oleh S. Arutchelvan

Pada 23 April 2021, Hakim Mahkamah Sesyen Kajang, YA Mohd Kafli bin Che Ali, telah melepaskan dan membebaskan Balamanikrisna dan Abdul Salam Silvaraja, dua orang adik-beradik yang dituduh di bawah Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. Hakim mengatakan bahawa terdapat banyak percanggahan dalam hujahan pihak Pendakwaraya yang gagal membuktikan kes. Oleh itu, Hakim Mahkamah Sesyen Kajang memutuskan untuk dua orang yang tertuduh dibebaskan dan wang ikat jamin dipulangkan.

Pertuduhan terhadap mereka berdua, adalah pada 18 Mac 2019, jam lebih kurang 5 pagi di hadapan rumah Bandar Rinching Semenyih, mereka telah didapati memiliki senjata berbahaya, iaitu sebilah pisau pemotong daging tanpa kebenaran yang sah di tempat awam, dan ini merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, dan pertuduhan tersebut juga dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Masalah dengan tuduhan ini adalah mereka tidak didapati mencuri apa-apa atau ada mana-mana pihak yang mendakwa mereka telah melakukan samun dan sebagainya. Pada awalnya, mereka dituduh atas perkara lain, seperti mencuri kabel dan sebagainya. Mereka tidak mengaku walaupun dipukul.

Dari awal lagi, dua orang adik-beradik ini mendakwa mereka telah ditahan secara tidak adil. Mereka juga telah mendakwa bahawa mereka diseksa dan dipukul oleh polis ketika berada dalam tahanan reman. Mereka pada awalnya dikatakan mencuri kabel, kemudian dituduh pula memiliki dua bilah parang besar di dalam bonet kereta. Mereka menafikan kedua-dua tuduhan ini sekeras-kerasnya. 

Dua orang adik-beradik ini datang daripada sebuah keluarga yang berpendapatan rendah dan pada mulanya tidak dapat membiayai wang ikat jamin sebanyak RM8,000 yang dikenakan mahkamah, sehingga mereka terpaksa dikurung di dalam penjara semasa menanti kes perbicaraan itu berjalan. Ahli keluarga mereka kemudiannya telah datang ke Pusat Khidmat Rakyat PSM Semenyih untuk meminta bantuan. Kami telah mendapatkan khidmat guaman daripada Peguam Shashi Devan yang telah setuju untuk mengendalikan kes ini secara pro bono. Shashi Devan turut dibantu oleh Peguam Sarinah Mustafa. Kedua-dua mereka telah bekerja keras untuk membebaskan dua orang kena tuduh ini.

Kertas pertuduhan yang asal terhadap dua orang adik-beradik yang kena tuduh ini mengandungi pelbagai fakta yang bercanggah, termasuk alamat salah, tarikh salah, tempat salah dan bahan bukti yang salah. Peguam kami mengemukakan representasi berasaskan perkara-perkara ini untuk meminta supaya kes ini digugurkan, tetapi ia telah ditolak oleh pihak Peguam Negara. Selepas itu, pihak pendakwaan telah menukar semua butiran ini dan membuat pindaan dalam kertas pertuduhan, antaranya fakta kes berkenaan dengan dua bilah parang panjang ditukar kepada sebilah pisau potong daging. Tempat dan tarikh tangkapan juga telah ditukar, sebagai respon kepada bantahan kami pada awalnya dalam surat representasi yang mendakwa kes ini ialah kes pemangsaan.

Dalam kertas hujahan pembelaan dibuat oleh Peguam Shahsi Devan telah mendedahkan secara nyata bahawa barang kes yang dikatakan dalam pertuduhan masih tidak dapat dibuktikan dan amat mencurigakan. Beliau juga mempertikaikan pelbagai isu termasuk tiada barang kes yang wujud, tiada borang bongkar yang menyenaraikan barang kes, sesuatu yang ditambah kemudian, kecuaian polis dalam mengendalikan barang kes dan proses siasatan yang penuh kepincangan.

Peguam untuk dua orang adik-beradik ini berhujah bahawa naratif, bukti dan keterangan yang tidak sempurna dan sekaligus mewujudkan kelompangan dalam kes pendakwaan sehingga tidak memenuhi beban pembuktian kes prima facie.

Mahkamah Sesyen bersetuju dengan penghujahan pihak pembelaan, dan kes digugurkan tanpa keperluan dua orang adik-beradik ini membela diri. Di mahkamah semasa penghakiman, keluarga mereka menitiskan air mata, tanda kesyukuran bahawa kes ini sudah selesai

PSM ingin mengucapkan terima kasih kepada peguam-peguam yang telah membantu dalam kes ini. Ini merupakan satu kes di mana pertuduhan palsu akhirnya tidak dapat dibuktikan dan mangsa mendapat keadilan. Mungkin ramai orang lagi yang tidak senasib baik.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

2 thoughts on “Dua adik-beradik akhirnya bebas dari tuduhan palsu

Tinggalkan Jawapan kepada hafizrelax26 Batal balasan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s