau surat-menyuratnya, atau percerobohan ke atas maruah dan nama baiknya. Setiap orang berhak kepada perlindungan undang-undang terhadap gangguan atau percerobohan sedemikian.

Perkara 13

  1. Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan bergerak dan bermastautin di dalam sempadan sesebuah negara.
  2. Setiap orang berhak meninggalkan mana-mana negara, termasuk negaranya sendiri dan kembali semula ke negaranya.

Perkara 14

  1. Setiap orang berhak memohon dan menikmati perlindungan politik dalam negara lain daripada sebarang aniaya.
  2. Hak ini tidak boleh dituntut bagi pendakwaan yang benar-benar timbul daripada kesalahan bukan politik atau daripada tindakan yang bertentangan dengan kesalahan-kesalahan bukan politik atau daripada tindakan yang bertentangan tujuan dan prinsip-prinsip Bangsa-Bangsa Bersatu.

Perkara 15

  1. Setiap orang adalah berhak kepada suatu kewarganegaraan.
  2. Tiada sesiapa pun boleh dilucutkan kewarganegaraannya secara sewenang-wenangnya atau dinafikan hak menukar kewarganegaraannya.

Perkara 16

  1. Lelaki dan perempuan dewasa, tanpa mengira bangsa, kewarganegaraan atau agama, berhak berkahwin dan menubuhkan keluarga. Mereka adalah berhak kepada hak-hak sama rata berhubung dengan perkahwinan, dalam tempoh masa perkahwinan dan pembubarannya.
  2. Perkahwinan hanya boleh dilaksanakan dengan persetujuan bebas dan sepenuhnya oleh pihak-pihak yang bercadang untuk berkahwin.
  3. Keluarga adalah unit kumpulan semulajadi dan asasi dalam masyarakat dan adalah berhak kepada perlindungan oleh masyarakat dan negara.

Perkara 17

  1. Setiap orang berhak memiliki harta secara bersendirian serta secara berkongsi dengan orang lain.
  2. Tiada sesiapa pun boleh dilucutkan harta-bendanya secara sewenang-wenangnya.

Perkara 18

Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan berfikir, perasaan hati dan agama; hak ini termasuk-lah kebebasan menukar agama atau kepercayaannya melalui pengajaran, amalan, pemujaan dan pematuhan.

Perkara 19

Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media tanpa mengira sempadan.

Perkara 20

  1. Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan berhimpun secara aman dan menubuhkan persatuan.
  2. Tiada sesiapa pun boleh dipaksa menjadi ahli mana-mana pertubuhan.

Perkara 21

  1. Setiap orang berhak mengambil bahagian dalam kerajaan negaranya, secara langsung atau melalui wakil-wakil yang dipilih denga bebas.
  2. Setiap orang adalah berhak kepada peluang sama rata kepada perkhidmatan awam dalam negaranya.
  3. Kemahuan rakyat hendaklah menjadi asas kewibawaan kerajaan; kemahuan ini hendaklah dibuktikan melalui pilihanraya berkala yang sejati yang mana hendaklah diadakan secara sejagat dan sama rata dan hendaklah diadakan secara undi sulit atau melalui acara mengundian bebas yang ketara.

Perkara 22

Setiap orang, sebagai anggota masyarakat, adalah berhak kepada keselamatan sosial dan berhak menjadikan suatu kenyataan, melalui usaha negara dan kerjasama antarabangsa dan menurut organisasi dan sumber-sumber dalam negara masing-masing, hak-hak ekonomi, sosial dan kebudayaan yang termesti bagi kemuliaannya dan perkembangan bebas keperibadiannya.

Perkara 23

  1. Setiap orang adalah berhak kepada pekerjaan, kepada pemilihan pekerjaannya secara bebas, kepada keadaan-keadaan pekerjaan yang adil dan berfaedah baginya dan kepada perlindungan daripada pengangguran.
  2. Setiap orang, tanpa sebarang pembezaan, adalah berhak kepada penggajian yang sama bagi kerja yang sama.
  3. Setiap orang yang bekerja adalah berhak kepada pembayaran saraan yang adil dan berfaedah baginya yang mana mempastikan buat diri dan keluarganya suatu kehidupan sesuai dengan kemuliaan manusia, dan yang mana ditambah, jika perlu, oleh cara-cara perlindungan sosial yang lainnya.
  4. Setiap orang berhak menubuh dan menjadi ahli kesatuan sekerja bagi memperlindungi kepentingan-kepentingannya.

Perkara 24

Setiap orang adalah berhak kepada rihat dan masa lapang, termasuk batasan munasabah ke atas masa bekerja dan cuti bergaji yang berkala.

Perkara 25

  1. Setiap orang adalah berhak kepada suatu taraf hidup yang memadai bagi kesihatan dan kebajikan diri dan keluarganya, termasuklah makanan, pakaian, perumahan dan pengawasan perubatan serta perkhidmatan sosial yang perlu, dan berhak kepada perlindungan ketika berlakunya pengangguran, kesakitan, ketidakupayaan, menjadi janda, keuzuran atau kekurangan kehidupan yang lain dalam keadaan di luar kawalannya.
  2. Ibu dan anak adalah berhak kepada jagaan serta bantuan khas. Semua kanak-kanak, sama ada dilahirkan di dalam mahupun di luar nikah, hendaklah menikmati perlindungan sosial yang sama.

Perkara 26

  1. Setiap orang adalah berhak kepada pelajaran. Pelajaran hendaklah diberikan percuma, sekurang-kurangnya pada peringkat awal dan asasnya. Pelajaran peringkat awal hendaklah diwajibkan. Pelajaran teknikal serta professional hendaklah disediakan untuk umum dan pelajaran tinggi hendaklah mempunyai akses yang sama rata kepada semua orang atas dasar kebolehan.
  2. Pelajaran hendaklah ditujukan kepada perkembangan sepenuhnya keperibadian manusia dan ke arah memperkukuhkan lagi rasa hormatnya bagi hak-hak dan kebebasan asasi manusia, ia hendaklah memupuk persefahaman, kesabaran dan persahabatan di kalangan semua negara, bangsa atau kumpulan-kumpulan agama, dan hendaklah memajukan segala kegiatan Bangsa-Bangsa Bersatu demi memelihara keamanan.
  3. Ibu-bapa mempunyai hak terdahulu untuk memilih jenis pelajaran yang akan diberikan kepada anak-anak mereka.

Perkara 27

  1. Setiap orang berhak secara bebas mengambil bahagian dalam kegiatan kebudayaan masyarakatnya, menikmati kesenian dan sama-sama merasi kemajuan sains dan faedah-faedahnya.
  2. Setiap orang adalah berhak kepada perlindungan kepentingan-kepentingan moral dan kebendaan hasil dari sebarang penghasilan sains, kesusasteraan atau kesenian yang mana ia adalah penciptanya.

Perkara 28

Setiap orang adalah berhak kepada suatu susunan sosial dan antarabangsa dalam mana hak-hak asasi dan kebebasan yang termaktubdalam Perisytiharan ini boleh dijadikan kenyataan sepenuhnya.

Perkara 29

  1. Setiap orang mempunyai kewajipan terhadap masyarakat hanya dalam mana perkembangan keperibadiannya secara bebas dan seluruhnya termungkin.
  2. Dalam mengamalkan hak-hak dan kebebasannya, setiap orang tertakluk hanya kepada batasan-batasan seperti yang ditentukan oleh undang-undang semata-mata bagi tujuan menjamin pengiktirafan dan penghormatan yang sepatutnya terhadap hak-hak dan kebebasan orang lain dan untuk mendekati keperluan-keperluan sepatutnya bagi akhlak, ketenteraman awam dan kebajikan umum dalam suatu masyarakat yang demokratik.

Perkara 30 

Tiada apa-apa jua dalam Perisytiharan ini boleh ditafsirkan sebagai sedia tersirat memberikan kepada mana-mana negara, kumpulan atau perseorangan sebarang hak untuk melibatkan diri dalam apa-apa perbuatan dengan tujuan memusnahkan apa-apa hak dan kebebasan yang termaktub dalam perisytiharan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *