IPOH, PERAK – 13 APRIL 2022: Dua orang aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditahan oleh polis pada pagi tadi apabila mereka mempertahan tanah petani di kawasan Chepor Impian, Daerah Kinta, Perak, daripada diceroboh oleh pihak pemaju tanpa sebarang perintah mahkamah.

8 orang petani yang bercucuk tanam di kawasan Chepor Impian, menghadapi pengusiran paksa daripada sebuah syarikat pemaju swasta, Eadepro Development Sdn Bhd. Petani-petani ini telah mengusahakan tanah di situ selama lebih 40 tahun. Aktiviti pertanian merupakan sumber pendapatan utama mereka. Petani-petani ini menghasilkan tanaman seperti ubi keledek, jagung, sayur-sayuran dan pelbagai tanaman kontan lain yang dipasarkan ke pasaran tempatan. Tanah yang diusahakan oleh petani-petani kecil ini pada asalnya ialah tanah kerajaan, tetapi kini ia telah diberikan kepada pemaju swasta.

Pihak pemaju pernah cuba memasuki kawasan pertanian mereka pada 5 April 2022 tetapi dihalang oleh petani-petani di situ pada masa itu. Para petani telah membuat aduan polis mengenai insiden pencerobohan tanah tanpa sebarang perintah mahkamah itu tetapi tiada tindakan yang diambil oleh pihak polis.

Pihak pemaju datang sekali lagi pada hari ini dengan mesin pengorek dan jentolak, serta diiringi oleh polis, untuk menceroboh masuk ke dalam kawasan kebun petani di situ. Aktivis-aktivis PSM berada di situ untuk cuba menghalang pencerobohan masuk ke dalam tanah kebun oleh pihak pemaju swasta yang tidak mempunyai perintah mahkamah ini. Pihak pemaju hendak memusnahkan tanaman yang diusahakan oleh petani-petani di situ. Aktivis-aktivis PSM dan petani-petani meminta supaya diberi sedikit masa lagi untuk berbincang dengan pihak pemaju supaya mendapat penyelesaian. Pihak polis pada awalnya bersetuju untuk memberikan masa satu hari lagi, tetapi tiba-tiba bertukar pendirian dan hanya memberikan masa setengah jam sebelum membenarkan pihak pemaju masuk untuk memusnahkan tanaman petani di situ. Pihak polis juga bertindak keras dengan menahan 2 orang aktivis PSM.

2 orang aktivis PSM yang ditahan itu, Agastim a/l Maria Soosai (Pengerusi PSM Cawangan Sungai Siput) dan Kesavan a/l Vijayan (ahli Pemuda Sosialis PSM), telah dibawa Ibupejabat Polis Daerah Ipoh. Mereka ditangkap di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan (berkaitan dengan “menggalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya”) dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan (berkaitan dengan “hukuman bagi pencerobohan jenayah”).

A. Sivarajan, Setiausaha Agung PSM, berkata dalam kenyataan medianya berikutan penangkapan 2 orang aktivis PSM, “Pencerobohan tanah pada hari ini telah dilakukan tanpa sebarang perintah mahkamah! Namun, polis telah membantu dalam pencerobohan tanah yang haram ini dengan menangkap dua orang ahli PSM yang hanya mempersoalkan tindakan pemaju dan polis.”

“Ini sama sekali bercanggah dengan kenyataan Ketua Polis Perak Dato’ Pahlawan Mior Faridalathrash Bin Wahid yang menafikan bahawa pihak polis membantu agensi kerajaan dalam cubaan menceroboh ke dalam tanah petani di Kanthan. Peristiwa pada pagi ini di Chepor Impian menunjukkan yang sebaliknya, kerana polis menangkap aktivis PSM yang mempertahankan tanah petani daripada dimusnahkan oleh kerja-kerja pembersihan tanah pertanian di situ,” kata Sivarajan.

“Baru seminggu lalu, seorang lagi petani dari kawasan Kanthan ditangkap kerana mempertahankan tanah kebunnya dan mempersoalkan tindakan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang tidak menghormati mahkamah. Mahkamah telah jelas memberikan arahan kepada peguam PKNP bahawa tiada agensi kerajaan atau ejennya boleh masuk ke dalam tanah pertanian Kanthan sehingga pertikaian itu didengar dalam mahkamah,” tambah Sivarajan.

PSM mengecam penyalahgunaan kuasa polis terhadap petani-petani di Perak yang berlaku dalam beberapa minggu ini. PSM juga mengecam tindakan angkuh polis Perak yang bersekongkol dengan pihak pemaju dan agensi kerajaan negeri Perak untuk mengusir petani-petani.

PSM menuntut pada pihak polis supaya membebaskan Agastim dan Kesavan dengan serta-merta, sementara harus mengelakkan diri daripada membantu pemaju swasta dan agensi kerajaan dalam melakukan pengusiran paksa secara haram ke atas petani-petani dan mematuhi proses undang-undang dalam mahkamah.

PSM juga menggesa untuk menghentikan pengusiran paksa terhadap petani-petani kecil yang mengeluarkan makanan. Adalah tidak masuk akal untuk mengusir keluar petani-petani kecil tanpa tawaran tanah gantian pada ketika negara kita sedang menghadapi masalah peningkatan kos makanan harian.

**********

(KEMASKINI 5.45 PM, 13 APRIL 2022)

6 orang lagi ditahan polis pada jam lebih kurang 5.30 pm tadi di Ibupejabat Polis Daerah Ipoh selepas mereka membuat aduan polis di situ. Mereka yang ditahan termasuk 4 orang petani di Chepor Impian dan 2 orang ahli PSM. Mereka ditahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan (berkaitan dengan “hukuman bagi pencerobohan jenayah”) dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan (berkaitan dengan “menggalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya”). Mereka yang ditahan ialah:

  • Liew Kook Soon (petani Chepor Impian)
  • Liew Yu Lim(petani Chepor Impian)
  • Liew Yu Ming (petani Chepor Impian)
  • Liew Yu Tsong (petani Chepor Impian)
  • Nagenteran a/l Sandrasigran (aktivis PSM)
  • Kavitha a/p Munisamy (aktivis PSM)

Ditambah dengan 2 orang aktivis PSM, Agastim a/l Maria Soosai dan Kesavan a/l Vijayan, yang ditahan pagi tadi, sebanyak 8 orang telah ditahan kerana cuba menghalang pemaju swasta daripada menceroboh tanah kebun petani kecil di kawasan Chepor Impian tanpa sebarang perintah mahkamah.

8 thoughts on “8 orang ditangkap kerana pertahankan tanah petani Chepor Impian

  1. dinegara ini Krjn harus bagi keutamaan bagi petani ,itu adalah sumbar makanan utk rakyat ,adakah krjn bagi tempat ganti , mereka bukan tanam pokok ganja sambil tahan mereka , ini satu yg tidak Adil utk petani penternak dinegara ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *