Sosialis

100 tahun Parti Komunis China

Parti Komunis China menyambut ulangtahun ke-100 penubuhannya pada bulan Julai 2021. 100 tahun dahulu, sebuah organisasi politik yang hanya dianggotai lebih kurang 50 orang ketika penubuhannya dengan hanya 13 orang menyertai Kongres Pertama Parti Komunis China di Shanghai, kini telah menjadi satu-satunya parti pemerintah di negara China sejak tahun 1949. Pada tahun 2021, jumlah keanggotaan Parti Komunis China telah mencecah lebih 95 juta orang, satu angka yang lebih besar berbanding jumlah penduduk di negara seperti Jerman atau Mesir, menjadikannya parti politik yang terbesar di dunia.

Dalam suasana dunia hari ini dengan imbangan kuasa baharu yang muncul di arena antarabangsa, pertembungan geo-politik China-Amerika Syarikat yang semakin meruncing, tambahan pula dengan kekompleksan keadaan politik-ekonomi di negara China, pandangan mengenai Parti Komunis China biasanya akan diselaputi dengan prejudis ataupun persepsi yang berasaskan pendirian politik yang telah diambil terlebih dahulu, sama ada menyokong atau melawan pemerintahan Parti Komunis China, sama ada pro-China atau anti-China. Sudah pastinya penyokong-penyokong Parti Komunis China akan mengagung-agungkan pencapaian Parti Komunis China yang dikatakan mengembalikan kegemilangan negara China, membebaskan China daripada kekuasaan imperialis dan mengeluarkan lebih 750 juta orang daripada kemiskinan dalam tempoh empat dekad lalu. Sementara itu, golongan pendukung imperialis Barat yang enggan mengiktiraf bahawa negara-negara Dunia Ketiga mampu berdikari dan membangunkan alternatif sendiri pula akan terus memburuk-burukkan apa sahaja yang berlaku di negara China, dengan niat menghancurkan sebuah negara yang mampu menggugat kekuasaan imperialis. Pandangan yang binari ini biasanya terlepas pandang atau dengan sengajanya menafikan kekompleksan proses perjuangan pembebasan masyarakat di China.

Dalam gerakan kiri di peringkat antarabangsa hari ini juga, terdapatnya perbezaan pendapat yang ketara terhadap negara China dan sifat pemerintahan Parti Komunis China. Sama ada China itu sosialis atau tidak, masih sesuatu yang dibahaskan. (Rencana ini tidak berhasrat untuk memberi kesimpulan kepada persoalan ini, tetapi hanya akan menyampaikan secara ringkas sejarah penubuhan Parti Komunis China dan proses perjuangan revolusioner di negara China sepanjang satu abad yang lalu.)

Kenapa Parti Komunis China menyambut Hari Penubuhan Parti pada 1 Julai?

Parti Komunis China menyambut hari penubuhan parti itu secara rasminya pada 1 Julai setiap tahun. Namun, 1 Julai bukannya tarikh sebenar penubuhan Parti Komunis China ataupun tarikh Kongres Pertama Parti Komunis China. Menyambut Hari Penubuhan Parti Komunis China pada 1 Julai merupakan satu kesilapan yang disedari tetapi telah dijadikan tradisi yang diteruskan sehingga hari ini oleh Parti Komunis China sendiri.

Mengikut kajian sejarah, sudah diketahui pada hari ini bahawa Kongres Nasional Pertama Parti Komunis China, iaitu mesyuarat yang menandakan penubuhan parti itu, mula diadakan pada 23 Julai 1923 di Shanghai, berlarutan beberapa hari dan berakhir di atas sebuah kapal yang terapung di Tasik Selatan, di bandar Jiaxing yang terletak lebih kurang 100 km dari Shanghai. Tetapi kenapa pula 1 Julai dijadikan Hari Penubuhan Parti Komunis China yang rasmi?

Pada zaman awal penubuhan Parti Komunis China, organisasi parti itu menghadapi pelbagai cabaran hebat dan mempunyai tugas-tugas yang jauh lebih penting daripada memperingati hari penubuhannya, termasuk pemberontakan bersenjata berikutan gerakan pekerja China yang hebat dihancurkan oleh pemerintahan kuku besi diktator Chiang Kai-shek pada pertengahan tahun 1920-an. Pada bulan Mei 1938, iaitu selepas 17 tahun penubuhan Parti Komunis China, ketika Parti Komunis China sudah berundur ke Yan’an di wilayah Shaanxi berikutan “Perarakan Panjang” dan sedang berdamai dengan Kuomintang untuk menghadapi ancaman Jepun, pemimpin Parti Komunis China pada masa itu, Mao Zedong, baru teringat bahawa patut menyambut hari bermakna itu kerana Parti Komunis China sudah berkembang semakin besar dan perlunya aktiviti sambutan untuk meningkatkan semangat ahli parti.  Namun, oleh sebab Kongres Pertama Parti Komunis China diadakan dalam keadaan yang penuh rahsia, maka tiadanya rekod yang disimpan oleh organisasi Parti Komunis China di Yan’an. Lebih-lebih lagi, Mao Zedong sendiri pun tidak ingat tentang tarikh sebenar Kongres Pertama, malah Mao Zedong sendiri tidak hadir ke Kongres Kedua pada tahun berikutnya di Shanghai kerana dia terlupa tempat mesyuarat yang ditetapkan dan gagal berhubung dengan mana-mana ahli parti yang lain pada masa itu!

Mao Zedong cuba mengesahkan tarikh Kongres Pertama dengan Dong Biwu, salah seorang perwakilan yang juga menghadiri Kongres Pertama dan berada di Yan’an pada masa itu juga. Namun, Dong Biwu juga tidak dapat mengingati tarikh itu. Dalam ingatan mereka berdua, mesyuarat itu diadakan semasa musim panas yang bersuhu amat panas. Oleh yang demikian, mereka mengambil keputusan untuk menetapkan hari pertama bulan Julai sebagai hari peringatan penubuhan Parti Komunis China. Sejak itu, Parti Komunis China menyambut hari penubuhannya secara rasmi pada 1 Julai setiap tahun.

Tarikh sebenar Kongres Nasional Pertama Parti Komunis China hanya disahkan pada tahun 1958 dalam dokumen arkib Comintern yang diserahkan oleh pihak Kesatuan Soviet setahun sebelum itu, dan pengetahuan mengenai tarikh sebenar penubuhan Parti Komunis China ini diketahui umum mulai tahun 1981. Hu Qiaomu, anggota Sekretariat Parti Komunis China pada awal tahun 1980-an, pernah mencadangkan kepada kepimpinan Parti Komunis China untuk mengubah tarikh sambutan Hari Penubuhan Parti kepada 23 Julai, tetapi ditolak oleh kepimpinan tinggi Parti Komunis China yang meneruskan “kesilapan” itu sehingga hari ini.

Parti Komunis China lahir daripada perjuangan anti-imperialis yang hebat

Kuasa imperialis Barat mula bermaharajalela di negara China dan menjarah kekayaan negara itu pada abad ke-19. Peristiwa-peristiwa seperti Perang Candu dan penandatanganan perjanjian-perjanjian tidak adil yang menghakis kedaulatan negara China, telah melemahkan pengaruh pemerintahan Kerajaan Dinasti Qing yang berasal dari Manchuria; sementara penyebaran pemikiran Barat moden telah melahirkan golongan intelek baharu yang berkesedaran nasionalis dan hendak mencari jalan untuk pembebasan bangsa China daripada cengkaman kekuasaan imperialis Barat.

Sistem pemerintahan pemusatan kuasa birokratik yang dibentuk oleh Maharaja, bangsawan, birokrat dan tuan tanah kaya di China akhirnya mengalami keruntuhan dalam keadaan yang huru-hara dan kebangkitan massa. Revolusi Xinhai yang tercetus pada tahun 1911, merupakan sebuah revolusi borjuis-nasional yang diterajui oleh kelas borjuasi nasional yang baharu pada masa itu dan menjatuhkan pemerintahan Kerajaan Dinasti Qing yang penuh dengan kepincangan. Namun, matlamat revolusi borjuis-nasional itu masih tidak dapat tercapai sepenuhnya selepas kejatuhan Kerajaan Qing.

Walaupun sistem pemerintahan raja mutlak dihapuskan dalam Revolusi Xinhai pada tahun 1911, tetapi seluruh masyarakat China pada masa itu masih berada dalam keadaan semi-kolonial dan semi-feudal. Ancaman reaksioner amat hebat. Kerajaan Sementara Republik China yang ditubuhkan berikutan Revolusi Xinhai tidak mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk mengimbangi kekuasaan golongan panglima perang Beiyang. Sun Yat-sen yang mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik China pada 1 Januari 1912, hanya memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan itu untuk tempoh 3 bulan, dan digantikan oleh Yuan Shikai, seorang panglima perang Beiyang yang merupakan bekas pegawai tinggi Kerajaan Dinasti Qing. Yuan Shikai kemudiannya memulihkan sistem monarki dengan mengangkat dirinya sebagai Maharaja China pada tahun 1915, tetapi terpaksa berundur dari takhtanya selepas 102 hari kerana penentangan yang hebat daripada masyarakat China, termasuk tercetusnya pemberontakan bersenjata. Selepas Yuan Shikai meninggal dunia pada tahun 1916, kerajaan pusat China masih dikuasai oleh sistem panglima tentera Beiyang. Namun begitu, tiadanya satu puak panglima tentera yang mempunyai kekuasaan yang mencukupi untuk menguasai seluruh pemerintahan Kerajaan Beiyang, maka menyebabkan negara China terjerumus dalam keadaan yang berpecah-belah dan peperangan yang tidak kehabis-habisan. Rakyat China hidup dalam keadaan yang sengsara semasa zaman pemerintahan Kerajaan Beiyang (1912-1928).

Perhimpunan pelajar di Tiananmen, Beijing, pada 4 Mei 1919.

Pada tahun 1919, “Persoalan Shandong” (iaitu isu pemulangan wilayah konsesi Jerman di Shandong yang diambilalih oleh Jepun semasa Perang Dunia I) yang timbul dalam Persidangan Damai Paris, mencetuskan gelombang protes anti-imperialis yang hebat di negara China. Gelombang kebangkitan rakyat yang diterajui oleh pelajar-pelajar China ini dikenali sebagai “Gerakan 4 Mei”, dengan ribuan pelajar beraksi di jalanan bandar Beijing pada 4 Mei 1919, dan kemudiannya menular ke seluruh negara China. Gerakan 4 Mei merupakan titik tolak penting dalam kebangkitan kesedaran nasionalis dan anti-imperialis di China, dengan gerakan perjuangan pembebasan bangsa China beralih daripada aktiviti kebudayaan yang diterajui oleh golongan intelek kepada mobilisasi politik yang mempunyai asas massa yang lebih meluas. Gerakan 4 Mei juga menjadi asas kepada kelahiran Parti Komunis China dua tahun kemudian.

Pencetusan Gerakan 4 Mei dan perluasan Gerakan Budaya Baharu, membolehkan semakin banyak pemikiran baharu diperkenalkan di negara China, termasuklah pemikiran Marxis yang semakin tersebar dalam kalangan golongan intelek China. Tambahan pula dengan kejayaan Revolusi Oktober di Rusia pada tahun 1917, pemikiran sosialis semakin mendapat perhatian dalam kalangan golongan intelek China. Antara golongan intelek yang terkenal pada masa itu, seperti Chen Duxiu (1879-1942) dan Li Dazhao (1889-1927), berpandangan bahawa komunisme ialah jalan keluar untuk negara China daripada kemelut di bawah susunan masyarakat lama. Kumpulan-kumpulan mengkaji pemikiran komunis mula ditubuhkan di merata tempat selepas Gerakan 4 Mei.

Chen Duxiu (1879-1942), pengasas dan Setiausaha Agung Parti Komunis China yang pertama.
Li Dazhao (1889-1927), tokoh Marxis terawal di China dan pengasas Parti Komunis China.

Li Dazhao merupakan profesor di Universiti Peking dan juga Ketua Perpustakaan Universiti Peking pada masa itu. Li Dazhao ialah orang yang paling awal memperkenalkan pemikiran Marxis di China. Beliau telah mempengaruhi banyak pelajarnya, termasuk Mao Zedong yang bekerja sebagai pembantu di Perpustakaan Universiti Peking pada masa itu. Chen Duxiu pula ialah seorang tokoh pemikir yang penting dalam Gerakan Budaya Baharu di China. Beliau mula menerbitkan majalah “Belia Baharu” (La Jeunesse) pada tahun 1915, yang menjadi wadah kepada penyebaran idea-idea progresif dan kesedaran pembebasan nasional. Chen Duxiu merupakan profesor dan Dekan Fakulti Kesusasteraan di Universiti Peking semasa tercetusnya Gerakan 4 Mei, tetapi dipaksa untuk meletak jawatan oleh puak konservatif di dalam universiti. Li Dazhao dan Chen Duxiu, boleh dikatakan sebagai pengasas bersama Parti Komunis China, tetapi kedua-dua orang ini tidak hadir dalam Kongres Pertama Parti Komunis China.

Penubuhan Parti Komunis China

Pada bulan Mac 1920, di bawah bimbingan Li Dazhao, pemimpin pelajar Universiti Peking yang aktif dalam Gerakan 4 Mei seperti Deng Zhongxia (1894-1933) dan Gao Junyu (1894-1925) menubuhkan Persatuan Penyelidikan Pemikiran Marx Universiti Peking. Pada masa itu juga, gerakan pekerja mula berkembang di negara China. Mulai bulan April 1920, Deng Zhongxia mula melibatkan diri dalam usaha mengorganisasi gerakan pekerja di kawasan Changxindian, Beijing, dengan menganjurkan sekolah pekerja dan menubuhkan kesatuan sekerja, membantu dalam membina kekuatan gerakan pekerja di Utara China pada masa itu. (Deng Zhongxia ditangkap dan dibunuh oleh Kerajaan Kuomintang pada tahun 1933.)

Internasional Ketiga (atau juga dikenali sebagai Comintern) yang ditubuhkan selepas Revolusi Rusia, menghantar wakilnya, Grigori Voitinsky, ke negara China pada bulan April 1920. Voitinsky berhubung dengan Li Dazhao di Beijing, dan Li Dazhao kemudiannya memperkenalkan kepadanya Chen Duxiu yang berada di Shanghai pada masa itu. Chen Duxiu menerima cadangan daripada Voitinsky untuk menubuhkan “Parti Komunis China” di Shanghai (dikenali kemudian sebagai “Kumpulan Komunis Shanghai”) pada bulan Ogos 1920, bersama-sama dengan Li Hanjun (1890-1927), Chen Daowang (1891-1977), Li Da (1890-1966), Yu Xiusong (1899-1939) dan beberapa orang yang lain. Chen Duxiu dipilih sebagai setiausaha kepada organisasi komunis di Shanghai ini. Pada bulan Oktober 1920, anggota Persatuan Penyelidikan Pemikiran Marx Universiti Peking menubuhkan organisasi komunis Beijing dan Li Dazhao dipilih sebagai setiausaha. Selain itu, organisasi komunis juga ditubuhkan di bandar-bandar seperti Hankou, Changsha, Jinan dan Guangzhou, malah pelajar-pelajar China di luar negara seperti di Tokyo dan Paris juga menubuhkan organisasi komunis sendiri.

Pada bulan Jun 1921, Henk Sneevliet (1833-1942), seorang komunis Belanda yang merupakan wakil Comintern, sampai di Shanghai. Sneevliet mecadangkan organisasi-organisasi komunis yang berselerak di seluruh negara China untuk mengadakan Kongres Perwakilan Nasional di Shanghai. Kumpulan Komunis Shanghai yang diketuai oleh Li Da pada masa itu mengambil tanggungjawab untuk menganjurkan Kongres tersebut, dan mengeluarkan jemputan kepada organisasi-organisasi komunis yang lain. Setiap organisasi komunis diminta untuk menghantar dua orang wakil ke Kongres Nasional Pertama Parti Komunis China.

Pada masa itu, jumlah keanggotaan organisasi komunis di beberapa buah bandar China hanya sebanyak 57 orang. Antaranya, 13 orang telah dilantik sebagai wakil untuk menghadiri Kongres Nasional Pertama Parti Komunis China. 13 orang itu ialah:

Selain itu, Kongres Pertama Parti Komunis China juga dihadiri oleh Henk Sneevliet selaku wakil Comintern dan Nikolski selaku wakil Sekretariat Biro Timur Jauh Comintern. Dua orang tokoh sosialis yang penting pada masa itu yang merupakan pengasas Parti Komunis China, Chen Duxiu dan Li Dazhou, tidak dapat hadir kerana adanya sebab masing-masing. Walaupun tidak hadir, Chen Duxiu masih dipilih sebagai Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China yang pertama.

Kongres Pertama Parti Komunis China mula diadakan pada 23 Julai 1921 di rumah kediaman abang Li Hanjun yang terletak di dalam kawasan konsesi Perancis di Shanghai. Mesyuarat ini telah berlangsung secara rahsia dari 23 Julai hingga 30 Julai 1921. Namun, sebelum mesyuarat habis, tempat mesyuarat tersebut telah terdedah kepada pengetahuan polis kawasan konsesi Perancis. Untuk mengelak daripada penyerbuan dan penangkapan polis, tempat mesyuarat berpindah ke atas sebuah kapal di Tasik Selatan Jiaxing di wilayah Zhejiang pada 2 Ogos 1921, hari terakhir Kongres Pertama.

Lukisan yang memaparkan Kongres Pertama Parti Komunis China berpindah ke atas sebuah kapal di Jiaxing.

Kongres Pertama Parti Komunis China memutuskan untuk membentuk Biro Pusat yang terdiri daripada Chen Duxiu, Zhang Guotao dan Li Da, sebagai badan kepimpinan utama parti.

Parti Komunis China merupakan produk kebangkitan kesedaran pembebasan nasional rakyat China dan perjuangan massa dalam usaha menentang imperialisme, membebaskan masyarakat daripada feudalisme, melawan kolonialisme, menghapuskan penindasan kelas dan mewujudkan sebuah masyarakat yang adil. Parti Komunis China lahir dalam gelombang revolusi yang hebat dan mempengaruhi trajektori sejarah China dalam tempoh masa satu abad selepasnya…

Zaman awal Parti Komunis China dan Revolusi China tahun 1920-an

Sejurus selepas penubuhannya, Parti Komunis China menubuhkan organisasi perjuangan pekerja di Shanghai pada bulan Ogos 1921, dan kemudiannya memperluaskan organisasi pekerja di bandar-bandar utama seperti Beijing, Wuhan, Changsha, Guangzhou dan Jinan, untuk melancarkan aksi-aksi mogok demi menuntut hak pekerja. Organisasi pekerja yang digerakkan oleh Parti Komunis China menganjurkan Kongres Buruh Nasional yang Pertama di Guangzhou pada 1 Mei 1922. Deng Zhongxia dipilih sebagai Setiausaha kepada Badan Sekretariat Kesatuan Buruh China. Dalam Kongres Buruh Nasional yang Kedua yang diadakan pada 1 Mei 1925 di Guangzhou, Persekutuan Kesatuan Sekerja Seluruh China (ACFTU) ditubuhkan.

Deng Zhongxia (1894-1933), pemimpin Parti Komunis China yang memainkan peranan penting dalam mengorganisasi gerakan pekerja China pada tahun 1920-an.

Kongres Nasional Kedua Parti Komunis China diadakan pada 16-23 Julai 1922 di Shanghai. Anggota Parti Komunis China telah bertambah kepada 195 orang pada masa itu. Kongres memilih Jawatankuasa Pusat yang terdiri daripada Chen Duxiu, Zhang Guotao, Cai Hesen, Gao Junyu dan Deng Zhongxia. Antara usul yang diluluskan dalam Kongres Kedua Parti Komunis China ialah keputusan untuk menyertai Comintern, penggubalan program parti, dan penerimaan Perlembagaan Parti Komunis China. Kongres Kedua ini mengemukakan “program maksimum” Parti Komunis China, iaitu:

“Parti Komunis China ialah parti kelas proletariat China. Matlamatnya ialah mengorganisasi pemerintahan kelas proletariat, menggunakan kaedah perjuangan kelas, untuk membina pemerintahan buruh dan petani, menghapuskan sistem pemilikan swasta, secara beransur-ansur mencapai sebuah masyarakat komunis.”

Program Parti Komunis China yang diterima dalam Kongres Keduanya juga mengemukakan “program minimum”, iaitu matlamat perjuangan dan tugas-tugas asas revolusi pada peringkat revolusi demokratik:

“Membasmi keadaan huru-hara di dalam negara, menjatuhkan panglima-panglima perang, membina kedamaian dalam negara; menumpaskan penindasan imperialis antarabangsa, mencapai kemerdekaan sepenuh bangsa Tionghua; menyatukan China menjadi republik demokratik yang sebenar.”

Comintern yang diterajui oleh Parti Komunis Rusia (Bolshevik) memainkan peranan penting dalam mempengaruhi hala tuju perjuangan Parti Komunis China pada peringkat awal penubuhannya. Pertembungan dalaman Parti Komunis Rusia (Bolshevik) pada tahun 1920-an dan kemunculan Stalinisme di Rusia, menyebabkan negara pekerja yang lahir daripada Revolusi Rusia 1917 dan parti revolusioner di Rusia itu mengalami perubahan dari segi dasar politik dan sifat revolusionernya. Ini turut mempengaruhi hala tuju revolusi di China. Pendekatan Comintern menyifatkan Revolusi China pada masa itu seharusnya “Revolusi Borjuis”, menjadi satu dogma yang mengongkong perjuangan revolusioner kelas pekerja China pada tahun 1920-an.

Comintern mula mengarahkan anggota-anggota Parti Komunis China untuk menyertai Parti Nasional China (atau lebih dikenali sebagai Kuomintang) pada tahun 1922. Pada bulan Januari 1923, Sun Yat-sen dan Adolph Joffe (diplomat Kesatuan Soviet ke China) mengemukakan persetujuan bersama di Shanghai, menyatakan bahawa kedua-dua Kesatuan Soviet dan Kuomintang berhasrat untuk mencapai penyatuan negara China, selain menegaskan bahawa komunisme dan sistem soviet tidak sesuai dengan China pada masa itu. Persetujuan bersama antara Sun Yat-sen dan Joffe ini membuka jalan kepada pembentukan “Barisan Bersatu Pertama” antara Kuomintang dan Parti Komunis China. Kuomintang mendapat sokongan besar daripada Kesatuan Soviet. Mikhail Borodin dihantar ke Guangzhou pada bulan Oktober 1923 sebagai perwakilan Comintern di China dan menjadi penasihat kepada Kerajaan Kuomintang yang berpusat di Guangzhou pada masa itu. Perwakilan Comintern telah ditugaskan untuk membantu Kuomintang menjalankan pembaharuan organisasinya mengikut model Parti Bolshevik.

Berikutan perkembangan kerjasama rapat Kesatuan Soviet dengan Kuomintang, dalam Kongres Nasional Ketiga Parti Komunis China yang diadakan di Guangzhou pada 12-20 Jun 1923, diputuskan bahawa Parti Komunis China akan bekerjasama dengan Kuomintang; semua ahli Parti Komunis China diarahkan untuk menyertai Kuomintang atas kapasiti persendirian, pada masa yang sama mengekalkan kebebasan Parti Komunis China, untuk membentuk “Barisan Bersatu Revolusioner” dengan Kuomintang.

Kerjasama Kuomintang-Komunis yang dikenali sebagai “Barisan Bersatu Pertama” ini membolehkan Kuomintang mendapat sokongan besar daripada pekerja-pekerja dan petani-petani China, yang membantu Kerajaan Kuomintang mencapai kemenangan besar dalam Ekspedisi Utara untuk menewaskan Kerajaan Beiyang pada tahun 1926-27.

Pada tahun 1925-27, tercetusnya gelombang revolusi yang hebat di China. Namun, potensi gelombang revolusi yang hebat itu telah dibazirkan oleh dasar Kerjasama Kuomintang-Komunis yang diarahkan oleh Comintern, malah meragut nyawa ramai pemimpin revolusioner.

Mogok Canton-Hong Kong yang tercetus pada bulan Jun 1925 berlarutan selama 1 tahun 4 bulan.

Pada 30 Mei 1925, berlakunya peristiwa polis di kawasan konsesi British di Shanghai melepaskan tembakan ke atas pelajar-pelajar dan pekerja-pekerja yang berprotes, sehingga mencetuskan “Gerakan 30 Mei”, satu lagi gelombang protes anti-imperialis yang hebat. Pada bulan Jun 1925 hingga bulan Oktober 1926, tercetusnya aksi mogok pekerja yang berpanjangan di Hong Kong dan Guangzhou. Perjuangan kelas pekerja China mencecah kemuncak pada masa itu. Pada 18 Mac 1926, Kerajaan Beiyang menggunakan keganasan untuk mematahkan secara kejam gerakan protes anti-imperialis dan anti-panglima perang di Beijing. Li Dazhao, pengasas Parti Komunis China yang berada di Beijing pada masa itu, telah menjadi sasaran utama untuk diburu oleh Kerajaan Beiyang. Selepas “Barisan Bersatu Pertama” berpecah pada bulan April 1927, golongan panglima Beiyang menyerbu Kedutaan Kesatuan Soviet di Beijing di mana Li Dazhao mendapat perlindungan. Li Dazhou ditangkap dan kemudiannya dibunuh oleh Kerajaan Beiyang pada 28 April 1927.

Kerajaan Kuomintang di Selatan China melancarkan “Ekspedisi Utara” (1926-1928) untuk menentang Kerajaan Beiyang dan menyatukan negara China. Parti Komunis China menggunakan kesempatan Ekspedisi Utara untuk mengorganisasi kesatuan petani dan memperluaskan gerakan buruh-petani. Perkembangan pesat gerakan pekerja dan petani semasa Revolusi China tahun 1925-1927, bukan sahaja menggugat kuasa-kuasa lama yang terdiri daripada golongan imperialis dan kelas kapitalis komprador, malah kelas borjuasi China yang baru berkembang pada masa itu juga tidak senang hati dengannya. Selepas Sun Yat-sen meninggal dunia pada tahun 1925, pemimpin berhaluan kanan dalam Kuomintang, Chiang Kai-shek, semakin berkuasa dan mula melakukan penindasan terhadap ahli-ahli parti komunis serta organisasi-organisasi buruh-petani, walaupun Parti Komunis China menyokong sepenuhnya Ekspedisi Utara yang dipimpin oleh Chiang Kai-shek.

Pada 21 Mac 1927, pekerja-pekerja Shanghai melancarkan pemberontakan bersenjata dan menewaskan tentera Beiyang di situ sebelum tentera Kuomintang sampai. Chiang Kai-shek bukan sahaja tidak berterima kasih kepada sumbangan pekerja-pekerja Shanghai kepada Ekspedisi Utara, sebaliknya dia melancarkan operasi pembersihan terhadap ahli-ahli parti komunis di Shanghai pada 12 April 1927. Dalam tempoh 3 hari sahaja, lebih 300 orang dibunuh di Shanghai, lebih 500 orang ditangkap, sementara lebih 5,000 orang hilang. Chiang Kai-shek menubuhkan Kerajaan Nasional di Nanjing pada 18 April 1927. Sementara itu, golongan berhaluan kiri dalam Kuomintang menubuhkan satu lagi Kerajaan Nasional di Wuhan, namun berdamai semula dengan golongan berhaluan kanan beberapa bulan kemudian, dan turut menyingkirkan ahli-ahli parti komunis daripada Kerajaan Nasional di Wuhan.

Lukisan mengenai Pemberontakan Nanchang pada 1 Ogos 1927.

Pada 1 Ogos 1927, Zhou Enlai (1898-1976), ahli Parti Komunis China yang pulang dari Perancis, bersama dengan Zhu De (1886-1976), He Long (1896-1969), Ye Ting (1896-1946) dan penyokong-penyokong revolusi yang lain melancarkan pemberontakan bersenjata di Nanchang, menandakan permulaan perjalanan Parti Komunis China memenangi kuasa melalui perjuangan bersenjata.

Perjuangan revolusi bersenjata berasaskan kawasan luar bandar

Pada 7 Ogos 1927, Parti Komunis China mengadakan satu mesyuarat tergempar di Wuhan. Dalam mesyuarat tersebut, Parti Komunis China memutuskan untuk berpecah dengan Kuomintang, menetapkan hala tuju perjuangan revolusi tanah dan menentang Kuomintang dengan pemberontakan bersenjata. Chen Duxiu, pengasas dan Setiausaha Agung pertama Parti Komunis China, telah disingkirkan daripada Jawatankuasa Pusat pada masa itu kerana tidak bersetuju dengan dasar Comintern dan dilarang oleh wakil Comintern untuk menyertai mesyuarat parti pada 7 Ogos 1927. Qu Qiubai (1899-1935) dilantik kepada pemimpin tertinggi Parti Komunis China dalam mesyuarat itu. Mao Zedong juga mengemukakan pandangannya yang terkenal, “kuasa pemerintahan lahir daripada laras senapang”, dalam mesyuarat itu.

Kegagalan Revolusi China pada tahun 1927, memberi pukulan yang hebat kepada gerakan pekerja China dan melemahkan kekuatan Parti Komunis China di kawasan bandar. Pergolakan pada masa itu menjadi pemangkin kepada perubahan strategi Parti Komunis China, beralih daripada menyusun gerakan pekerja di kawasan bandar untuk revolusi proletariat kepada pendekatan merampas kuasa melalui perjuangan bersenjata yang berasaskan sokongan massa di kawasan luar bandar.

Mao Zedong melancarkan pemberontakan di wilayah Hunan pada bulan September 1927, tetapi menemui kegagalan. Mao Zedong bersama-sama dengan golongan komunis yang masih tinggal itu melarikan diri ke kawasan Pergunungan Jinggang dan mendirikan pangkalan tentera pemberontak di situ. Selain itu, ahli-ahli Parti Komunis China seperti Zhang Tailei (1898-1927), Ye Ting (1896-1946) dan Ye Jianying (1897-1986) melancarkan pemberontakan di bandar Guangzhou pada 11 Disember 1927. Pemberontak di Guangzhou menubuhkan “Kerajaan Soviet Guangzhou” (juga dikenali sebagai “Komun Guangzhou”); namun Komun Guangzhou yang mendapat ilham daripada Komun Paris 1871 ini hanya bertahan selama dua hari sahaja sebelum dipatahkan secara ganas oleh Kerajaan Kuomintang, dengan lebih 5,000 orang ahli Parti Komunis China terbunuh, termasuk Zhang Tailei.

Pemberontakan Guangzhou 1927

Dengan bertapak di kawasan luar bandar, Parti Komunis China menjalankan Perang Revolusi Tanah yang berlarutan selama 10 tahun (1927-1937), untuk melawan pemerintahan Kuomintang di bawah kepimpinan diktator Chiang Kai-shek. Semasa zaman Perang Revolusi Tanah yang juga dikenali sebagai Perang Saudara Nasionalis-Komunis yang Pertama, Parti Komunis China yang mendapat sokongan daripada golongan petani berjaya membina semula organisasinya. Parti Komunis China melaksanakan langkah-langkah seperti reformasi tanah (iaitu mengambilalih tanah milik tuan tanah besar dan mengagihkannya semula kepada golongan petani) di kawasan yang dikuasainya. Kedudukan kepimpinan Mao Zedong dalam Parti Komunis China telah diwujudkan dan semakin kukuh dalam tempoh masa ini. Pada masa itu jugalah, secara tidak sengaja, Parti Komunis China mengambil jalan yang lebih kurang sama dengan Kuomintang, iaitu berusaha untuk menyatukan negara China melalui cara menggabungkan jentera parti, kerajaan negara dan tentera. Berbeza dengan Kuomintang, Parti Komunis China mengambil strategi “mengepung bandar dengan desa”. Pembirokrasian organisasi juga mula wujud dalam Parti Komunis China ketika zaman peperangan. Walaupun wujudnya pembirokrasian dalam organisasi Parti Komunis China, tetapi organisasi yang birokratik ini masih melaksanakan fungsi revolusi, di samping memperkukuhkan hubungannya dengan massa rakyat, sehingga membolehkannya menewaskan musuh yang jauh lebih kuat.

Pada 7 November 1931, Parti Komunis China menubuhkan “Republik Soviet China” di Ruijin, wilayah Jiangxi. Namun, oleh sebab menghadapi serangan hebat daripada tentera Kuomintang, kerajaan Republik Soviet China yang berpusat di Ruijin mengalami kesukaran untuk bertahan. Parti Komunis China memulakan “Perarakan Panjang” (Long March) pada bulan Oktober 1934 dan berlarutan selama 2 tahun, untuk mengundurkan pasukan utama Tentera Merah Buruh-Petani dari wilayah Jiangxi di Selatan China ke wilayah Shaanxi di Utara China. Semasa proses Perarakan Panjang, apabila pasukan utama tentera Parti Komunis China tiba di Zunyi, wilayah Sichuan, Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China mengadakan satu mesyuarat, di mana kepimpinan tertinggi parti yang dipegang oleh “Kumpulan Tiga Orang” pada masa itu – yang terdiri daripada Bo Gu (Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat pada masa itu), Otto Braun (penasihat ketenteraan yang dihantar oleh Comintern) dan Zhou Enlai (Ahli Jawatankuasa Ketenteraan Pusat) – digantikan dengan kepimpinan tertinggi baharu yang terdiri daripada Zhou Enlai, Mao Zedong dan Wang Jiaxiang. Selepas Persidangan Junyi, penampilan Mao Zedong sebagai kepimpinan tertinggi Parti Komunis China semakin menonjol dan diperkukuhkan lagi.

Zhou Enlai (kiri), Mao Zedong (kiri tengah) dan Bo Gu (kanan) semasa di Yan’an.

Kuasa imperialis Jepun yang didorong oleh fahaman pelampau kanan mula merebut wilayah di Timur Laut China pada tahun 1931. Tindakan ini mencetuskan sentimen nasionalis yang hebat dalam kalangan rakyat China dan gerakan menentang pencerobohan Jepun. Ramai orang pada masa itu berpandangan bahawa rakyat China harus bersatu dalam usaha melawan pencerobohan imperialis Jepun, bukannya terus terjeremus dalam perang saudara. Pada tahun 1935, ahli-ahli organisasi bawah tanah Parti Komunis China melancarkan Gerakan 9 Disember di Beijing untuk mendesak supaya menghentikan perang saudara dan menyatukan tenaga dalam usaha melawan ancaman luar. Pada bulan Disember 1936, berlakunya “Peristiwa Xi’an” di mana jeneral tentera Kuomintang, Chang Hsüeh-liang dan Yang Hucheng, telah menahan Chiang Kai-shek untuk memaksa Chiang Kai-shek supaya bekerjasama dengan Parti Komunis China demi melawan ancaman imperialis Jepun. Ini membuka laluan kepada “Barisan Bersatu Kedua” (1937-1945) yang dibentuk antara Parti Komunis China dengan Kuomintang.

Pembentukan Republik Baharu

Selepas tamatnya Perang Dunia II yang menyaksikan kekalahan kuasa imperialis Jepun, Parti Komunis China dan Kuomintang kembali berbalah dalam usaha merebut kuasa pemerintahan di China. Kedua-dua pihak Parti Komunis China dan Kuomintang pernah cuba mengadakan rundingan damai tetapi tidak membuahkan hasil, sehingga akhirnya mencetuskan Perang Saudara Nasionalis-Komunis yang Kedua, atau juga dikenali sebagai “Perang Pembebasan Rakyat China” (1945-1949).

Walaupun Kuomintang mendapat sokongan daripada kuasa imperialis Amerika Syarikat, tetapi oleh sebab pemerintahan satu-parti Kuomintang yang penuh dengan korupsi dan kepincangan, Kerajaan Kuomintang di bawah pimpinan Chiang Kai-shek pada masa itu semakin kehilangan sokongan massa rakyat. Sebaliknya, Parti Komunis China yang mengembalikan dasar reformasi tanah yang diketepikan semasa “Barisan Bersatu Kedua” berjaya meraih sokongan hebat daripada golongan petani. Parti Komunis China juga mendapat sokongan daripada golongan intelek dan pelbagai lapisan masyarakat, kerana reputasi dan displin tinggi yang ditunjukkan oleh Tentera Pembebasan Rakyat yang dipimpin oleh Parti Komunis China. Tentera Kuomintang akhirnya ditewaskan dan Kerajaan Kuomintang di Tanah Besar China dijatuhkan. Displin yang kuat dan semangat perjuangan yang kental dalam kalangan anggota Parti Komunis China, merupakan faktor penting kepada kejayaan Parti Komunis China.

Tentera Pembebasan Rakyat memasuki bandar Beijing secara aman dan teratur pada bulan Januari 1949.

Tentera Pembebasan Rakyat yang dipimpin oleh Parti Komunis China berjaya menawan bandar Beijing pada bulan Januari 1949. Pada bulan April 1949, tentera Parti Komunis China merentasi Sungai Yangtze dan menawan Nanjing, ibu kota Kerajaan Kuomintang pada masa itu. Kuomintang yang kehilangan kuasa di Tanah Besar China melarikan diri ke Taiwan. Chiang Kai-shek memerintah Taiwan secara kuku besi dengan menggunakan perintah darurat sehingga dia meninggal dunia pada tahun 1975. (Darurat di Taiwan hanya dicabut pada tahun 1987 dan kemudiannya membawa kepada pendemokrasian di negara pulau itu.)

Pada 21 September 1949, Persidangan Perundingan Politik Rakyat yang Pertama diadakan di Beijing untuk membentuk kerajaan baharu. Persidangan yang dihadiri 662 orang perwakilan daripada pelbagai organisasi itu meluluskan “Program Bersama” yang menjadi perlembagaan secara de facto untuk 5 tahun selepasnya bagi negara China yang baharu.

Perisytiharan penubuhan Republik Rakyat China di Tiananmen, Beijing, pada 1 Oktober 1949.

Pada 1 Oktober 1949, Mao Zedong mengisytiharkan penubuhan Republik Rakyat China dalam satu perhimpunan besar-besaran di Dataran Tiananmen, Beijing. Mao Zedong berkata, “Rakan-rakan sekalian, Kerajaan Rakyat Pusat Republik Rakyat China ditubuhkan hari ini!”

Revolusi China yang membawa kepada penubuhan Republik Rakyat China pada tahun 1949, merupakan satu peristiwa bersejarah yang amat penting dalam abad ke-20 untuk perjuangan rakyat pekerja. Revolusi China yang berjaya menumpaskan kuasa pemerintahan lama, memecahkan dominasi imperialis terhadap negara China, menghancurkan kelas tuan tanah dan kapitalis komprador, sememangnya merupakan satu lembaran sejarah yang penting dalam usaha pembebasan masyarakat dunia. Revolusi China menjadi inspirasi kepada gelombang perjuangan pembebasan nasional di negara-negara Asia dan Afrika yang lain pada tahun 1950-an dan 1960-an.

Kerajaan Republik Rakyat China pernah memainkan peranan penting dalam mempromosi kerjasama ekonomi dan budaya Afro-Asia untuk menentang penjajahan atau neo-kolonialisme oleh mana-mana negara. Negara China merupakan salah satu penggerak kepada Persidangan Bandung tahun 1955 yang menjadi perintis kepada Gerakan Negara-negara Tidak Berkecuali (NAM) walaupun China tidak menganggotainya.

Zhou Enlai (kiri) menghadiri Persidangan Bandung 1955.

Republik baharu yang penuh gelora

Parti Komunis China menganggap fasa dari Gerakan 4 Mei pada tahun 1919 hingga kejayaan Perang Pembebasan pada tahun 1949 sebagai “Revolusi Demokratik Baharu”. Mengikut doktrin “Revolusi Demokratik Baharu” ini, revolusi di China pada masa itu merupakan “revolusi demokratik” yang dipimpin oleh kelas pekerja, bukannya revolusi sosialis. Matlamat “Revolusi Demokratik Baharu” adalah untuk menumpaskan “Tiga Gunung Besar” (imperialisme, feudalisme, kapitalisme birokratik). Menurut teori Revolusi Demokratik Baharu yang dibangunkan oleh Mao Zedong, republik demokratik yang baharu ditubuhkan itu bakal melaksanakan pemerintahan demokratik rakyat, dengan asasnya ialah gabungan antara empat kelas – kelas pekerja, kelas petani, kelas borjuasi kecil di bandar dan kelas kapitalis nasional – dan diterajui oleh gabungan pekerja-petani yang dipimpin oleh Parti Komunis China.

Sejak beralih ke strategi membina kekuatan di kawasan luar bandar berikutan kegagalan Revolusi tahun 1920-an, pengaruh Parti Komunis China dalam kalangan kelas pekerja bandar telah terjejas dengan hebatnya. Kelas pekerja di bandar tidak memainkan peranan utama dalam perjuangan revolusi yang menjatuhkan pemerintahan kediktatoran Kuomintang. Walaupun aksi protes golongan anak muda dan pelajar-pelajar menggugat pengaruh Kerajaan Kuomintang, tetapi perjuangan bersenjata yang bertapak di kawasan luar bandar yang akhirnya membawa kemenangan kepada revolusi. Kerajaan baharu yang dibentuk selepas Revolusi 1949, oleh sebab tiadanya asas kekuatan organisasi massa pekerja di kawasan bandar, Parti Komunis China membawa masuk institusi-institusi birokrat yang dibentuknya di tapak ketenteraan luar bandar ke dalam pusat-pusat bandar. Institusi-institusi birokrat ini masih boleh memainkan peranan sebagai penggerak revolusi dan kemajuan masyarakat pada awal revolusi, namun dalam keadaan kekurangan organisasi massa yang demokratik yang dapat memberikan semak-dan-imbang kepada kekuasaan birokrat, institusi-institusi birokrat dapat menguasai harta negara dalam masa yang singkat, dan mewujudkan satu lapisan birokrat yang menikmati hak istimewa sosial dan ekonomi yang dinikmati oleh kelas pemeras yang ditumpaskan mereka. Keadaan ini mewujudkan kontradiksi dan cabaran hebat kepada kerajaan baharu yang diterajui oleh Parti Komunis China, dan membentuk sejarah yang penuh dengan kisah tragik selepas Revolusi 1949.

Pada zaman awal Republik Rakyat China, Parti Komunis China melaksanakan reformasi tanah yang radikal dan menggalakkan penubuhan koperasi perkampungan petani. Parti Komunis China pada awalnya membenarkan golongan kapitalis ataupun syarikat swasta untuk terus beroperasi, namun pencetusan Perang Korea (1950-1953) menyebabkan Parti Komunis China bimbang tentang kelas kapitalis nasional yang mungkin membantu kuasa imperialis untuk menakluk China, tambahan pula masalah sesetengah kapitalis nasional menyogok golongan birokrat kerajaan semakin serius, Parti Komunis China mula mengubah dasarnya terhadap golongan kapitalis. Parti Komunis China pernah melancarkan banyak kali gerakan politik massa untuk membanteras korupsi dan amalan birokrasi, walaupun kesannya tidak seperti yang diharapkan, tetapi mampu melemahkan kekuasaan kelas kapitalis nasional. Parti Komunis China kemudiannya melancarkan usaha pembinaan masyarakat baharu dengan cara meniru model perindustrian yang diamalkan oleh Kesatuan Soviet. Hampir semua harta milik modal swasta telah dimiliknegarakan pada tahun 1956.

Negara China mendapat banyak sokongan daripada Kesatuan Soviet pada peringkat awal selepas Revolusi 1959. Banyak pakar Kesatuan Soviet telah dihantar ke China untum membantunya membangunkan teknologi dan ekonomi di negara Dunia Ketiga itu. Namun, hubungan China dengan Kesatuan Soviet menjadi semakin renggang pada penghujung tahun 1950-an, malah tercetusnya “Perang Dingin” antara Kesatuan Soviet dan China berlatarbelakangkan Perang Dingin antara Blok Barat dan Blok Timur pada masa itu. Walaupun punca kepada perpecahan China-Soviet ini agak kompleks, tetapi secara dasarnya adalah negara China enggan menjadi budak suruhan kepada Kesatuan Soviet seperti negara-negara satelit Kesatuan Soviet di Eropah Timur.

Poster Parti Komunis China pada tahun 1960-an yang menyatakan pendiriannya yang melawan revisionisme Kesatuan Soviet. Poster ini juga memaparkan slogan yang berbunyi, “Menghancurkan kepala anjing Leonid Brezhnev (Setiausaha Agung Parti Komunis Kesatuan Soviet pada masa itu)! Menghancurkan kepala anjing Alexei Kosygin (Pengerusi Majlis Menteri Kesatuan Soviet pada masa itu)!”

Revolusi China membawa hasil yang memanfaatkan rakyat China, seperti peningkatan tahap kesihatan dan pendidikan rakyat bawahan. Namun, di bawah pengaruh keadaan objektif dan subjektif, negara China menghadapi rintangan hebat dalam mewujudkan sosialisme yang benar-benar berlandaskan pembebasan masyarakat.

Pemerintahan birokratik Parti Komunis China telah melakukan banyak kesilapan dalam usahanya membina masyarakat baharu, dengan adanya kesilapan yang mendatangkan malapetaka yang amat dahsyat, misalnya “Kemaraan Raksasa” (1958-1962) yang mengundang kebuluran berleluasa.

Oleh sebab kegagalan untuk menyedari keadaan sebenar dan amalan penipuan dalam institusi birokrat pemerintahan negara, “Kemaraan Raksasa” yang dilancarkan oleh Mao Zedong dengan hasrat mengejar kemajuan perindusrian seperti negara Britain dan Amerika Syarikat dalam tempoh masa yang singkat, akhirnya menemui kegagalan. Reputasi Mao Zedong turut terjejas dengan hebatnya kerana kegagalan “Kemaraan Raksasa” yang penuh malapetaka. Parti Komunis China berpecah kepada dua puak utama: puak yang dipimpin oleh Liu Shaoqi dan Deng Xiaoping menekankan bahawa perlu meningkatkan pengeluaran ekonomi melalui pendekatan insentif kebendaan dan bukannya melakukan tindakan terburu-buru berasaskan semangat kesukarelawanan; sementara puak yang diketuai oleh Mao Zedong, bersama dengan Lin Biao, Jiang Qing dan sebagainya, berpegang kepada pendirian memulihkan sebahagian dasar semasa “Kemaraan Raksasa” di samping melakukan kempen propaganda untuk mengagung-agungkan Mao Zedong.

Semasa berlakunya Revolusi Kebudayaan, gologan pemberontak berjaya merampas kuasa pentadbiran di bandar Shanghai pada bulan Januari 1967 dan kemudiannya menubuhkan “Komun Rakyat Shanghai”. Seramai 1 juta orang menyertai perhimpunan penubuhan Komun Rakyat Shanghai pada 5 Februari 1967. Namun, Komun Rakyat Shanghai hanya bertahan selama 18 hari sebelum ditukar nama Jawatankuasa Revolusi Shanghai atas arahan daripada kepimpinan pusat Parti Komunis China.

Revolusi Kebudayaan tercetus pada tahun 1966. Mao Zedong nampaknya menyedari tentang ancaman lapisan birokrasi, dan cuba melancarkan Revolusi Kebudayaan dari atas untuk membendung ancaman birokrasi, tetapi ia mengundang tragedi malapetaka politik yang lebih teruk lagi. Golongan yang menyokong Mao Zedong, cuba menggunakan imej Mao Zedong yang diagung-agungkan itu untuk menyerang golongan birokrat yang menyokong Liu Shaoqi dan Deng Xiaoping. Sememangnya pada masa itu wujudnya ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat biasa dan anak muda terhadap sistem birokrasi dalam Parti Komunis China. Pelbagai puak yang berbeza pendirian politik dan sesetengahnya berkepentingan sendiri, melancarkan serangan terhadap golongan yang tidak bersetuju dengan mereka. Ini membawa kepada keadaan seolah-olah tercetusnya satu lagi perang saudara. Ramai orang termasuk veteran pejuang revolusioner dimangsakan dalam pergolakan politik yang hebat pada masa itu. “Geng Berempat” (Jiang Qing, Zhang Chunqiao, Yao Wenyuan dan Wang Hongwen) yang memainkan peranan penting dalam melancarkan Revolusi Kebudayaan dari atas, berjaya menguasai kepimpinan pusat Parti Komunis China pada tahun 1973, tetapi dijatuhkan tiga tahun kemudian dalam satu rampasan kuasa.

Socialisme dengan Ciri-ciri China atau pemulihan kapitalisme?

Pada 4-5 April 1976, ketika sambutan perayaan Qingming (satu perayaan untuk memperingati nenek moyang), warga awam di Beijing menganjurkan perhimpunan untuk memperingati Zhou Enlai yang baru meninggal dunia pada bulan Januari 1976 dan menyatakan bantahan mereka terhadap Geng Berempat yang bermaharajarela dalam Parti Komunis China. Gerakan protes tersebut menjadi pemangkin kepada perampasan kuasa dalam Parti Komunis China yang dirancang oleh golongan yang menyokong Deng Xiaoping sejurus selepas Mao Zedong meninggal dunia pada bulan September 1976.

Deng Xiaoping (1904-1997)

Deng Xiaoping dan puaknya yang mengambilalih kuasa selepas kejatuhan Geng Berempat, mengubah haluan dasar negara China dengan memulihkan kapitalisme. China muncul sebagai “kilang dunia” yang berfungsi untuk “memakmurkan” ekonomi kapitalis global. Kapitalisme dipulihkan di bumi China dalam bentuk yang paling ganas, melibatkan pemberhentian kerja besar-besaran pekerja syarikat milik negara pada tahun 1980-an hingga 1990-an, pengwujudan pekerja migran dalaman (penduduk luar bandar yang berhijrah ke bandar) yang bekerja dengan gaji rendah di syarikat-syarikat pelaburan asing, dan peristiwa berdarah 4 Jun 1989 yang melenyapkan kritikan daripada anak muda dan kelas pekerja terhadap dasar pemulihan kapitalisme yang mengorbankan kehidupan ramai rakyat. Walaupun negara China tidak menemui nasib seperti Kesatuan Soviet dan negara-negara satelitnya yang dikuasai oleh parti Stalinis yang jatuh satu demi satu pada penghujung tahun 1980-an, tetapi ekonomi negara China berjaya bersebati dengan kapitalisme global dengan cara yang agak kasar di bawah seliaan Parti Komunis China yang berkuasa.

“Teori Deng Xiaoping” yang menjadi doktrin pemikiran utama Parti Komunis China semasa Deng Xiaoping menjadi pemimpin tertinggi parti, mengajukan idea melaksanakan “ekonomi pasaran sosialis” untuk membangunkan ekonomi negara China. Alasannya adalah negara China masih berada di “peringkat awalan Sosialisme”, maka memerlukan kuasa pasaran kapitalis untuk membantu dalam membangunkan kuasa pengeluaran dalam negara itu. Ini membuka pintu kepada pemulihan kapitalisme di China, termasuk aspek yang paling teruk kapitalisme, walaupun proses ini dijalankan di bawah kawalseliaan politik (birokratik).

Selepas Deng Xiaoping, muncul pula pemikiran “Tiga Perwakilan” semasa zaman Jiang Zemin (Tiga Perwakilan bermaksud Parti Komunis China mewakili: 1. Keperluan pembangunan kuasa pengeluaran China yang maju; 2. Orientasi kebudayaan China yang maju; 3. Kepentingan asas majoriti rakyat China yang paling meluas), “Pandangan Saintifik Mengenai Pembangunan” semasa zaman Hu Jintao, dan “Pemikiran Xi Jinping mengenai Sosialisme dengan ciri-ciri China untuk Era Baharu” yang diperkenalkan selepas Xi Jinping menjadi Setiausaha Agung Parti Komunis China pada tahun 2012. Naratif rasmi Parti Komunis China ialah “pemikiran-pemikiran” ini mempunyai kesinambungan daripada pemikiran Mao Zedong dan Deng Xiaoping, walaupun pemikiran Mao dan Deng amat bercanggahan dalam banyak aspek.

(Dari kiri ke kanan) Xi Jinping, Jiang Zemin dan Hu Jintao, tiga orang Setiausaha Agung Parti Komunis China dalam tiga dekad kebelakangan ini.

Memang tidak boleh menafikan bahawa negara China telah mengecapi pencapaian yang hebat dari segi pembangunan sosio-ekonomi dalam tempoh 40 tahun yang lalu selepas ia mengamalkan pembaharuan ekonomi dengan memperkenalkan semula pasaran kapitalis di bawah kawalseliaan politik yang ketat. Lebih 750 juta orang berjaya melangkah keluar dari kemelut kemiskinan merupakan satu pencapaian yang menakjubkan. China juga telah muncul sebagai sebuah kuasa ekonomi dunia yang mampu bersaing dengan kuasa imperialis Amerika Syarikat, walaupun pada satu ketika dahulu Republik Rakyat China mengambil posisi berdampingan dengan Amerika Syarikat (khususnya selepas Perpecahan China-Soivet pada penghujung tahun 1950-an). Beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan China dengan Amerika Syarikat menjadi semakin tegang, oleh kerana perluasan pengaruh ekonomi China yang semakin besar di arena dunia sedang mengancam kedudukan dominasi imperialis Amerika Syarikat. Namun, sama ada model China merupakan alternatif sebenar kepada susunan dunia yang didominasi oleh ekonomi kapitalis neoliberal atau tidak, masih sesuatu yang boleh dibahaskan dan harus dikaji.

Kita harus sedar bahawa di sebalik kemajuan sosio-ekonomi negara China pada hari ini, ialah pengorbanan ratusan juta pekerja China yang diesksploitasi oleh kapitalis global dalam beberapa dekad kebelakangan ini dan juga cubaan memadamkan segala kritikan terhadap Kerajaan China. Perkembangan ekonomi kapitalis global dalam empat dekad kebelakangan ini, berkait rapat juga dengan penyertaan dan integrasi negara China dalam susunan kapitalis global.

Pemerintahan Parti Komunis China mewujudkan satu sistem politik yang menggabungkan jentera parti dengan jentera negara, dengan ruang yang amat terhad untuk organisasi pekerja yang bebas. Kerajaan Parti Komunis China terus berkuasa dengan menyekat kebebasan demokratik rakyatnya, menapis maklumat yang disebarkan di dalam negara China, dan melakukan pengawasan yang ketat terhadap aktiviti politik rakyat. Pelaburan syarikat negara China di luar negara, melalui strategi seperti “Inisiatif Jalur dan Jalan” untuk mengalihkan kelebihan daya pengeluarannya ke luar negara bagi mengelakkan krisis ekonomi di dalam negaranya, juga mengundang banyak persoalan sama ada ia boleh membawa kepada bentuk kolonialisme baharu di negara-negara yang sedang membangun atau tidak. Sentimen nasionalis sempit juga semakin berkembang di negara China dan menghakis semangat solidariti kelas pekerja yang merentasi batasan bangsa. Banyak lagi kontradiksi di dalam negara China di bawah pemerintahan Parti Komunis China yang masih ketara dan belum selesai.

Revolusi China memang mempunyai makna sejarah yang penting dalam menginspirasikan perjuangan rakyat pada abad ke-20. Parti Komunis China memainkan peranan yang penting sekali dalam proses Revolusi China dan usaha membangunkan sebuah negara China moden yang bebas daripada cengkaman kekuasaan imperialis. Namun, proses pembebasan masyarakat tidak boleh dapat dicapai dengan hanya pembangunan kebendaan yang pesat, dan pada masa yang sama menyekat kebebasan rakyat pekerja untuk menentukan nasib mereka sendiri secara demokratik.

Dengan pengaruh negara China yang semakin berkembang pesat di peringkat dunia pada hari ini, timbulnya persoalan sama ada negara China yang diperintah oleh Parti Komunis China akan muncul sebagai kuasa imperialis yang bermaharajarela atau tidak. Mungkin ini masanya untuk menguji sama ada kata-kata yang pernah disebutkan oleh Deng Xiaoping itu benar atau tidak. Semasa menyampaikan ucapannya di Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1974, Deng Xiaoping berkata, “China ialah sebuah negara sosialis, juga sebuah negara sedang membangun. China tergolong sebagai Dunia Ketiga… China sekarang bukan, dan pada masa akan datang juga tidak akan menjadi negara kuasa terbesar. Apa itu negara kuasa terbesar? Negara kuasa terbesar ialah negara imperialis yang menakluk, mencampurtangan, mengawal, menjatuhkan dan merampas negara yang lain untuk mendapatkan hegemoni dunia… Jika China bertukar warna pada satu hari nanti, menjadi sebuah negara kuasa terbesar, juga mendominasi di dunia, membuli orang lain di merata tempat, menakluk orang lain, mengeksploitasi orang lain, maka rakyat dunia harus memberi sebuah topi imperialis sosial kepada China, harus mendedahkannya, melawannya, dan bersama-sama dengan rakyat China untuk menjatuhkannya.”

Walau bagaimanapun, persoalan ke mana tujunya negara China, hanya akan dapat dijawab dan ditentukan oleh rakyat China sendiri. Masyarakat China tidak kurangnya sumber revolusioner yang ditinggalkan dalam proses perjuangan pembebasan masyarakatnya sepanjang satu abad yang lalu…